Isnin, 11 Ogos 2008

Kewangan
1.
Apakah itu riba?
Riba mempunyai dua kategori; pertama, Riba Al-Nasee’ dan Riba Al-Fadhl.
Riba Al-Nasee’ adalah melanjutkan tempoh pembayaran hutang dengan mengenakan bayaran lebih dari jumlah hutang yang asal. Riba Al-Fadhl pula bermaksud meminjamkan wang dengan syarat jumlah yang dipulangkan mengandungi jumlah yang lebih dari jumlah yang asal. Wang faedah termasuk dalam kedua-dua kategori tersebut. Selain daripada ayat Al-Quran yang menjelaskan tentang hukum haramnya riba, ada sebab-sebab lain di sebalik pengharamannya.
Riba adalah sejenis eksploitasi dan kezaliman. Sebagaimana yang diketahui, dunia ekonomi di zaman sekarang lazimnya berdasarkan hutang-piutang dan hanya mengendalikan urusniaga yang berpindahkan risiko. Dibandingkan dengan ekonomi yang berdasarkan Syariah Islamiah yang berasaskan asset dan bukan hutang dan mengendalikan urusniaga yang berkongsi risiko dan bukan memindah-mindahkannya. Inilah yang dimaksudkan keadilan kepada semua pihak.
Riba yang paling banyak berlaku adalah untuk pengambilan pinjaman. Iaitu seseorang berikan pinjaman terhadap orang lain sebanyak $20 sebagai contoh, dan meminta balik bayaran dengan faedah atau interest sebanyak 3% atau sebagainya. Interest atau faedah tersebut adalah riba. Ia adalah haram untuk diambil.
2.
Apakah bezanya antara riba dan wang faedah?
Sebagaimana yang diketahui, dunia ekonomi di zaman sekarang lazimnya berdasarkan hutang-piutang dan hanya mengendalikan urusniaga yang berpindahkan risiko. Dibandingkan dengan ekonomi yang berdasarkan Syariah Islamiah yang berasaskan asset dan bukan hutang dan mengendalikan urusniaga yang berkongsi risiko dan bukan memindah-mindahkannya. Inilah yang dimaksudkan keadilan kepada semua pihak.
Jenis riba yang paling biasa berlaku di zaman sekarang adalah riba bersifat komersial yang berpunca dari pinjaman wang yang dikendalikan bank-bank atau syarikat-syarikat kewangan. Menurut Syariah Islam, wang yang dipinjamkan harus dipulangkan dengan jumlah yang asal tanpa apa-apa tambahan dan adalah haram bagi si pemiutang untuk meminta lebih dari jumlah yang asal kerana ia adalah riba. Kebanyakan bank-bank lazimnya mensyaratkan lebihan ini dan memanggilnya wang faedah atau wang bunga (interest). Oleh itu, dalam hal ini, riba adalah sama dengan wang faedah.
Lagi satu jenis yang wang faedah yang diperolehi seseorang itu ialah dari simpanan wang di bank. Wang ini bukanlah riba secara mutlak, akan tetapi ia datang dari sumber-sumber yang syubhah iaitu yang sebahagiannya berdasarkan wang riba kerana wang ini datang dari urusniaga-urusniaga bank. Oleh itu, sumber wang tersebut dianggap syubhah dan adalah lebih baik ia tidak digunakan untuk kegunaan peribadi seperti membeli makanan, baju dan lain-lainnya.


3.
Bolehkah menggunakan wang faedah dari bank "interest" untuk membayar bil-bil?
Wang interest adalah haram untuk kegunaan peribadi. Ia harus diberikan kepada Baitul Mal, atau mana-mana badan umum masyarakat seperti masjid, pertubuhan-pertubuhan dan sebagainya bagi kegunaan umum masyarakat. Ia juga boleh digunakan untuk menjelaskan faedah pinjaman (interest), bukan pokok pinjaman kita.
Namun, ia tidak boleh digunakan untuk membayar bil api air rumah kerana elektrik dan air tersebut digunakan untuk diri kita termasuk mengerjakan ibadah dalam rumah. Tambahan pula, pembayaran bil api dan air adalah termasuk perkara yang ada asasnya dalam Islam, iaitu kita membeli elektrik dan air bagi rumah kita untuk kegunaan peribadi kita.
4.
Apa yang dapat saya lakukan dengan wang riba dan wang dari hasil penjualan emas?
Jika emas yang dijualkan tersebut mengikut syarat Islam, iaitu, ada pembeli dan penjual, dan harga yang telah ditetapkan serta pertukaran wang, maka hasil dari penjualan tersebut adalah halal. Ini adalah kerana ia bukan hasil pertukaran emas dengan emas, tetapi emas dengan wang ringgit.
Wang riba yang didapati dari mana-mana sumber mesti digunakan untuk maslahat umum, atau diberi pada baitulmal. Di Singapura, pihak yang bertanggungjawab menguruskan baitulmal ialah MUIS.
5.
Apakah yang harus dibuat oleh seseorang yang tiada pilihan lain selain mendapatkan pinjaman wang yang berdasarkan riba untuk membiayai pelajarannya?
Secara dasar, orang Islam tidak dibenarkan untuk mengambil pinjaman yang berdasarkan riba, atau faedah. Namun, jika seseorang itu amat memerlukan wang untuk perkara yang dibenarkan Syara', seperti menyambung pelajaran, dan dia telah berusaha untuk mendapat pinjaman tanpa faedah tetapi tidak berjaya, maka adalah harus baginya mengambil pinjaman yang berdasarkan riba. Ini berdasarkan kaedah darurat dimana jika dia tidak ambil pinjaman tersebut, dia tidak dapat sambung belajar. Sedangkan menuntut ilmu itu adalah wajib dalam Islam.
6.
Bolehkah seorang itu terlibat di dalam syarikat yang mengendalikan pembayaran ansuran?
Dalam hal pembayaran ansuran, pembayaran dilakukan secara berperingkat di mana ia lazimnya lebih dari harga yang asal. Jika kontrak tersebut telah menjelaskan jumlah yang harus dibayar setiap bulan atau setiap tahun, pembeli akan mengetahui terlebih dahulu berapa jumlah yang harus dibayar dan tempoh kontrak tersebut. Ini dibenarkan dalam Islam kerana ia tidak melibatkan wang pinjaman, ia hanya melibatkan bayaran secara berperingkat. Mereka yang bekerja di dalam urusniaga sebegini tidak dianggap sebagai melibatkan diri dalam urusniaga yang berdasarkan riba.

7.
Adakah cara pembiayaan kereta, pinjaman untuk rumah dan penggunaan kad kredit dianggap sebagai riba?
Untuk kredit kad, jika seseorang itu membayar pada waktunya, maka wang faedah tidak perlu dibayar. Bagi pembiayaan kereta atau rumah, ia berbalik kepada soal keperluan dan kemampuan individu. Ini adalah sistem kewangan yang digunakan di negara kita dan ia sangat sukar dan hampir mustahil untuk hidup di konteks zaman sekarang jika mengikuti tafsiran yang ketat tentang riba.
8.
Apakah hukum orang yang bekerja di disco atau di bank atau syarikat kewangan yang mengendalikan perkara-perkara yang berunsur riba dengan alasan mencari rezeki?
Orang Islam dilarang keras untuk pergi ke disco, apatah lagi untuk bekerja di situ, tidak kira apakah jawatannya. Ini adalah kerana disco adalah tempat berlakunya banyak maksiat, wanita yang membuka aurat, lelaki dan wanita yang bercampur gaul tanpa batas, menari dan menyanyi serta minuman arak yang berleluasa. Sama juga dengan riba, di dalam Islam riba adalah haram dan tidak boleh bermuamalah dengan riba.
Secara dasarnya umat Islam perlu menjauhkan dirinya daripada perkara tersebut. Akan tetapi jika dalam keadaan yang tertentu seperti jika tidak ada kerja lain selain dari perkerjaan itu yang akan menangung dirinya dan keluarga maka ia dibenarkan untuk dirinya dan sekadar yang diperlukan sahaja. Dia perlu berusaha untuk mencari mata pencarian yang lain agar tidak terus menerus berkerja dengan industri arak ataupun riba'.
9.
Apakah hukum mengenai simpanan dalam CPF?
Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadith baginda memberitahu kita bahawa pada akhir zaman kelak, tiada yang dapat terlepas dari debu-debu riba. Zaman kita menyaksikannya. Ekonomi dunia bergerak dan berlandaskan kepada riba. Sejauh mana kita boleh elakkan dari riba, wajib kita lakukannya. Jika setiap pinjaman bank mempunyai riba, seboleh mungkin, kita mengelak dari meminjam wang. Jika lambat membayar hutang dikenakan interest, semampu mungkin kita elak dari lambat membayar hutang.
Wang CPF, seperti wang gaji kita, tidak terlepas dari debu-debu riba. Namun, debu-debu tersebut tidak menjadikan wang gaji kita, wang CPF dan pelaburan melalui CPF menjadi haram untuk diambil oleh orang Islam. Ini adalah kerana hanya apabila peratus riba itu menjadi ketara atau banyak, maka barulah haram untuk menggunakannya untuk kegunaan peribadi. Tetapi boleh didermakan kepada pertubuhan amal, dan pertubuhan Islam.
Untuk membersihkan wang CPF dan wang gaji dari debu-debu riba, Allah s.w.t telah memerintahkan kita untuk berzakat, dan menggalakkan kita untuk memberi sedekah.
10.
Apakah hukumnya bermain senoman?
Senoman adalah satu bentuk koperatif di mana ahlinya bersetuju untuk mengumpul sejumlah wang setiap bulan untuk diserahkan kepada setiap ahli pada setiap bulan, atau dalam tempoh masa yang telah ditetapkan. Semua ahli akan mendapat wang yang telah dikumpulkan apabila telah tiba masanya. Ini tidak salah dalam Islam jika telah ditulis dengan nyata undang-undangnya dan semua ahli bersetuju. Dalam erti kata lain, tiada penipuan dan penyembunyian fakta antara ahli.
Mereka yang ingin bermain senoman perlu bersetuju dan mencatit undang-undang yang jelas, termasuk apakah yang akan terjadi jika salah seorang dari ahli meninggal dunia sebelum gilirannya mendapat wang senoman, jika ahli menarik diri selepas mendapat wang senoman, jika ahli tidak mahu membayar wang senoman, dan sebagainya. Ini agar tidak timbul perselisihan pada masa akan datang.
11.
Adakah sistem jualan lelong (auction) dibenarkan Islam?
Jualan lelong (auction) adalah dibolehkan. Sebagaimana yang dilihat di sebuah hadith Rasulullah s.a.w yang masyhur bahawasanya seorang lelaki telah datang mengemis dan Rasulullah s.a.w. menyuruh dia membawa apa sahaja yang dia miliki di rumahnya. Lelaki itu kemudian membawa bersamanya sebuah tikar dan buyung. Rasulullah s.a.w kemudian melelongkan kedua-dua barang itu kepada yang menawarkan tawaran yang tertinggi. Beliau kemudian menyuruh lelaki itu menggunakan wang itu untuk membeli makanan untuk keluarganya dan juga sebuah kapak untuk mendapatkan kayu api dari gunung agar ia boleh dijualkan untuk membantunya mencari rezeki. Beliau lalu berkata bahawa ini adalah lebih baik dari mengemis.
Jualan lelong juga dibenarkan untuk perkara-perkara peribadi atau untuk tujuan amal. Memberi tawaran yang lebih tinggi dari tawaran lain juga dibenarkan di dalam jualan lelong, selagi mana ia bukan tawaran yang sengaja dibuat untuk menentang orang lain dan selagi mana ia telah diumumkan sebagai suatu jualan lelong dan bukanlah satu perundingan peribadi atau musawamah.

12.
Bolehkah membeli dan menerima pembayaran dari insuran?
Jika insuran tersebut mengikut sistem ko-operatif, maka ia dibolehkan. Sistem ko-operatif ini berasal dari sistem khairat yang yang digunakan oleh orang-orang Islam di zaman dahulu. Sumbangan dari setiap ahli sesuatu jawatankuasa dikumpulkan dan apabila seseorang daripada mereka dilanda krisis, maka wang yang dikumpulkan itulah yang digunakan untuk membantunya. Sistem inilah yang dibolehkan Islam.
Akan tetapi, jika syarikat insurans tersebut adalah berdasarkan sistem pelaburan dan bukan system ko-operatif, jenis-jenis pelaburan tersebut harus dipertimbangkan. Jika kebanyakan pelaburannya adalah dalam perkara-perkara yang halal, maka insurans itu adalah halal. Jika tidak, maka seseorang Islam itu hanya dibenarkan mengambil semula wang premium yang dibayarnya sahaja. Harus diambil kira juga bahawa syarikat tersebut bukanlah syarikat yang berurusan dalam urusniaga wang faedah atau riba.
Ramai ulama kontemporari berpendapat bahawa insuran konvensional adalah dilarang dalam Islam, kerana ia mengandungi unsur-unsur 'gharar', iaitu penipuan, 'riba' dan akad yang tidak sah. Insuran konvensional bermaksud untuk mengkayakan satu-satu pihak, yang mana manfaatnya dan keuntungannya tidak dikembalikan kepada masyarakat umum yang membeli insuran tersebut. Berbeza dengan konsep takaful di mana ia beroperasi atas prinsip kooperatif (tolong-menolong), yang mana lebihan dan manfaatnya dikembalikan kepada pemegang polisi.
Oleh itu, ramai ulama berpendapat bahawa membeli insuran yang berlandaskan konsep insuran konvensional adalah dilarang dalam Islam, melainkan seseorang itu terpaksa membelinya, seperti insuran pelayaran dan
13.
Apa yang harus dibuat oleh seseorang yang sudah membeli insurans?
Para ulama telah bersetuju bahawa insurans nyawa tidak dibenarkan melainkan ia berjenis ko-operatif seperti Takaful. Islam juga melarang segala perbuatan yang memberi kesan yang negatif kepada nyawa, harta dan maruah kita.
Oleh itu, seseorang yang telah membeli insurans boleh meneruskannya sehinggalah wang premiumnya telah setara dengan nilai penyerahan. Pada waktu ini, beliau haruslah menamatkannya dan mengambil kembali wang yang telah dilaburkan itu.
Terdapat banyak cara untuk mengukuhkan tabiat berjimat, seperti rancangan pelaburan jangka panjang yang telah dikenal-pasti yang bahawasanya rancangan tersebut melibatkan sektor-sektor kewangan yang tidak mengendalikan barangan yang haram seperti arak, senjata, perjudian, hiburan yang haram dan produk-produk babi.
14.
Adakah Forex Trading dibenarkan dalam Islam?
Dalam hal isu forex khususnya dalam spot trading ia merupakan penukaran wang antara pembeli dan penjual dimana penyerahan barang akan berlaku dalam tempoh dua hari.
Secara zahirnya ia bercanggah dengan syarat tunai, akan tetapi menurut pendapat mazhab Maliki bahawa penangguhan yang sebentar tidak merosakkan kontrak sarf selagi ia bukan bertujuan untuk menarik balik perjanjian yang telah dibuat di dalam kontrak tersebut. Pendirian ini yang dipegang Akademi Fiqh, Pertubuhan Persidangan Islam Antarabangsa (OIC). Tujuan tempoh yang diberikan, yakni selama 2 hari, merupakan tempoh administrasi untuk memastikan kesahihan kontrak yang dibuat. Maka atas dasar ini penukaran wang secara Spot adalah dibenarkan.
15.
Apa hukumnya melabur dalam "options trading"?
Antara syarat-syarat jual beli dalam Islam adalah:

1. Penerimaan tukaran sebelum berpisah dua pihak yang berkontrak Yakni secara tunai.

2. Dalam kontrak sarf tidak harus disyaratkan khiyar oleh dua pihak yang berkontrak atau salah seorang daripadanya. Ini adalah kerana penerimaan dalam kontrak ini adalah syaratnya.

Maka "options trading" tidak sah disisi Islam kerana ia melibatkan pembelian sesuatu yang tidak wujud, iaitu membeli option untuk membeli atau menjual saham apabila harganya sampai pada peringkat tertentu dalam tempoh waktu yang tertentu. Jual beli dalam Islam perlu jelas tentang apakah yang akan dibeli dan pemindahan hak milik selepas pembelian tersebut.
16.
Bolehkah berniaga menggunakan sistem "multi-level marketing" atau "direct-selling"?
Untuk menjawab soalan anda, berikut adalah kenyataan dari Dr. Monzer Kahf, seorang ahli ekonomi Islam yang terkemuka:
Sistem “multi-level marketing” dan “Direct-selling” boleh digunakan jika syarat-syarat berikut ditepati:

1) Komoditi yang dijual beli adalah dalam golongan yang halal, termasuk barangan yang sebenar dan bukan yang pura-pura atau palsu.

2) Struktur pendapatan harus didedahkan secara telus kepada semua ahli atau pelanggan apabila mereka dijemput untuk menjadi ahli agar mereka mengetahui bahawa yang menjemput juga mempunyai pertaruhan dalam jemputan tersebut.

3) Syarat-syarat kontrak umum harus dipatuhi, seperti kecenderungan kepada kontrak, penjelasan penuh tentang barangan yang dijual, penyerahan dan proses pembayaran yang jelas. Jika barangan yang dijual memerlukan syarat-syarat yang lain seperti penjualan emas yang memerlukan penyerahan dan pembayaran pada waktu kontrak dibuat, syarat-syarat seperti itu juga harus dipatuhi.

Jika ketiga-tiga syarat tadi dipatuhi oleh syarikat yang mengendalikan sistem multi-level marketing atau direct-selling itu, maka ia dibolehkan.
17.
Adakah pelaburan dan pembelian saham dibolehkan Islam?
Pelaburan dan saham dibenarkan dalam Islam selagi mana ia digunakan untuk jenis perniagaan yang dihalalkan Islam, seperti besi, komputer, pakaian, elektronik, perubatan dan sebagainya. Bidang perniagaan yang diharamkan adalah yang bersangkut-paut dengan perjudian, arak, hiburan yang mengandungi unsur-unsur haram, alat-alat peperangan dan khinzir.
Adalah kewajipan bagi setiap Muslim untuk pastikan dari pihak yang menjual saham tersebut atau menawarkan sebarang bentuk pelaburan, akan bentuk perniagaan yang ia akan laburkan wangnya. Jika samar-samar, adalah lebih baik untuk tidak menggunakan syarikat tersebut untuk pelaburan dan membeli sahamnya.
18.
Adakah pelaburan yang menjanjikan hasil kepulangan yang tetap dalam tempoh yang tertentu dianggap sebagai riba?
Riba mempunyai dua kategori; pertama, Riba Al-Nasee’ dan Riba Al-Fadhl. Riba Al-Nasee’ adalah melanjutkan tempoh pembayaran hutang dengan mengenakan bayaran lebih dari jumlah hutang yang asal. Riba Al-Fadhl pula bermaksud meminjamkan wang dengan syarat jumlah yang dipulangkan mengandungi jumlah yang lebih dari jumlah yang asal. Wang faedah termasuk dalam kedua-dua kategori tersebut. Selain daripada ayat Al-Quran yang menjelaskan tentang hukum haramnya riba, ada sebab-sebab lain disebalik pengharamannya. Riba adalah sejenis eksploitasi dan kezaliman. Sebagaimana yang diketahui, dunia ekonomi di zaman sekarang lazimnya berdasarkan hutang-piutang dan hanya mengendalikan urusniaga yang berpindahkan risiko. Dibandingkan dengan ekonomi yang berdasarkan Syariah Islamiah yang berdasarkan asset dan bukan hutang dan mengendalikan urusniaga yang berkongsi risiko dan bukan memindah-mindahkannya. Inilah yang dimaksudkan keadilan kepada semua pihak.
Telah ditetapkan bahawa kontrak yang berdasarkan wang faedah adalaha berlainan dari sistem mudarabah yang dibenarkan Islam. Dalam kontrak-kontrak sebegini, hanya peminjam yang didedahkan kepada kerugian, manakala didalam sistem mudarabah, kedua-dua pihak berkongsi risiko dan juga keuntungan jika ada. Seperti yang diterangkan di hadith Rasulullah s.a.w yang bahawasanya Hasil itu datang dengan tanggungan kerugian. (Riwayat Ahmad)
Ini bermakna bahawa segala hasil, perkembangan atau tambahan yang berakru adalah sah bagi yang menanggung segala kesusahan, kemusnahan dan kekurangan. Pakar-pakar Syariah telah menggunakan hadith tadi untuk membuat kesimpulan bagi prinsip Syariah yang masyhur iaitu kerugian dan keuntungan harus wujud bersama-sama.
Tambahan pula, Rasulullah s.a.w telah mengharamkan segala hasil pendapatan dari asset yang tidak mendedahkan pemiliknya kepada kerugian dan keuntungan pada waktu yang sama.
Dalam hal ini, iaitu pelaburan yang menjanjikan pendapatan yang tetap, semua pakar-pakar Syariah dari semua generasi dan semua mazhab telah bersetuju bahawa mudarabah dan semua jenis syirkah (perkongsian perniagaan) yang menjanjikan pendapatan atau kadarnya yang tetap dari mana-mana pelaburan adalah haram kerana tanggungan hanya keatas modal wang modal yang pokok sahaja dan ini bercanggah dengan bukti-bukti Syariah yang jelas. Tambahan pula, ia telah menghilangkan unsur perkongsian kerugian dan keuntungan, dan ini adalah antara syarat terpenting di dalam sistem mudarabah dan syirkah. Persetujuan ini telah dipastikan dan tiada bantahan telah berlaku.
Ibn Qudamah telah berkata: “Mereka yang ilmu itu diambil darinya (para ulama dalam bidang Syariah) telah bersetuju bahawa sesuatu mudarabah itu tidak sah jika salah satu atau kedua-dua pihak telah menetapkan wang dirham yang tetap dari hasil pendapatan.” (Al-Mughni, 3/24)
19.
Jika seseorang itu telah melabur di dalam sesuatu skim pelaburan dan mendapat keuntungan, apa yang boleh dilakukan dengan wang keuntungan itu?
Sekiranya pelaburan itu adalah pada saham atau syarikat yang halal perniagaannya, maka keuntungan yang didapati adalah Halal. Jika perniagaannya adalah haram, maka keuntungannya adalah Haram. Perniagaan yang haram termasuk yang terlibat dengan arak, judi, hiburan, alat tentera, khinzir dan riba.
Anda perlu bertanya lebih lanjut apakah yang diperlakukan terhadap duit anda dan dimanakah ia akan disalurkan apabila anda melabur dalam mana-mana skim pelaburan. Barulah anda dapat tahu samada pelaburan anda tersebut halal atau tidak.
20.
Halalkah hasil pendapatan yang datangnya dari urusniaga bank?
Jenis-jenis urusan dan perniagaan yang dijalankan oleh bank ada bercampur-aduk antara yang halal dan haram. Akaun semasa (current A/C), penggunaan cek, bill of lading dan urusan yang dijalankan antara bank dengan para peniaga dengan dikenakan bayaran perkhidmatan (service charge) bukanlah dari jenis riba, dan amalan itu adalah dari jenis yang halal.
Pinjaman dengan dikenakan interest dan seumpamanya adalah dari jenis yang diharamkan. Maka pekerjaan dan hasil pendapatannya adalah di dalam kategori shubhah, hukumnya adalah makruh.
Secara umumnya makruh adalah satu perkara yang baik ditinggalkan dan jika dilakukannya tidak berdosa. Maka atas dasar ini anda boleh menggunakan hasil dari pekerjaan di bank tetapi anda digalakkan untuk mendapatkan hasil mata pencarian dari sumber yang jelas
21.
Adakah had-had yang tertentu mengenai keuntungan yang diraih dalam perniagaan atau jual beli seperti mendapat keuntungan sampai berlipat ganda?
Islam tidak menghadkan berapa banyak keuntungan yang ingin diraih. Dalam aqad jual beli, ijab kabul merupakan satu elemen penting untuk menjadikan aqad itu sah. Dari itu jika sudah adanya ijab (tawaran) dan kabul(penerimaan) dalam aqad jual beli maka aqad itu sah tidak kira keuntungan yang ingin diraih.
22.
Apakah syarat-syarat sahnya sesuatu perancangan kewangan (financial plan)?
Mana-mana perancangan kewangan harus menepati syarat-syarat berikut sebelum ia dianggap sah di sisi Islam:
1) Harus ada portfolio yang jelas tentang sektor-sektor dan syarikat-syarikat yang terlibat dalam pelaburan syarikat kewangan yang memberi khidmat perancangan itu. Sektor-sektor dan syarikat-syarikat tersebut haruslah menepati Syariah dan tidak terlibat dalam perniagaan yang diharamkan Islam, seperti arak, judi, babi, persenjataan dan perkara-perkara yang memusuhi Islam. Adalah baik jika syarikat kewangan tersebut mempunyai penasihat-penasihatnya yang tersendiri di dalam bidang Syariah.
2) Mana-mana pelaburan atau perniagaan yang dikendalikan oleh syarikat tersebut haruslah bebas dari faedah atau riba. Jika syarikat tersebut terlibat dalam urusan pinjaman wang, ia haruslah bebas dari faedah.
3) Perancangan itu haruslah mempunyai kontrak yang jelas, seperti berapa banyakkah wang yang akan digunakan, apakah jenis-jenis urusniaga yang akan dikendalikan dan jangka masanya.



23.
Adakah pekerjaan sebagai agen broker saham (remisier) dibenarkan?
Seorang agen broker saham atau remisier adalah seorang yang menyelaraskan jual beli saham dan beliau juga akan mendapat komisen dari setiap urusniaga yang dikendalikan.
Jika saham-saham tersebut adalah dari jenis yang halal, maka pekerjaan hasil pendapatan darinya adalah halal. Jika sebaliknya, maka ia ia tidak halal. Misalnya seseorang yang mengendalikan urusniaga produk-produk alkohol. Oleh itu, adalah baik seseorang yang bekerja sebagai agen broker saham cuba mengenal pasti apakah produk-produk yang
24.
Adakah perniagaan didalam masjid dibenarkan?
Para ulama telah bersetuju bahawa adalah haram bagi seseorang itu untuk berniaga didalam masjid kerana masjid adalah tempat beribadah kepada Allah s.w.t. dan bukan untuk urusan dunia.

Walaubagaimanapun, adalah dibenarkan mengendalikan perniagaan diluar kawasan masjid. Kawasan masjid didefinisikan sebagai kawasan I’tikaf. oleh itu, mana-mana perniagaan di masjid-masjid dikendalikan di luar kawasan I’tikaf.
25.
Apakah hukumnya berniaga dengan badan-badan agama bukan Islam?
Islam tidak melarang kita untuk berurus-niaga dan menjual beli dari mana-mana pihak, kecuali jika kita yakin bahawa pihak tersebut akan menggunakan bahan yang kita jual atau beri untuk kegunaan upacara keagamaan mereka, atau untuk menzalimi manusia lain. Maka adalah harus untuk menjual barang atau khidmat kepada badan agama bukan Islam seperti gereja dan kuil selagi mana barang yang dijual atau khidmat yang diberikan bukan untuk upacara keugamaan mereka.
26.
Bolehkah seseorang itu mengendalikan perniagaan "franchise" yang barangan jualannya termasuk minuman keras tetapi sebahagian besar adalah halal?
Antara yang dilaknat oleh Allah s.w.t adalah menjual minuman keras, walaupun hanya untuk orang bukan Islam. Orang Islam tidak boleh ada kena-mengena sedikit pun dengan arak. Oleh itu, anda perlu berusaha menerangkan kepada pihak yang memberikan franchise tersebut agar dikecualikan dari menjual arak, atas alasan ugama.
27.
Bolehkah seseorang itu bekerja sebagai juruwang yang sebahagian dari kerjanya melibatkan pengendalian minuman keras dan produk-produk babi?
Juruwang Islam tidak bebas dari mengendalikan minuman keras dan produk-produk babi. Walaubagaimanapun, memandangkan sebahagian besar yang dikendalikannya bukanlah barangan yang haram, maka pekerjaan ini dibolehkan. Apabila seseorang juruwang itu terpaksa mengendalikan barangan seperti arak atau babi, jika tersentuh, untuk arak hanya perlu dibersihkan seperti biasa dan untuk babi, perlulah sertu. Akan tetapi, jika barangan tersebut ditutup dengan rapat dan rapi, dan hanya ada pemeluwapan air sahaja di luar balutannya, maka tidak perlulah untuk sertu.
28.
Syarikat saya baru menerima pelanggan yang menguruskan pembuatan wain. Adakah ini dibenarkan?
Membantu syarikat yang menguruskan pembuatan arak atau perniagaan lain yang haram adalah haram. Jika anda diminta secara langsung untuk melibatkan diri dengan syarikat ini, anda haruslah menolaknya dengan baik. Akan tetapi, jika anda tidak terlibat dalam urusniaga tersebut secara langsung , anda harus pastikan berapa peratus pendapatan anda datang dari sumber urusniaga tersebut dan dermakanlah bahagian itu ke mana-mana badan
29.
Bolehkah menerima dan menggunakan hadiah yang diterima dari bank kerana menjadi ahli kad kredit?
Apabila seseorang itu menjadi ahli kad kredit dengan sebuah bank dan kemudian menerima hadiah dari markah-markah bonus yang dikumpul, tiada salahnya kerana ia dianggap sebagai hadiah.
30.
Jika seseorang itu telah meminjam wang dengan tujuan mahu meminjamkannya kepada pihak ketiga tetapi pihak ketiga pula enggan membayar wang interest yang dikenakan pemiutang pertama dan hanya membayar jumlah pokok sahaja, adakah pemiutang pertama berhak untuk menuntut pembayaran wang interest tersebut darinya?
Pinjaman wang perlu ada lafaz dan kontrak nyata bahawa 'A' pinjamkan wang kepada 'B' sebanyak $XXX untuk selama YY tahun/bulan dengan dibayar kembali jumlah tersebut secara keseluruhan/ansuran.

Islam melarang pinjaman wang berserta interest, kerana ia berdasarkan riba.

Dalam hal ini, jika wang yang dipinjamkan adalah $20 maka wajib dipulangkan $20 juga. Manakala lebihan yang dikenakan sebagai interest adalah antara pemiutang pertama dengan peminjam pertama. Tidak boleh menuntut pemiutang kedua(pihak ketiga) untuk membayar jumlah interest itu juga kerana ia adalah hutang pemiutang pertama bukan hutang pemiutang kedua, walaupun wang dipinjam dengan tujuan dipinjamkan kepadanya, dan tambahan pula, interest adalah haram dalam Islam.
31.
Jika saya cuba melangsaikan pembayaran hutang orang lain, adakah hutang itu telah menjadi hutang saya?
Hutang hanya boleh bertukar milik sekiranya orang yang berhutang melafazkan demikian. Sebagai contoh, A berhutang kepada B. A kemudian menjual barang kepada C, dan melafazkan bahawa pembayaran C kepada A dianggap sebagai penukaran hutangnya kepada B. Sekarang ini, C yang berhutang dengan B, bukan A lagi.
pemberian anda kepada penjamin tersebut bergantung kepada lafaz dan niat anda semasa pemberian tersebut, adakah sebagai hadiah, atau sebagai penebus hutang, atau sebagai hutang kepada penjamin tersebut.
Sayugia diingatkan disini bahawa adalah wajar melangsaikan hutang semasa hidup agar hutang wang itu tidak bertukar menjadi hutang pahala di akhirat kelak, di mana penebusan hutang di akhirat adalah dengan pahala yang kita dapati dari amal soleh kita, dan itu satu kerugian yang lebih besar lagi.
32.
Jika suami tidak membenarkan isteri mencari rezeki untuk melunaskan hutangnya, adakah hutang itu menjadi tanggungjawab suami?
Apabila seorang wanita sudah berkahwin, maka menjadi tanggungjawab suaminya untuk menanggung kehidupannya. Dia tidak wajib bekerja. Jika dia ada hutang sebelum dia berkahwin, dia masih wajib melunaskan hutang tersebut dari hartanya, bukan harta suaminya. Jika dia tiada wang, dia wajib berusaha mencari wang, dengan izin suaminya. Jika suaminya tidak izinkan, maka barulah hutang tersebut perlu ditanggung sama oleh suaminya kerana menjadi tanggungjawab suami menanggung
33.
Bolehkah seseorang itu menerima hadiah dari orang yang berhutang dengannya selagi dia belum melangsaikan hutang itu?
Riba bermaksud tambahan, iaitu tambahan pembayaran yang pemiutang wajibkan kepada orang yang berhutang kepadanya. Contoh, A pinjamkan wang kepada B, tetapi mensyaratkan agar B membayar lebih dari jumlah yang ia pinjam. Lebihan tersebut dinamakan riba, dan ia adalah haram kerana ia satu penindasan dan penzaliman.
Jika si B memberi hadiah kepada A, tanpa A memintanya, atau mengharapkannya, maka hadiah tersebut tidak dianggap sebagai riba, dan boleh diambil oleh A. Hanya dalam keadaan dimana A mensyaratkan kepada B agar memberi hadiah tersebut kepadanya atas sebab hutang itu, maka hadiah tersebut tidak boleh diterima oleh A.
34.
Bolehkah menerima wang hutang yang sebelum ini telah dihalalkan?
Hutang yang telah dihalalkan tidak boleh ditarik balik. Oleh itu, anda tidak boleh ambil wang yang diberikan saudara anda tersebut sebagai membayar hutang. Sebaliknya, anda perlu beritahu dengan baik kepadanya bahawa anda telah menghalalkan hutang tersebut. Sekiranya dia memberikan anda sebagai hadiah, maka anda boleh menerimanya.
35.
Bagaimanakah melunaskan hutang orang tua yang sudah tidak ingat nama orang yang pinjamkannya wang?
Islam menjaga hak pemiutang. Selagi mana si peminjam belum lagi melunaskan pinjamannya kepada si pemiutang, maka selagi itu adalah menjadi kewajipan bagi si peminjam untuk memulangkan pinjaman tersebut.
Oleh kerana pinjaman tersebut terlalu lama sehingga tidak ingat nama orang yang meminjam, dan anda telah diamanahkan untuk melunaskan hutang tersebut, maka disarankan agar anda simpan dahulu duit tersebut, dan tidak memberikannya kepada Baitul Mal atau mana-mana masjid. Ini adalah kerana, ada kemungkinan si peminjam itu akan menuntut hutangnya pada masa akan datang.

Hanyalah apabila si peminjam telah meninggal dunia, dan telah berlalu tempoh yang biasanya sahabat yang sebaya dengannya juga telah meninggal dunia, barulah anda boleh serahkan duit tersebut kepada Baitul Mal atau mana-mana masjid sebagai sedekah atas nama si peminjam tersebut.
36.
Bilakah waktu yang paling sesuai untuk menuntut kembali wang hutang dari keluarga si mati?
Wang pinjaman adalah milik si pemiutang (orang yang beri hutang dan pinjam), bukan si peminjam (orang yang meminjam). Maka, si pemiutang berhak menuntut kembali haknya dari peminjam, atau waris si peminjam jika peminjam itu sudah mati. Tuntutan tersebut boleh dibuat sejurus selepas kematian, dan tidak perlu tunggu selepas tempoh tertentu, kerana harta pusaka si mati perlu digunakan dahulu untuk melunaskan segala hutang sebelum pembahagiannya kepada ahli waris.
Walau demikian, kami menasihati anda agar menuntut kembali hutang anda dari waris si mati dengan hikmah, sopan santun dan cara yang baik. Mereka baru sahaja kehilangan orang yang disayangi. Sekiranya wang pusaka si mati tidak mencukupi untuk melunaskan hutangnya kepada anda, atau wang pusakanya amat diperlukan untuk membiayai kehidupan anak isterinya yang masih hidup, anda digalakkan agar menghalalkan hutang tersebut. Mudah-mudahan dengan demikian, Allah s.w.t memberkati harta anda.
37.
Jika A telah meminjamkan wang kepada B, lalu B melunaskan hutang tersebut dengan wang yang datang dari sumber yang syubhah, adakah wang itu haram bagi A?
A boleh menerima wang yang dibayar oleh B, tanpa tertanya-tanya tentang sumber wang itu. Wang itu adalah halal baginya kerana ia milik dia sejak awal lagi walaupun beliau mensyaki sumber wang tersebut atau B telah memberitahunya bahawa wang itu datang dari sumber yang haram. Ia haram keatas kepada B kerana telah mendapatkan wang itu dari sumber yang haram, dan bukan keatas A kerana ia sememangnya miliknya.
Para ulama tidak banyak memperkatakan tentang hal ini kerana Al-Quran tidak menyatakan apa-apa tentang sumber hutang yang dibayar kembali. Sebagaimana yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Daruqutni yang bermaksud; Dan jika Allah tidak menyebutkan tentang sesuatu, ia bukan bermakna Beliau telah melupakannya, tetapi ia adalah sebagai rahmat ke atas kamu, oleh itu tidak perlulah bagi kamu untuk menghiraukannya.
Seseorang itu harus bezakan antara hutang yang dibayar dan hadiah. Adalah amalan yang baik untuk mengenal pasti sumber sesuatu hadiah itu, akan tetapi ia tidak perlu bagi isu hutang.
38.
Bolehkah hasil kemenangan wang perjudian didermakan?
Menyerahkan hasil dari kemenangan wang perjudian kepada badan-badan Islam, adalah diharuskan. Wang tersebut tidak boleh diambil oleh individu yang memenanginya kerana ia adalah wang haram. Dan mereka yang berjudi wajib segera bertaubat kepada Allah s.w.t.
39.
Apakah yang harus dibuat jika seseorang itu dijemput ke majlis yang diraihkan sahabatnya sempena hasil kemenangan judi?
Islam telah menjelaskan yang bahawasanya judi itu haram tidak kira apa jenis pun. Orang Islam bukan sahaja diharamkan dari berjudi, mereka juga tidak dibenarkan memakan apa sahaja yang sumbernya dari judi.
Oleh itu, adalah baik seorang Islam itu memberitahu sahabatnya tentang hukum berjudi dan tidak menurutkan kemahuan sahabatnya untuk menerima apa sahaja yang datang dari sumber perjudian kerana ini bermakna beliau bersubahat dan memakan sesuatu yang haram dan jalan keluarnya hanya menerusi bertaubat kepada Allah s.w.t.
Kita harus menunjukkan penghargaan terhadap orang lain akan tetapi jika perbuatan ini bermakna ia akan bercanggah dengan perintah Allah s.w.t, ia tidak patut dilakukan.
40.
Bolehkah seseorang itu mewaqafkan atau bersedekah dengan niat untuk orang-orang yang tertentu?
Melakukan waqaf atau sedekah, dan diniatkan untuk sesiapa yang kita inginkan, itu adalah dibenarkan dan sah dalam Islam.
41.
Berhakkah orang yang telah membayar untuk mengubah-suai rumah menuntut haknya apabila rumah dijual walaupun rumah bukan atas namanya?
Wang yang digunakan untuk mengubah suai rumah boleh dianggap dua perkara. Pertama, ia adalah hadiah kepada mereka yang duduk dalam rumah tersebut. Kedua, ia kekal milik orang yang buat ubah elok tersebut.
Jika pertama, ia tidak wajar menuntut bahagiannya jika rumah itu dijual, kerana ia adalah hadiah darinya.
Jika kedua, perlu ditaksirkan berapa harga ubah suai tersebut apabila dijual rumah itu. Nilai tersebut kemudian diberikan kembali kepada orang yang lalukan ubah suai tersebut.
42.
Bolehkah seseorang itu meletakkan syarat yang membolehkannya untuk menamatkan sesuatu hibah dan penerima harus mengembalikan harta tersebut?
Hibah adalah hadiah. Islam melihat hadiah sebagai pertukaran barang yang sempurna dari satu pemilik ke pemilik yang lain. Oleh itu, tidak wajar untuk meletakkan apa-apa syarat kepada sesuatu hadiah, seperti, jika kamu membuat sesuatu, akanku mengambil kembali hadiah itu.
Jikalau seseorang itu hibah hartanya kepada seseorang dan meletakkan syarat yang bahawasanya beliau ada hak untuk menamatkan hibah tersebut dan penerima harus mengembalikan harta tersebut, maka hibah itu tidak sah.

43.
Adakah hukum skim “joint-tenancy”, yang memberi hak milik 50/50 dengan tidak menghiraukan jumlah sumbangan dari kedua-dua pihak sama hukumnya dengan skim “tenancy in common”?
Bagi skim “tenancy in common”, ia berbalik kepada persetujuan yang asal dan bukan kepada hukum “joint-tenancy”.
44.
Jika seseorang telah dihukum penjara kerana mencuri wang, haruskah dia kembalikan wang yang dicuri?
Perbuatan mencuri adalah satu dosa yang agak besar. Hukuman yang dijatuhkan atas perbuatan tersebut adalah untuk menebus kesalahannya, bukan untuk menghalalkan barang yang dicuri. Oleh itu, seseorang yang telah dihukum atas perbuatan mencuri, wajib memulangkan barang yang ia curi tersebut kepada pemiliknya yang sebenar. Mudah-mudahan dengan demikian, ia akan terlepas azab di akhirat dan mendapat ganjaran pahala dari Allah.

Label:

2 Ulasan:

Anonymous Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum,

saya bukan nak mengulas tapi ingin menanyakan soalan. "Bagaimana pandangan sdr tentang sistem perbankan islam yg diamalkan dinegara kita? Mengapa walaupun ia mendakwa sistem Islam tetapi masih mengenakan faedah kerana kelewatan pembayaran contohnya kad kredit?

7/9/08 7:25 PG  
Blogger n_izza berkata...

wa alaikumussalam..
maaf lambat balas mesej anda..
soalan pendapat yang anda kemukakan adalah soalan yang bersangkut paut dengan kedudukan sistem perbankan malaysia sekarang...adakah ia benar-benar islam atau separuh islam atau konvensional..
bagi menjawab soalan ini, saya ingin mengajukan beberapa laman yang mungkin boleh membantu anda mencari jawapan..
kerana isu ini isu sensitif..terpulanglah anda mentafsir jawapan dan anda beramal dengan jawapan-jawapan ini...

1- http://syafiqe.wordpress.com
2- http://zulkiflihasan.files.wordpress.com
3- http://pkukmweb.ukm.my
4- http://www.soundvision.com/info/life/credit.asp
5- www.zaharuddin.net
6- nurjeehan.hadithuna.com
7- www.pekanrabu.com
8- baheis.islam.gov.my/web

27/9/08 1:38 PTG  

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama