Isnin, 11 Ogos 2008

Isu kontemporari
1.
Apakah hukum merokok?
Ulama berbeza pendapat tentang merokok. Sebahagian besar ulama sekarang menganggap rokok sebagai haram, terutama apabila ia mengganggu kewajipan yang lain, seperti wang yang sepatutnya dibelanjakan untuk keluarga digunakan untuk membeli rokok sehingga keluarga tiada makanan. Ada juga ulama' yang menganggapnya sebagai makruh, kerana kemudaratan dan risiko pada kesihatan.
2.
Bolehkah orang Islam menyambut hari lahir, memotong kek, meniup lilin kek hari jadi dan menyanyi lagu hari lahir?
Para ulama tidak bersepakat mengenai isu menyambut hari lahir. Ada yang mengatakan ia tidak dibenarkan dan ada yang mengatakan ia dibenarkan selagi mana tiada aktivit-aktiviti yang bercanggah dengan Islam seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Memotong kek dan berkongsi dengan sahabat-handai adalah dibenarkan juga menurut kumpulan ulama yang kedua selagi mana seseorang itu tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang wajib.



Bagi meniup lilin di kek hari jadi pula, ia adalah harus kerana tiada larangan dalam Islam. Menyanyikan lagu hari lahir juga tiada salahnya. Ini kerana tiada sebarang dalil yang menghalang perbuatan demikian. Umat Islam hanya ditegah dari melakukan benda-benda yang haram dan juga amalan keagamaan selain Islam seperti meniru cara pengibadatan dan ritual agama
3.
Apa hukumnya orang Islam menyambut Hari Valentine?
Hari Valentine berasal dari budaya orang-orang Kristian, dan tiada kena-mengena dengan ajaran agama Islam. Umat Islam dilarang dari meniru budaya dan adat-istiadat yang ada unsur keugamaan penganut agama lain. Oleh itu, tidak wajar bagi umat Islam menyambut Hari Valentine. Sepertimana tidak wajar bagi umat Islam menyambut Hari Krismas.
4.
Adakah menindik anggota badan dibenarkan oleh Islam?
Menindik anggota badan adalah haram di sisi Islam tidak kira anggota mana yang ditindik. Ini adalah kerana ia sesuatu yang menyebabkan kesakitan, kerumitan seperti jangkitan dan nanah, menyerupai adat orang bukan Islam dan mengubah ciptaan Allah s.w.t dengan sengaja tanpa sebab perubatan.
Pengecualian disini adalah menindik telinga bagi wanita yang merupakan sesuatu yang bersifat universal yang dipraktikkan orang Islam dan bukan Islam. Maka, ia adalah dibenarkan.
5.
Apakah hukum mewarnakan rambut?
Hukum mewarnakan rambut berbeza antara lelaki dan wanita. Bagi lelaki, tidak boleh mewarnakan rambut sama sekali, kecuali dalam dua keadaan:
1) Rambut berubah menjadi putih ketika masih muda disebabkan penyakit. Ketika tersebut boleh diwarnakan dengan warna hitam.
2) Rambut sudah beruban kerana tua. Ketika ini boleh mewarnakan rambut, tetapi tidak boleh dengan warna hitam.
3) Ketika hendak berperang. Maka boleh mewarnakan rambut yang putih dengan warna hitam untuk memperdayakan musuh.
Adapun wanita, mereka boleh mewarnakan rambut mereka dengan apa sahaja warna pada bila-bila masa.
Syarat pewarna rambut tersebut mestilah ia tidak dibuat dari barang najis, dan tidak kalis air. Ini agar air membasahi rambut ketika berwuduk dan mandi hadas. Cap Halal bermakna bahan yang digunakan tidak mengandungi najis. Tetapi ia tidak bermakna bahawa ia kalis air.
Diingatkan agar wanita yang mewarnakan rambutnya, tidak mempamerkannya kepada lelaki yang bukan mahram kerana ia akan mengundang lebih banyak dosa. Juga wanita yang sudah bersuami perlu meminta izin suaminya sebelum mewarnakan rambutnya agar ia tidak menimbulkan konflik perhubungan suami isteri.
6.
Adakah produk-produk warna rambut bertanda 'suci' atau 'halal' benar-benar suci dan boleh digunakan?
Cap Halal bermakna bahan yang digunakan tidak mengandungi najis. Tetapi ia tidak bermakna bahawa ia kalis air. Bagi wanita hukumnya harus dan syarat-syarat untuk wanita adalah berikut:
1) Warna tersebut adalah antara warna asli rambut yang diciptakan Allah, seperti perang, coklat, kuning.
2) Tidak boleh diwarnakan hitam kecuali jika beruban pada waktu muda.
3) Pewarna yang digunakan tidak mengandungi bahan najis.
4) Pewarna yang digunakan tidak menghalang air dari rambut.
5) Rambut tidak boleh dipamerkan kepada lelaki yang bukan mahram.
6) Jika wanita itu sudah bersuami, izin suami perlu diminta dahulu.
Bagi lelaki, tidak boleh mewarnakan rambut sama sekali, kecuali dalam dua keadaan:
1) Rambut berubah menjadi putih ketika masih muda disebabkan penyakit. Ketika tersebut boleh diwarnakan dengan warna hitam.
2) Rambut sudah beruban kerana tua. Ketika ini boleh mewarnakan rambut, tetapi tidak boleh dengan warna hitam.
3) Ketika hendak berperang. Maka boleh mewarnakan rambut yang putih dengan warna hitam untuk
7.
Warna rambut manakah yang harus dielakkan?
Walaupun wanita dibenarkan mewarnakan rambut, ia haruslah dalam warna yang semulajdi. Oleh yang demikian, warna seperti ungu, merah jambu, biru dan warna-warna lain yang yang bukan warna semulajadi tidak dibenarkan memandangkan ia bukanlah warna yang semulajadi dan ia juga merupakan sesuatu yang menyerupai amalan orang kafir.
8.
Adakah mengkrintingkan rambut atau meluruskannya dibenarkan Islam?
Mengkrintingkan atau meluruskan rambut adalah dibenarkan Islam kerana ia bukanlah sesuatu yang merubah ciptaan Allah s.w.t memandangkan ia tidak membawa perubahan yang besar dari segi rupa semulajadi seseorang itu dan kepanjangan rambutnya. Walaubagaimanapun, memasang rambut palsu tidak dibenarkan.
9.
Mengapakah hanya inai yang boleh digunakan untuk mewarnakan rambut?
Inai merupakan bahan yang asli yang digunakan untuk mewarnakan rambut. Warna aslinya adalah coklat gelap atau hitam dan ia bukan kalis air. Memandangkan ia bukan kalis air, ia tidak akan menghalang air wudhu atau air mandi hadas dari membasahkan rambut.
Jika pewarna rambut yang konvensional mempunyai ciri-ciri yang sama seperti inai, maka penggunaannya dibenarkan.
10.
Mengapakah terdapat hukum yang berbeza bagi inai dan tatu?
Inai merupakan bahan yang semulajadi yang tidak menghalang air sampai ke kulit semasa mengambil wudhu’ dan mandi hadas. Ia juga bukanlah sesuatu yang kekal di kulit. Tatu pula merupakan sesuatu yang kekal. Maka, inai adalah dibenarkan dan tatu pula tidak dibenarkan.
11.
Adakah tatu dibenarkan Islam?
Tatu adalah haram dalam Islam. Hukum ini berdasarkan hadith yang sahih yang diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud; Allah melaknati orang yang membuat tatu, yang mendapatkan tatu, yang memakan riba, yang membayar wang riba, yang menciptakan imej dan Allah melarang harga seekor anjing dan pendapatan seorang pelacur.

Membuat tatu biasanya melibatkan jarum yang mana dakwatnya dimasukkan ke dalam lubang yang dicucuk sehinggalah ia menjadi kekal di dalam kulit. Ia juga melibatkan menyakiti diri sendiri dan ini adalah haram dalam Islam.

Diriwayatkan oleh Abu Juhayfa a.s. bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa Islam melarang perkara yang menyebabkan kesakitan ke atas anggota badan.

Tatu juga merupakan sesuatu penipuan dan mengubah ciptaan Allah s.w.t yang semulajadi.
12.
Sahkah nikah, solat dan wudhu' seseorang yang mempunyai tatu?
Tatu tidak menghalang kesahihan pernikahan, kerana ia bukan antara syarat-syarat sahnya nikah.
Tatu juga tidak menghalang kesahihan solat dan wuduk kerana ia adalah suntikan warna ke bawah kulit. Maka ia tidak menghalang air dari terkena kulit.
Walau bagaimanapun, usaha perlu dilakukan untuk menghilangkan tatu tersebut dan orang itu mesti segera bertaubat kepada Allah s.w.t.
13.
Adakah memakai kanta sentuh berwarna dibenarkan?
Tiada nas dalam Al-Qur’an dan Hadith yang melarang pemakaian kanta sentuh berwarna. Ia juga bukan merupakan sesuatu yang mengubah ciptaan Allah s.w.w secara kekal. Seseorang itu haruslah melihat kepada tujuan disebalik pemakaiannya, jika ia dengan tujuan menipu maka ia tidak dibenarkan. Jika tiada penipuan yang terlibat dalam pemakaiannya, maka ia dibenarkan.
14.
Adakah pelajar-pelajar Islam dibenarkan melihat dan menyentuh kondom dengan tujuan pendidikan?
Tidak terdapat nas dari Qur’an atau Sunnah yang melarang orang-orang Islam dari memegang atau melihat kondom. Oleh itu, mengajar pelajar-pelajar Islam tentang kondom dan bahan-bahan kontraseptif adalah dibenarkan, lebih-lebih lagi untuk tujuan pendidikan. Walaubagaimanapun, guru yang mengajar haruslah menerangkan bahawa seks diluar nikah adalah dilarang Islam. Keterangan yang lebih lanjut juga harus diberikan bahawa bahan kontraseptif hanya boleh digunakan oleh sepasang suami isteri dengan keizinan dari kedua-dua pihak.
15.
Apakah pandangan Islam tentang homoseksualiti?
Islam tidak mengiktiraf homoseksualiti. Terdapat dua jantina sahaja bagi manusia iaitu lelaki dan wanita. Walaupun jika zakar seorang lelaki dipotong, ia masih dianggap sebagai seorang lelaki. Walaupun ia menjalani pembedahan untuk mengubah jantinanya, ia masih dianggap sebagai seorang lelaki. Seorang lelaki tidak boleh menjadi seorang wanita dan sebaliknya. Kromosom XY seorang lelaki tidak boleh menghapuskan kesemua kromosom Y untuk menjadi seorang wanita dan kromosom XX tidak boleh menggantikan satu X dengan kromosom Y. Oleh itu, seorang lelaki akan sentiasa dianggap sebagai lelaki dan begitu juga seorang wanita, tidak kira apa perubahan luaran yang dilakukannya.



Allah s.w.t telah berfirman: “Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.” (Surah Yaasin, ayat 36)


“Lalu Tuhan menjadikan daripadanya dua jenis - lelaki dan perempuan.” (Surah Al-Qiyaamah, ayat 39)
16.
Apakah hukum seseorang yang menukar jantinanya?
Islam mengiktiraf kewujudan dua jantina sahaja, iaitu lelaki dan perempuan. Apa yang telah Allah s.w.t tetapkan sebagai jantina bagi seseorang, ia tidak ada hak untuk menukar jantinanya, dan dia tidak akan boleh menukar jantinanya seratus peratus walau bagaimana besar usahanya. Seseorang wanita yang tukar jantinanya kepada lelaki tetap tidak boleh mengeluarkan air mani dan tetap tidak boleh menghamilkan wanita lain. Seorang lelaki yang tukar jantinanya kepada wanita, tetap tidak boleh hamil dan datang haid.
Hakikatnya, Allah s.w.t telah menciptakan hanya dua jenis kromosom seks, iaitu kromosom X dan kromosom Y. Tiada ada mana-mana makhluk yang boleh tukar kesemua kromosom dalam badannya untuk menjadikannya wanita atau lelaki.
Oleh itu, pembedahan dalam usaha untuk menukar bentuk fizikal seseorang kepada jantina lain, adalah Haram dan dilaknat oleh Allah s.w.t.
Orang yang menjalani pembedahan jantina, hanyalah menukar secara luaran sahaja, atau cara "superficial". Macam seseorang itu modify bentuk keretanya, tetapi enjinnya tetap sama.
Perasaan kelelakian dalam wanita, dan perasaan kewanitaan dalam lelaki, tidak boleh sampai mendorong seseorang itu untuk memakai pakaian kaum bukan sejenisnya, apatah lagi untuk menukar jantinanya.
17.
Memandangkan TV menunjukkan banyak perkara-perkara yang bercanggah dengan Islam, adakah ia sesuatu yang haram?
TV adalah alat elektronik. Ia adalah sesuatu yang berkecuali atau neutral, seperti pisau dan alat-alat lain. Aplikasi atau penggunaannya akan menentukan adakah orang yang menggunakannya akan berdosa ataupun tidak. Jika seseorang itu menggunakan TV untuk menonton program yang mengandungi perkara yang bercanggah dengan Islam, maka ia dilarang. Jika seseorang itu menggunakannya untuk menonton program yang baik dan berpendidikan, maka ia akan menerima ganjaran dari Allah s.w.t.
18.
Adakah menonton wayang dibenarkan dalam Islam?
Ada beberapa perkara yang harus diambil kira jika hendak menonton wayang. Pertama, cerita yang ingin ditonton tidak boleh mempunyai unsur-unsur yang dilarang oleh Islam. Kedua, bersama siapa anda pergi menonton wayang itu juga perlu dijaga. Jika bersama keluarga contohnya, maka boleh. Tetapi, secara kesuluruhan, menonton wayang ini tidak digalakkan di dalam Islam kerana mendapat unsur yang kurang baik seperti berada di dalam bilik yang gelap bersama orang-orang yang bukan
19.
Adakah bersembang menerusi internet atau chatting dibenarkan Islam memandangkan ia tidak melibatkan pergaulan secara fizikal antara lelaki dan wanita?
Islam melarang pergaulan bebas antara lelaki dan wanita untuk mengelak dari hasutan Syaitan untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang haram seperti zina, gangguan emosi dan sosial. Oleh yang demikian, apa sahaja cara yang boleh menyebabkan perkara-perkara ini berlaku perlu dielakkan. Bersembang dan bergaul di internet, walaupun ia bukan dalam kategori pergaulan bebas secara fizikal, ia masih dianggap sebagai pergaulan bebas yang boleh mencetuskan hasutan Syaitan. Oleh itu, jika tiada keperluan bagi seseorang itu untuk bersembang di internet, maka ia wajib dielakkan. Malah, Islam secara umumnya melarang perkara-perkara yang tidak berfaedah dan membuang masa.

Jika ada keperluan, maka ia haruslah dibataskan untuk tujuan keperluan tersebut sahaja dan tidak lebih dari itu.
20.
Bolehkah membawa alat elektronik (telefon bimbit/ PDA) yang dimuat-turunkan ayat-ayat alquran ke dalam tandas?
Al-Quran adalah kitab suci yang wajib dimuliakan dan tidak boleh dibawa ke dalam tandas. Al-Quran yang berada dalam bentuk elektronik, jika tidak dipaparkan ayat-ayatnya, bukanlah dianggap sebagai Al-Quran. Ini adalah kerana ia disimpan dalam memori dalam bentuk elektrikal, dan tiada bentuk penulisan. Oleh itu, alat-alat elektronik yang menyimpan ayat-ayat Al-Quran, boleh dibawa ke tandas selagi mana ayat-ayat tersebut tidak dipaparkan di skrin. Begitu juga, suara pembacaan Al-Quran tidak boleh diperdengarkan dalam tandas.
21.
Sekiranya seseorang itu ingin membaca Al Quran online, perlukah berwudhu'?
Orang Islam hanya perlu berwudhu' apabila memegang mushaf Al-Quran. Adapun membacanya, walaupun on-line, ia tidak perlu berwudhu'.
22.
Bolehkah seseorang itu memakai pakaian yang dicetak dengan terjemahan ayat-ayat Qur’an?
Adalah dilarang untuk memakai pakaian yang dicetak dengan ayat-ayat Qur’an kerana pakaian tersebut akan menjadi kotor, dicuci, dikeringkan dan juga terdapat kemungkinan apabila dipakai, ia dibawa masuk ke dalam tandas. Akan tetapi, memakai pakaian yang dicetak dengan terjemahan ayat-ayat Al-Qur’an adalah dibenarkan. Walaubagaimanapun, kehormatan haruslah diberikan kepada pakaian sebegini, seperti tidak memakainya di tempat yang kurang baik. Ia juga dilarang dari dicetak di bahagian belakang atau bahagian bawah baju tersebut.
23.
Adakah menampal ayat-ayat Al-Qur’an di tingkap belakang sebuah kereta dibenarkan?
Adalah tidak sesuai untuk meletakkan ayat-ayat Al-Qur’an di belakang punggung atau di bawah kaki. Kehormatan yang sewajarnya mesti diberikan kepada Al-Qur’an. Oleh itu, menampal ayat-ayat Al-Qur’an di tingkap belakang sebuah kereta adalah dibenarkan memandangkan ia bukanlah diletakkan secara langsung dibelakang punggung si pemandu atau si penumpang.
24.
Adakah wajib bagi seorang Islam mempunyai nama dalam Bahasa Arab atau Melayu?
Adalah sesuatu tanggapan salah yang sangat biasa bahawa seorang Islam mesti mengambil nama dalam Bahasa Arab atau Melay untuk dikenal pastikan sebagai seorang Islam. Ini bukanlah sesuatu yang disuruh Islam. Menjadi seorang Islam tiada kaitannya dengan jenis atau bahasa nama seseorang itu. Kriteria bagi nama seorang Islam adalah ia tidak harus membawa maksud yang tidak baik dalam mana bahasa atau membawa nama “Allah”. Keimanan seseorang Islam bukan diukur dengan namanya tetapi ia diukur dengan taqwa dan ibadahnya.



Oleh yang demikian, seorang Islam dengan nama Cina atau India dibenarkan Islam.
25.
Adakah wajib bagi seorang yang memasuki Islam meletakkan “Muhammad” dan/atau ber”bin”kan Abdullah dinamanya?
Nama Islam tidak seharusnya berbahasa Arab. Ia boleh datang dari mana-mana bahasa, selagi mana ia membawa maksud yang baik dan selagi mana tiada kebingungan dengan nama yang bukan Islam. Nama Islam yang baik juga adalah nama yang bukan nama tuhan-tuhan agama lain.

Oleh yang demikian, bukanlah satu kewajipan untuk menambahkan “Muhamamad” kepada nama seseorang itu ataupun “bin Abdullah” bagi yang baru memasuki Islam. Rasulullah s.a.w telah menggalakkan kita untuk memilih nama yang baik dan keutamaan harus diberikan kepada nama yang bermula dengan “Abdul” dan ia diikuti dengan nama Allah seperti Abdullah, Abdul Rahman dan sebagainya. Kemudian, keutamaan juga diberikan kepada nama Rasulullah seperti Muhammad, Ahmad, Mahmud dan sebagainya. Keutamaan diikuti dengan nama-nama nabi yang lain, sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w,, nama-nama wali dan ulama. Mudah-mudahan, orang yang membawa nama mereka akan mewarisi sifat-sifat mereka yang mulia.
26.
Pakaian berenang yang macamanakah yang dibenarkan Islam?
Islam telah menetapkan panduan yang spesifik mengenai pakaian dan adab pergaulan antara lelaki dan wanita. Bagi lelaki, auratnya adalah antara pusat dan lutut. Bagi wanita, auratnya adalah seluruh tubuhnya kecuali tapak tangan dan wajahnya dengan lelaki yang bukan mahramnya. Apabila ia dengan wanita sahaja, maka ia mestilah menjaga penghormatannya dengan berpakaian yang sederhana dan dibenarkan mendedahkan tubuhnya kecuali antara pusat dan lututnya.

Islam menggalakkan umatnya bersukan dan bersenam, termasuklah berenang. Walaubagaimanapun, adab berpakaian yang telah ditetapkan Islam mesti dipatuhi. Apabila sedang berenang, seorang muslimah mestilah tiak dilihat oleh kaum lelaki (kecuali suaminya). Pakaian renang yang sesuai baginya adalah yang menutup bahagian atas dan bawah tubuhnya sehingga lututnya. Pilihan warna pula terpulang kepada pemakainya dan tidak menjadi masalah. Pakaian tersebut haruslah tidak terlalu ketat sehinggakan ia menunjukkan bentuk badan wanita tersebut.
27.
Bolehkah seseorang itu mengumpul patung-patung sebagai hobi?
Rasulullah s.a.w melarang kita dari menyimpan patung berbentuk manusia dan binatang yang cukup sifatnya, kerana ini boleh menimbulkan dalam diri kita sifat mengagungkannya, yang merupakan bibit-bibit bagi syirik.
Namun, untuk menyimpan anak patung mainan kanak-kanak yang cukup sifat, atau perhiasan binatang yang tidak cukup sifat, maka ia dibenarkan dalam Islam, tetapi tidak digalakkan kerana ia merupakan satu perbuatan yang tiada mendatangkan manfaat untuk akhirat.
28.
Bolehkah berkerja sebagai juruwang di pasar raya yang menjual arak?
Pekerjaan sebagai juruwang di pasaraya yang menjual arak adalah jenis pekerjaan yang mengandungi halal dan haram, namun yang halal adalah lebih dari yang haram. Harus untuk orang Islam mengambil jawatan ini, tetapi dia perlu ketepikan sedikit wang gajinya untuk disedekahkan setiap bulan agar dapat membersihkan hartanya dari unsur-unsur haram.
29.
Apakah hukum bekerja di syarikat yang terlibat dalam perjudian?
Islam melarang perjudian. Ini jelas dalam Al-Quran dan hadith. Oleh itu, umat Islam dilarang dari berjudi, atau terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan perjudian. Sebagai contoh, bekerja dengan syarikat yang terlibat dengan perjudian dilarang dalam Islam.
Oleh itu, sebaiknya orang yang bekerja di syarikat yang terlibat dalam perjudian mencari kerja di tempat yang lebih sesuai dan yang tidak melanggar syariat Islam.
30.
Bolehkah seorang Islam menceburi bidang lukisan dan grafik?
Terdapat hadith yang jelas yang melarang orang Islam dari menggambarkan haiwan yang hidup. Tujuan disebalik larangan ini adalah untuk mengelakkan dari amalan menyembah lukisan-lukisan tersebut.


Jika sebuah lukisan, tidak kira samada yang menggambarkan seluruh tubuh atau sebahagiannya sahaja, makhluk yang betul atau yang tidak wujud, adalah untuk tujuan pendidikan, maka ia dibenarkan, In Sya Allah. Walaubagaimanapun, seseorang itu dilarang melukis perkara yang akan disembah, seperti melukis gambar tuhan-tuhan bukan Islam yang akan digunakan untuk disembah.
31.
Adakah bekerja sebagai mata-mata atau penyiasat upahan dibenarkan Islam?
Bekerja sebagai mata-mata atau penyiasat upahan dibenarkan Islam selagi mana penyiasatan itu tidak dilakukan bagi tujuan peribadi dan selagi mana ia tidak mendedahkan atau mencerobohi aurat orang yang disiasati.

Label: ,

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama