Isnin, 11 Ogos 2008

Isu kontemporari
1.
Apakah hukum merokok?
Ulama berbeza pendapat tentang merokok. Sebahagian besar ulama sekarang menganggap rokok sebagai haram, terutama apabila ia mengganggu kewajipan yang lain, seperti wang yang sepatutnya dibelanjakan untuk keluarga digunakan untuk membeli rokok sehingga keluarga tiada makanan. Ada juga ulama' yang menganggapnya sebagai makruh, kerana kemudaratan dan risiko pada kesihatan.
2.
Bolehkah orang Islam menyambut hari lahir, memotong kek, meniup lilin kek hari jadi dan menyanyi lagu hari lahir?
Para ulama tidak bersepakat mengenai isu menyambut hari lahir. Ada yang mengatakan ia tidak dibenarkan dan ada yang mengatakan ia dibenarkan selagi mana tiada aktivit-aktiviti yang bercanggah dengan Islam seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Memotong kek dan berkongsi dengan sahabat-handai adalah dibenarkan juga menurut kumpulan ulama yang kedua selagi mana seseorang itu tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang wajib.



Bagi meniup lilin di kek hari jadi pula, ia adalah harus kerana tiada larangan dalam Islam. Menyanyikan lagu hari lahir juga tiada salahnya. Ini kerana tiada sebarang dalil yang menghalang perbuatan demikian. Umat Islam hanya ditegah dari melakukan benda-benda yang haram dan juga amalan keagamaan selain Islam seperti meniru cara pengibadatan dan ritual agama
3.
Apa hukumnya orang Islam menyambut Hari Valentine?
Hari Valentine berasal dari budaya orang-orang Kristian, dan tiada kena-mengena dengan ajaran agama Islam. Umat Islam dilarang dari meniru budaya dan adat-istiadat yang ada unsur keugamaan penganut agama lain. Oleh itu, tidak wajar bagi umat Islam menyambut Hari Valentine. Sepertimana tidak wajar bagi umat Islam menyambut Hari Krismas.
4.
Adakah menindik anggota badan dibenarkan oleh Islam?
Menindik anggota badan adalah haram di sisi Islam tidak kira anggota mana yang ditindik. Ini adalah kerana ia sesuatu yang menyebabkan kesakitan, kerumitan seperti jangkitan dan nanah, menyerupai adat orang bukan Islam dan mengubah ciptaan Allah s.w.t dengan sengaja tanpa sebab perubatan.
Pengecualian disini adalah menindik telinga bagi wanita yang merupakan sesuatu yang bersifat universal yang dipraktikkan orang Islam dan bukan Islam. Maka, ia adalah dibenarkan.
5.
Apakah hukum mewarnakan rambut?
Hukum mewarnakan rambut berbeza antara lelaki dan wanita. Bagi lelaki, tidak boleh mewarnakan rambut sama sekali, kecuali dalam dua keadaan:
1) Rambut berubah menjadi putih ketika masih muda disebabkan penyakit. Ketika tersebut boleh diwarnakan dengan warna hitam.
2) Rambut sudah beruban kerana tua. Ketika ini boleh mewarnakan rambut, tetapi tidak boleh dengan warna hitam.
3) Ketika hendak berperang. Maka boleh mewarnakan rambut yang putih dengan warna hitam untuk memperdayakan musuh.
Adapun wanita, mereka boleh mewarnakan rambut mereka dengan apa sahaja warna pada bila-bila masa.
Syarat pewarna rambut tersebut mestilah ia tidak dibuat dari barang najis, dan tidak kalis air. Ini agar air membasahi rambut ketika berwuduk dan mandi hadas. Cap Halal bermakna bahan yang digunakan tidak mengandungi najis. Tetapi ia tidak bermakna bahawa ia kalis air.
Diingatkan agar wanita yang mewarnakan rambutnya, tidak mempamerkannya kepada lelaki yang bukan mahram kerana ia akan mengundang lebih banyak dosa. Juga wanita yang sudah bersuami perlu meminta izin suaminya sebelum mewarnakan rambutnya agar ia tidak menimbulkan konflik perhubungan suami isteri.
6.
Adakah produk-produk warna rambut bertanda 'suci' atau 'halal' benar-benar suci dan boleh digunakan?
Cap Halal bermakna bahan yang digunakan tidak mengandungi najis. Tetapi ia tidak bermakna bahawa ia kalis air. Bagi wanita hukumnya harus dan syarat-syarat untuk wanita adalah berikut:
1) Warna tersebut adalah antara warna asli rambut yang diciptakan Allah, seperti perang, coklat, kuning.
2) Tidak boleh diwarnakan hitam kecuali jika beruban pada waktu muda.
3) Pewarna yang digunakan tidak mengandungi bahan najis.
4) Pewarna yang digunakan tidak menghalang air dari rambut.
5) Rambut tidak boleh dipamerkan kepada lelaki yang bukan mahram.
6) Jika wanita itu sudah bersuami, izin suami perlu diminta dahulu.
Bagi lelaki, tidak boleh mewarnakan rambut sama sekali, kecuali dalam dua keadaan:
1) Rambut berubah menjadi putih ketika masih muda disebabkan penyakit. Ketika tersebut boleh diwarnakan dengan warna hitam.
2) Rambut sudah beruban kerana tua. Ketika ini boleh mewarnakan rambut, tetapi tidak boleh dengan warna hitam.
3) Ketika hendak berperang. Maka boleh mewarnakan rambut yang putih dengan warna hitam untuk
7.
Warna rambut manakah yang harus dielakkan?
Walaupun wanita dibenarkan mewarnakan rambut, ia haruslah dalam warna yang semulajdi. Oleh yang demikian, warna seperti ungu, merah jambu, biru dan warna-warna lain yang yang bukan warna semulajadi tidak dibenarkan memandangkan ia bukanlah warna yang semulajadi dan ia juga merupakan sesuatu yang menyerupai amalan orang kafir.
8.
Adakah mengkrintingkan rambut atau meluruskannya dibenarkan Islam?
Mengkrintingkan atau meluruskan rambut adalah dibenarkan Islam kerana ia bukanlah sesuatu yang merubah ciptaan Allah s.w.t memandangkan ia tidak membawa perubahan yang besar dari segi rupa semulajadi seseorang itu dan kepanjangan rambutnya. Walaubagaimanapun, memasang rambut palsu tidak dibenarkan.
9.
Mengapakah hanya inai yang boleh digunakan untuk mewarnakan rambut?
Inai merupakan bahan yang asli yang digunakan untuk mewarnakan rambut. Warna aslinya adalah coklat gelap atau hitam dan ia bukan kalis air. Memandangkan ia bukan kalis air, ia tidak akan menghalang air wudhu atau air mandi hadas dari membasahkan rambut.
Jika pewarna rambut yang konvensional mempunyai ciri-ciri yang sama seperti inai, maka penggunaannya dibenarkan.
10.
Mengapakah terdapat hukum yang berbeza bagi inai dan tatu?
Inai merupakan bahan yang semulajadi yang tidak menghalang air sampai ke kulit semasa mengambil wudhu’ dan mandi hadas. Ia juga bukanlah sesuatu yang kekal di kulit. Tatu pula merupakan sesuatu yang kekal. Maka, inai adalah dibenarkan dan tatu pula tidak dibenarkan.
11.
Adakah tatu dibenarkan Islam?
Tatu adalah haram dalam Islam. Hukum ini berdasarkan hadith yang sahih yang diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud; Allah melaknati orang yang membuat tatu, yang mendapatkan tatu, yang memakan riba, yang membayar wang riba, yang menciptakan imej dan Allah melarang harga seekor anjing dan pendapatan seorang pelacur.

Membuat tatu biasanya melibatkan jarum yang mana dakwatnya dimasukkan ke dalam lubang yang dicucuk sehinggalah ia menjadi kekal di dalam kulit. Ia juga melibatkan menyakiti diri sendiri dan ini adalah haram dalam Islam.

Diriwayatkan oleh Abu Juhayfa a.s. bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa Islam melarang perkara yang menyebabkan kesakitan ke atas anggota badan.

Tatu juga merupakan sesuatu penipuan dan mengubah ciptaan Allah s.w.t yang semulajadi.
12.
Sahkah nikah, solat dan wudhu' seseorang yang mempunyai tatu?
Tatu tidak menghalang kesahihan pernikahan, kerana ia bukan antara syarat-syarat sahnya nikah.
Tatu juga tidak menghalang kesahihan solat dan wuduk kerana ia adalah suntikan warna ke bawah kulit. Maka ia tidak menghalang air dari terkena kulit.
Walau bagaimanapun, usaha perlu dilakukan untuk menghilangkan tatu tersebut dan orang itu mesti segera bertaubat kepada Allah s.w.t.
13.
Adakah memakai kanta sentuh berwarna dibenarkan?
Tiada nas dalam Al-Qur’an dan Hadith yang melarang pemakaian kanta sentuh berwarna. Ia juga bukan merupakan sesuatu yang mengubah ciptaan Allah s.w.w secara kekal. Seseorang itu haruslah melihat kepada tujuan disebalik pemakaiannya, jika ia dengan tujuan menipu maka ia tidak dibenarkan. Jika tiada penipuan yang terlibat dalam pemakaiannya, maka ia dibenarkan.
14.
Adakah pelajar-pelajar Islam dibenarkan melihat dan menyentuh kondom dengan tujuan pendidikan?
Tidak terdapat nas dari Qur’an atau Sunnah yang melarang orang-orang Islam dari memegang atau melihat kondom. Oleh itu, mengajar pelajar-pelajar Islam tentang kondom dan bahan-bahan kontraseptif adalah dibenarkan, lebih-lebih lagi untuk tujuan pendidikan. Walaubagaimanapun, guru yang mengajar haruslah menerangkan bahawa seks diluar nikah adalah dilarang Islam. Keterangan yang lebih lanjut juga harus diberikan bahawa bahan kontraseptif hanya boleh digunakan oleh sepasang suami isteri dengan keizinan dari kedua-dua pihak.
15.
Apakah pandangan Islam tentang homoseksualiti?
Islam tidak mengiktiraf homoseksualiti. Terdapat dua jantina sahaja bagi manusia iaitu lelaki dan wanita. Walaupun jika zakar seorang lelaki dipotong, ia masih dianggap sebagai seorang lelaki. Walaupun ia menjalani pembedahan untuk mengubah jantinanya, ia masih dianggap sebagai seorang lelaki. Seorang lelaki tidak boleh menjadi seorang wanita dan sebaliknya. Kromosom XY seorang lelaki tidak boleh menghapuskan kesemua kromosom Y untuk menjadi seorang wanita dan kromosom XX tidak boleh menggantikan satu X dengan kromosom Y. Oleh itu, seorang lelaki akan sentiasa dianggap sebagai lelaki dan begitu juga seorang wanita, tidak kira apa perubahan luaran yang dilakukannya.



Allah s.w.t telah berfirman: “Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.” (Surah Yaasin, ayat 36)


“Lalu Tuhan menjadikan daripadanya dua jenis - lelaki dan perempuan.” (Surah Al-Qiyaamah, ayat 39)
16.
Apakah hukum seseorang yang menukar jantinanya?
Islam mengiktiraf kewujudan dua jantina sahaja, iaitu lelaki dan perempuan. Apa yang telah Allah s.w.t tetapkan sebagai jantina bagi seseorang, ia tidak ada hak untuk menukar jantinanya, dan dia tidak akan boleh menukar jantinanya seratus peratus walau bagaimana besar usahanya. Seseorang wanita yang tukar jantinanya kepada lelaki tetap tidak boleh mengeluarkan air mani dan tetap tidak boleh menghamilkan wanita lain. Seorang lelaki yang tukar jantinanya kepada wanita, tetap tidak boleh hamil dan datang haid.
Hakikatnya, Allah s.w.t telah menciptakan hanya dua jenis kromosom seks, iaitu kromosom X dan kromosom Y. Tiada ada mana-mana makhluk yang boleh tukar kesemua kromosom dalam badannya untuk menjadikannya wanita atau lelaki.
Oleh itu, pembedahan dalam usaha untuk menukar bentuk fizikal seseorang kepada jantina lain, adalah Haram dan dilaknat oleh Allah s.w.t.
Orang yang menjalani pembedahan jantina, hanyalah menukar secara luaran sahaja, atau cara "superficial". Macam seseorang itu modify bentuk keretanya, tetapi enjinnya tetap sama.
Perasaan kelelakian dalam wanita, dan perasaan kewanitaan dalam lelaki, tidak boleh sampai mendorong seseorang itu untuk memakai pakaian kaum bukan sejenisnya, apatah lagi untuk menukar jantinanya.
17.
Memandangkan TV menunjukkan banyak perkara-perkara yang bercanggah dengan Islam, adakah ia sesuatu yang haram?
TV adalah alat elektronik. Ia adalah sesuatu yang berkecuali atau neutral, seperti pisau dan alat-alat lain. Aplikasi atau penggunaannya akan menentukan adakah orang yang menggunakannya akan berdosa ataupun tidak. Jika seseorang itu menggunakan TV untuk menonton program yang mengandungi perkara yang bercanggah dengan Islam, maka ia dilarang. Jika seseorang itu menggunakannya untuk menonton program yang baik dan berpendidikan, maka ia akan menerima ganjaran dari Allah s.w.t.
18.
Adakah menonton wayang dibenarkan dalam Islam?
Ada beberapa perkara yang harus diambil kira jika hendak menonton wayang. Pertama, cerita yang ingin ditonton tidak boleh mempunyai unsur-unsur yang dilarang oleh Islam. Kedua, bersama siapa anda pergi menonton wayang itu juga perlu dijaga. Jika bersama keluarga contohnya, maka boleh. Tetapi, secara kesuluruhan, menonton wayang ini tidak digalakkan di dalam Islam kerana mendapat unsur yang kurang baik seperti berada di dalam bilik yang gelap bersama orang-orang yang bukan
19.
Adakah bersembang menerusi internet atau chatting dibenarkan Islam memandangkan ia tidak melibatkan pergaulan secara fizikal antara lelaki dan wanita?
Islam melarang pergaulan bebas antara lelaki dan wanita untuk mengelak dari hasutan Syaitan untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang haram seperti zina, gangguan emosi dan sosial. Oleh yang demikian, apa sahaja cara yang boleh menyebabkan perkara-perkara ini berlaku perlu dielakkan. Bersembang dan bergaul di internet, walaupun ia bukan dalam kategori pergaulan bebas secara fizikal, ia masih dianggap sebagai pergaulan bebas yang boleh mencetuskan hasutan Syaitan. Oleh itu, jika tiada keperluan bagi seseorang itu untuk bersembang di internet, maka ia wajib dielakkan. Malah, Islam secara umumnya melarang perkara-perkara yang tidak berfaedah dan membuang masa.

Jika ada keperluan, maka ia haruslah dibataskan untuk tujuan keperluan tersebut sahaja dan tidak lebih dari itu.
20.
Bolehkah membawa alat elektronik (telefon bimbit/ PDA) yang dimuat-turunkan ayat-ayat alquran ke dalam tandas?
Al-Quran adalah kitab suci yang wajib dimuliakan dan tidak boleh dibawa ke dalam tandas. Al-Quran yang berada dalam bentuk elektronik, jika tidak dipaparkan ayat-ayatnya, bukanlah dianggap sebagai Al-Quran. Ini adalah kerana ia disimpan dalam memori dalam bentuk elektrikal, dan tiada bentuk penulisan. Oleh itu, alat-alat elektronik yang menyimpan ayat-ayat Al-Quran, boleh dibawa ke tandas selagi mana ayat-ayat tersebut tidak dipaparkan di skrin. Begitu juga, suara pembacaan Al-Quran tidak boleh diperdengarkan dalam tandas.
21.
Sekiranya seseorang itu ingin membaca Al Quran online, perlukah berwudhu'?
Orang Islam hanya perlu berwudhu' apabila memegang mushaf Al-Quran. Adapun membacanya, walaupun on-line, ia tidak perlu berwudhu'.
22.
Bolehkah seseorang itu memakai pakaian yang dicetak dengan terjemahan ayat-ayat Qur’an?
Adalah dilarang untuk memakai pakaian yang dicetak dengan ayat-ayat Qur’an kerana pakaian tersebut akan menjadi kotor, dicuci, dikeringkan dan juga terdapat kemungkinan apabila dipakai, ia dibawa masuk ke dalam tandas. Akan tetapi, memakai pakaian yang dicetak dengan terjemahan ayat-ayat Al-Qur’an adalah dibenarkan. Walaubagaimanapun, kehormatan haruslah diberikan kepada pakaian sebegini, seperti tidak memakainya di tempat yang kurang baik. Ia juga dilarang dari dicetak di bahagian belakang atau bahagian bawah baju tersebut.
23.
Adakah menampal ayat-ayat Al-Qur’an di tingkap belakang sebuah kereta dibenarkan?
Adalah tidak sesuai untuk meletakkan ayat-ayat Al-Qur’an di belakang punggung atau di bawah kaki. Kehormatan yang sewajarnya mesti diberikan kepada Al-Qur’an. Oleh itu, menampal ayat-ayat Al-Qur’an di tingkap belakang sebuah kereta adalah dibenarkan memandangkan ia bukanlah diletakkan secara langsung dibelakang punggung si pemandu atau si penumpang.
24.
Adakah wajib bagi seorang Islam mempunyai nama dalam Bahasa Arab atau Melayu?
Adalah sesuatu tanggapan salah yang sangat biasa bahawa seorang Islam mesti mengambil nama dalam Bahasa Arab atau Melay untuk dikenal pastikan sebagai seorang Islam. Ini bukanlah sesuatu yang disuruh Islam. Menjadi seorang Islam tiada kaitannya dengan jenis atau bahasa nama seseorang itu. Kriteria bagi nama seorang Islam adalah ia tidak harus membawa maksud yang tidak baik dalam mana bahasa atau membawa nama “Allah”. Keimanan seseorang Islam bukan diukur dengan namanya tetapi ia diukur dengan taqwa dan ibadahnya.



Oleh yang demikian, seorang Islam dengan nama Cina atau India dibenarkan Islam.
25.
Adakah wajib bagi seorang yang memasuki Islam meletakkan “Muhammad” dan/atau ber”bin”kan Abdullah dinamanya?
Nama Islam tidak seharusnya berbahasa Arab. Ia boleh datang dari mana-mana bahasa, selagi mana ia membawa maksud yang baik dan selagi mana tiada kebingungan dengan nama yang bukan Islam. Nama Islam yang baik juga adalah nama yang bukan nama tuhan-tuhan agama lain.

Oleh yang demikian, bukanlah satu kewajipan untuk menambahkan “Muhamamad” kepada nama seseorang itu ataupun “bin Abdullah” bagi yang baru memasuki Islam. Rasulullah s.a.w telah menggalakkan kita untuk memilih nama yang baik dan keutamaan harus diberikan kepada nama yang bermula dengan “Abdul” dan ia diikuti dengan nama Allah seperti Abdullah, Abdul Rahman dan sebagainya. Kemudian, keutamaan juga diberikan kepada nama Rasulullah seperti Muhammad, Ahmad, Mahmud dan sebagainya. Keutamaan diikuti dengan nama-nama nabi yang lain, sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w,, nama-nama wali dan ulama. Mudah-mudahan, orang yang membawa nama mereka akan mewarisi sifat-sifat mereka yang mulia.
26.
Pakaian berenang yang macamanakah yang dibenarkan Islam?
Islam telah menetapkan panduan yang spesifik mengenai pakaian dan adab pergaulan antara lelaki dan wanita. Bagi lelaki, auratnya adalah antara pusat dan lutut. Bagi wanita, auratnya adalah seluruh tubuhnya kecuali tapak tangan dan wajahnya dengan lelaki yang bukan mahramnya. Apabila ia dengan wanita sahaja, maka ia mestilah menjaga penghormatannya dengan berpakaian yang sederhana dan dibenarkan mendedahkan tubuhnya kecuali antara pusat dan lututnya.

Islam menggalakkan umatnya bersukan dan bersenam, termasuklah berenang. Walaubagaimanapun, adab berpakaian yang telah ditetapkan Islam mesti dipatuhi. Apabila sedang berenang, seorang muslimah mestilah tiak dilihat oleh kaum lelaki (kecuali suaminya). Pakaian renang yang sesuai baginya adalah yang menutup bahagian atas dan bawah tubuhnya sehingga lututnya. Pilihan warna pula terpulang kepada pemakainya dan tidak menjadi masalah. Pakaian tersebut haruslah tidak terlalu ketat sehinggakan ia menunjukkan bentuk badan wanita tersebut.
27.
Bolehkah seseorang itu mengumpul patung-patung sebagai hobi?
Rasulullah s.a.w melarang kita dari menyimpan patung berbentuk manusia dan binatang yang cukup sifatnya, kerana ini boleh menimbulkan dalam diri kita sifat mengagungkannya, yang merupakan bibit-bibit bagi syirik.
Namun, untuk menyimpan anak patung mainan kanak-kanak yang cukup sifat, atau perhiasan binatang yang tidak cukup sifat, maka ia dibenarkan dalam Islam, tetapi tidak digalakkan kerana ia merupakan satu perbuatan yang tiada mendatangkan manfaat untuk akhirat.
28.
Bolehkah berkerja sebagai juruwang di pasar raya yang menjual arak?
Pekerjaan sebagai juruwang di pasaraya yang menjual arak adalah jenis pekerjaan yang mengandungi halal dan haram, namun yang halal adalah lebih dari yang haram. Harus untuk orang Islam mengambil jawatan ini, tetapi dia perlu ketepikan sedikit wang gajinya untuk disedekahkan setiap bulan agar dapat membersihkan hartanya dari unsur-unsur haram.
29.
Apakah hukum bekerja di syarikat yang terlibat dalam perjudian?
Islam melarang perjudian. Ini jelas dalam Al-Quran dan hadith. Oleh itu, umat Islam dilarang dari berjudi, atau terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan perjudian. Sebagai contoh, bekerja dengan syarikat yang terlibat dengan perjudian dilarang dalam Islam.
Oleh itu, sebaiknya orang yang bekerja di syarikat yang terlibat dalam perjudian mencari kerja di tempat yang lebih sesuai dan yang tidak melanggar syariat Islam.
30.
Bolehkah seorang Islam menceburi bidang lukisan dan grafik?
Terdapat hadith yang jelas yang melarang orang Islam dari menggambarkan haiwan yang hidup. Tujuan disebalik larangan ini adalah untuk mengelakkan dari amalan menyembah lukisan-lukisan tersebut.


Jika sebuah lukisan, tidak kira samada yang menggambarkan seluruh tubuh atau sebahagiannya sahaja, makhluk yang betul atau yang tidak wujud, adalah untuk tujuan pendidikan, maka ia dibenarkan, In Sya Allah. Walaubagaimanapun, seseorang itu dilarang melukis perkara yang akan disembah, seperti melukis gambar tuhan-tuhan bukan Islam yang akan digunakan untuk disembah.
31.
Adakah bekerja sebagai mata-mata atau penyiasat upahan dibenarkan Islam?
Bekerja sebagai mata-mata atau penyiasat upahan dibenarkan Islam selagi mana penyiasatan itu tidak dilakukan bagi tujuan peribadi dan selagi mana ia tidak mendedahkan atau mencerobohi aurat orang yang disiasati.

Label: ,

Pendermaan organ dalam Islam
1.
Apakah hukum pemindahan organ di dalam Islam?
Pemindahan organ dilakukan untuk menggantikan organ yang tidak berfungsi atau rosak, dengan tujuan merawati pesakit. Proses ini merupakan suatu cara perubatan yang diharuskan oleh Islam. Oleh yang demikian, para fuqaha’ telah memutuskan bahawa hukum pemindahan organ adalah harus. Ini bertepatan dengan matlamat Syara’ (maqasid Syari’ah) yang memandang berat terhadap kebajikan dan maslahat manusia, serta pemeliharaan nyawa manusia.
Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud: “Sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.” (Surah Al-Ma'idah, ayat 32)
Tidak syak lagi bahawa pemindahan organ termasuk di dalam menjaga kehidupan manusia. Namun, pemindahan tersebut tidak boleh menyebabkan mudarat kepada orang yang diambil darinya organ untuk dipindahkan kepada orang lain. Ini berdasarkan kaedah di dalam Syara’ yang menetapkan bahawa “sesuatu kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan cara menyebabkan kemudaratan kepada orang lain”. Kaedah ini menjelaskan bahawa sesuatu kemudaratan tidak boleh dihindarkan dengan mendatangkan mudarat yang setimpal atau yang lebih besar darinya.
2.
Apakah hukum pendermaan organ di dalam Islam?
Terdapat dua jenis pendermaan organ. Yang pertama adalah pendermaan dari seseorang sewaktu hayatnya. Kedua adalah pendermaan dari seseorang setelah ia meninggal dunia.
Umumnya, pendermaan organ adalah dibolehkan di dalam Islam. Ia adalah sesuatu pemberian yang sangat bernilai, sepertimana wang ringgit dapat melapangkan kehidupan orang yang memerlukan. Begitu juga penderma organ akan melapangkan kepayahan yang dideritai oleh para pesakit selama ini. Ini adalah kerana pendermaan organ merupakan cara yang dapat membantu pesakit, serta menyelamatkan nyawanya.
Para ulama’ telah mengharuskan juga pendermaan organ dari seseorang yang telah meninggal dunia kepada yang masih hidup, jika si mati telah mengizinkan sewaktu hayatnya, atau warisnya mengizinkan pendermaan tersebut. Islam memberi penekanan dalam memberi seorang Islam pilihan untuk menderma ataupun tidak dan untuk mengikrarkan pilihan tersebut sewaktu ia hidup. Dalam sistem opt-in, seperti MTERA, izin boleh diberikan dengan berikrar. Adalah penting bagi seseorang itu untuk memberitahu ahli keluarganya tentang pilihannya agar ia dihormati selepas kematiannya.
3.
Bukankah sakit itu takdir Allah dan pesakit harus menerimanya dan tidak mengharapkan organ yang diderma?
Aqidah Islam mengajar kita bahawa semua kuasa adalah di tangan Allah S.W.T. Namun, kita disuruh juga supaya berusaha dan mencari jalan penyelesaian yang bersesuaian dengan kemampuan, dan bukan berserah kepada taqdir tanpa berusaha melakukan sesuatu. Oleh itu, walaupun kita beriman bahawa Allah S.W.T. memberi dan menyediakan rezki, namun kita diperintahkan keluar bekerja dan mencari nafkah. Begitu juga ajaran Islam di dalam perkara mengubati penyakit. Seseorang Muslim disuruh mencari ubat bagi penyakitnya, dan setelah melakukan usaha tersebut, barulah bertawakkal kepada Allah S.W.T. tentang hasil usaha perubatan yang dijalaninya. Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud: “Bagi setiap penyakit, Allah menyediakan penawarnya” (Hadith riwayat Al-Bukhari)
Pesakit yang memerlukan organ baru berhak menerima bantuan yang selayaknya dari masyarakat. Adalah juga tanggungjawabnya untuk mendapatkan khidmat perubatan untuk penyakit yang dideritainya, dan ini termasuk mencari organ untuk menggantikan organ asalnya yang tidak berfungsi lagi. Masyarakat pula berperanan menghulurkan bantuan untuk menyelamatkan nyawa pesakit-pesakit, dan berusaha untuk menghilangkan kemudaratan mereka, tanpa menimbulkan kemudaratan bagi diri sendiri. Ini boleh dilakukan dengan menderma organ mereka, selagi mana ia tidak memudaratkan diri penderma
4.
Mengapakah Islam menggalakkan kita untuk menjadi pengikrar?
Berikrar untuk menderma organ adalah sesuatu yang amat digalakkan Islam. Amalan ini bersesuaian dengan prinsip-prinsip Islam yang bersifat universal dan dapat diterima semua kelompok manusia. Prinsip-prinsip ini termasuk sifat rahmah atau saling mengasihi, bantu-membantu dan sedekah jariah (yang berterusan).
Berikrar untuk menderma organ merupakan suatu usaha yang diwarnai sifat rahmah dan belas ihsan. Seseorang yang berikrar, tidak kira jika organnya dipindahkan ataupun tidak, akan menerima ganjaran yang sewajarnya dari Allah s.w.t atas niat dan perbuatannya yang bersesuaian dengan sifat rahmah dan ihsan. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Allah Yang Maha Pengasih akan mengasihi mereka yang bersifat pengasih. Maka kasihanilah mereka yang berada di bumi ini nescaya kamu mendapat rahmah dari Dia yang dilangit.” (Hadith riwayat At-Tarmizi)
Islam juga menekankan prinsip ta’awun (bantu-membantu) di antara umat manusia. Seseorang yang menderita penyakit dan memerlukan organ untuk meneruskan hidupnya tentu sekali perlu dibantu dengan apa segi cara pun, selagi mana ia tidak memudaratkan diri orang yang membantu. Pada masa yang sama, derma tersebut akan juga mengurangkan kesusahan dan beban yang ditanggung oleh keluarga pesakit. Di dalam masalah pesakit ginjal, kos dialisis adalah tinggi dan menyebabkan kesempitan kewangan bagi pesakit dan keluarganya. Persekolahan anak dan pembangungan keluarga pesakit juga terjejas teruk, selagi mana pesakit tidak mendapat ginjal baru. Oleh itu, masyarakat harus berusaha membantu dengan segenap cara yang diizinkan syara’.
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada yang melakukan dosa dan permusuhan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab siksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)”. (Surah Al-Ma'idah, ayat 2)
Pada masa yang sama, amalan ini juga dianggap sebagai sedekah jariah. Sedekah jariah bermaksud sedekah yang berterusan ganjarannya bagi orang yang melakukannya, walaupun selepas kematiannya, selagi mana ada yang masih mendapat manfaat dari sedekah tersebut dalam apa jua bentuk pun. Rasulullah S.A.W. telah bersabda: “Apabila seorang manusia meninggal dunia, akan terputus amalannya kecuali tiga perkara iaitu; sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya”. (Hadith riwayat at-Tarmizi)
Apatah lagi bantuan yang diberikan ini akan memberikan peluang bagi para pesakit meneruskan kehidupannya dan juga membantu mengurangkan penderitaan yang dihadapinya dan juga keluarganya.


5.
Bolehkan seseorang Muslim menderma untuk orang bukan Islam?
Rasulullah s.a.w diutuskan kepada alam semesta sebagai rahmatan lil aalamin, rahmat bagi seluruh alam, kepada semua umat manusia, samada yang beragama Islam, atau bukan Islam. Islam mengajar umatnya berbuat baik dan bersifat ihsan kepada semua makhluk ciptaan Tuhan, apatah lagi kepada manusia yang memerlukan bantuan. Ini termasuk bantuan yang boleh diberikan kepada orang yang bukan Islam yang hidup damai dan sejahtera dengan umat Islam. Al-Quran menganjurkan bagi umat Islam untuk berbuat baik, menghulurkan bantuan, dan bekerjasama dalam perkara yang mendatangkan kebaikan kepada kehidupan manusia umumnya. Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari tempat tinggal kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Surah Al-Mumtahanah, ayat 8)
Al-Quran juga menerangkan ganjaran yang akan diberikan oleh Allah S.W.T bagi mereka yang telah menghulurkan bantuan dan sumbangan dalam segala bentuknya untuk mendapat keredhaan Allah S.W.T.
Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud: “Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Rasulullah) menjadikan mereka (yang tidak beriman) mendapat petunjuk, akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang Ia kehendakinya. Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri, dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah, dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.” (Surah Al-Baqarah, ayat 272)
Rasulullah S.A.W. juga telah menekankan tentang pentingnya sifat ihsan yang harus ada pada setiap muslim. Sifat ihsan bererti berbuat baik, membantu dan menunjukkan belas kasihan kepada semua mahluk, termasuklah mereka yang bukan Islam. Rasulullah S.A.W. telah bersabda: “Sesungguhnya Allah s.w.t mewajibkan keihsanan atas semua perkara.” (Hadith riwayat Al-Bukhari)
6.
Apakah dasar-dasar yang diambil kira untuk mengeluarkan sesuatu fatwa?
Fatwa merupakan sumber penting di dalam bidang perundangan Islam, terutama pada zaman yang penuh dengan cabaran dan perubahan yang pesat kepada kehidupan manusia. Masyarakat hari ini terdedah kepada pelbagai isu-isu baru yang memerlukan penelitian yang bijak yang berdasarkan prinsip-prinsip agama dalam menghadapi dan menghuraikannya. Di sinilah fatwa memainkan peranan yang sangat penting dan memberi kesan yang besar dalam hidup setiap Muslim. Ini terutama sekali bagi mereka yang hidup sebagai golongan minoriti dalam sebuah negara yang sekular yang berbilang bangsa dan agama.
Pengeluaran sesuatu fatwa di dalam perundangan Islam berdasarkan beberapa prinsip. Di antaranya adalah:

Sumber-sumber dasar Syariah Islam dan roh Syariah serta matlamat-matlamatnya (maqasid Syariah).
Selain berdasarkan Al-Quran dan Sunnah sebagai sumber utama, Ijma’ dan Qiyas juga merupakan sumber yang telah disepakati para ulama di dalam mengeluarkan hukum. Matlamat-matlamat Syariah seperti penjagaan agama, jiwa, intelek, harta dan keturunan, juga menjadi dasar fatwa.
Menjaga maslahat dan kepentingan masyarakat Islam secara umum.
Fatwa perlu membantu dalam memastikan hak dan tanggungjawab semua terpelihara dan maslahat sesebuah masyarakat sentiasa terjaga. Oleh itu, sebelum mengeluarkan suatu fatwa, keadaan, keperluan dan konteks kehidupan masyarakat, harus dikaji dan diambil kira.
Mengambil pilihan yang lebih mudah, yang dapat menyelesaikan masalah semasa dan bersesuaian dengan keadaan dan konteks masyarakat Islam Singapura, selagi ia tidak melanggar Syara'.
Dasar ini adalah dengan tujuan membantu masyarakat Islam agar dapat melaksanakan ajaran Islam, tanpa menanggung kesulitan atau membebankan mereka dengan hukum yang sukar hendak dilaksanakan.
7.
Mengapakah fatwa Muis mengenai pendermaan organ berubah?
Hukum Islam secara dasarnya harus bertepatan dengan tempat, zaman dan keadaan, seperti yang dijelaskan pada soalan lalu. Imam Ibn Shihab Al-Qarafi juga telah menerangkan bahawa hukum-hukum yang terbina di atas ‘urf (keadaan dan kebiasaan) akan berputar bersamanya, maka ia akan terbatal apabila kebiasaan tersebut terbatal, dan ia akan berkekalan selagi mana kebiasaan tersebut berkekalan. Syariat Islam juga mengandungi aspek-aspek yang bersifat anjal dan dinamik, yang berubah mengikut konteks zaman, tempat dan keadaan, dan membolehkan agama kekal relevan buat semua manusia. Perkembangan ini juga berdasarkan beberapa perkara seperti:

Pendapat dan fatwa ulama muktabar.
Pendapat jumhur ulama tentang isu pendermaan organ merupakan sesuatu yang agak baru. Pada tahun 1973, Jawatankuasa Fatwa MUIS telah mengeluarkan fatwa mengenai pendermaan ginjal bersesuaian dengan keadaan pada masa itu, di mana belum lagi terdapat pendapat ulama yang mengharuskan pendermaan organ. Namun, setelah berkembangnya ilmu perubatan, dan jumhur ulama yakin dengan manfaat pemindahan organ, pendapat mereka mengenai pendermaan organ berubah. Seharusnya, fatwa juga disemak semula agar ia kekal relevan dengan keadaan dan perubahan pada sesuatu masa.

Tahap kegentingan dan keperluan sesebuah perkara.
Kajian dari aspek perubatan menunjukkan bahawa pendermaan organ adalah sesuatu yang amat perlu dan tiada jalan keluar lain untuk menyelesaikan masalah pesakit-pesakit yang memerlukan organ baru kecuali dengan pemindahan. Perbandingan di antara jumlah pesakit yang memerlukan organ dan jumlah pengikrar juga menunjukkan bahawa terdapat jurang yang terlalu besar. Oleh itu, masalah pesakit telah sampai kepada tahap darurat yang memerlukan jalan keluar, bersesuaian dengan kaedah Syara’ “darurat membolehkan yang terlarang”.

Perkembangan perubatan, sains dan teknologi.
Keputusan fatwa haruslah bersesuaian dengan arus perkembangan zaman dan keperluan masyarakat yang sering berubah. Perkembangan dan pencapaian ilmu perubatan yang telah berkembang begitu pesat sekali di dalam beberapa dekad yang lalu. Hasil daripada penemuan-penemuan baru di dalam kajian perubatan telah membuktikan kadar kejayaan proses pemindahan organ yang tinggi. Dengan ini, pemindahan organ menjadi rawatan yang sesuai dan boleh diterima di dalam Islam. Ini berbeza dengan dapatan dahulu, bahawa cara perawatan sedemikian belum tentu dapat membantu pesakit.

Kita boleh dapati contoh perubahan pada fatwa seperti pada zaman Imam Abu Hanifah, di mana keadaan pemerintahan yang adil dan saksama menyebabkan beliau berpendapat bahawa hukum mengangkat sumpah tidak perlu menjadi syarat, kecuali dalam isu-isu qisas atau hudud.

Walaubagaimanapun, Imam Abu Yusuf dan Imam Muhammad yang merupakan mujtahid dari mazhab Hanafi, berbeza pendapat dari Abu Hanifah. Mereka menetapkan kewajipan mengangkat sumpah kerana masalah-masalah yang dihadapi masyarakat Islam pada zaman mereka, seperti penipuan yang berleluasa dan hak-hak asasi yang dipinggirkan. Dalam hal seperti ini, para ulama menerangkan bahawa ikhtilaf atau selisih pendapat antara mereka sehingga hukum yang diutarakan berlainan, bukanlah atas sebab perbezaan hujjah dan pendapat, tetapi kerana zaman dan keadaan masyarakat yang berbeza.
Oleh yang demikian, penilaian semula dan perubahan pada fatwa adalah asas untuk kita sentiasa menjaga maslahat masyarakat, sepertimana yang dilakukan para ulama yang terdahulu. Ini boleh dilakukan di dalam aspek hukum yang bersifat anjal, dan bukan pada dasar-dasar dan prinsip Syara’ yang tidak menerima perubahan.
8.
Adakah proses pemindahan organ selepas meninggal mencabuli kehormatan mayat?
Umumnya, manusia dilarang dari mencabuli kehormatan tubuh mayat seperti yang disabdakan oleh Baginda Rasulullah s.a.w yang bermaksud “Memecahkan (mematah atau meremukkan) tulang mayat sama seperti memecahkan tulang manusia yang masih hidup.” (Hadith riwayat Ibn Majah)
Maka kehormatan yang diberikan kepada seorang manusia yang masih hidup harus juga diberikan kepada seorang manusia yang sudah mati. Kematian seseorang itu tidak memberi ruang bagi manusia lain untuk menganiayainya. Walaubagaimanapun, hadith di atas membicarakan tentang penghinaan dan perbuatan ke atas mayat yang tidak dizinkan Syara’. Hadith tersebut bermaksud melarang dari mengudungkan mayat, menghodohkan wajahnya dan menghinanya, seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyyah dalam peperangan.

Namun, Syara’ membolehkan pembedahan ke atas mayat untuk mengeluarkan bayi yang masih hidup dari kandungan ibunya yang sudah meninggal dunia, atau mengeluarkan sesuatu yang amat berharga seperti sebuah berlian dan sebagainya. Oleh itu, pembedahan untuk mengambil organ dari si mayat, untuk didermakan kepada yang hidup, demi untuk menyelamatkan nyawanya, boleh dilakukan. Ini jauh berbeza dari amalan menghina mayat dengan merosakkannya.
Dr. Yusuf Al-Qaradhawi berpendapat bahawa:
“Sesungguhnya mengambil anggota dari jasad mayat tidak menafikan kehormatan mayat itu. Kehormatan dipelihara tanpa diceroboh. Kerana rawatan pemindahan yang dilakukan ke atas orang yang hidup iaitu dengan penuh cermat, hati-hati dan hormat tanpa menyentuh kehormatan jasad.”
Kemuliaan pada manusia juga menetapkan bahawa mayat harus dihormati dan kumpulan pembedah yang mengeluarkan organ harus bersikap amanah di dalam melaksanakan tugasnya. Di Singapura, Kementerian Kesihatan mempunyai proses pemindahan dengan sistem yang ketat dan dikawal oleh etika kedoktoran, dan pihak kementerian juga memastikan bahawa operasi terhadap mayat dilakukan sama seperti operasi terhadap pesakit hidup.
9.
Adakah jasad manusia milik Allah yang manusia tidak boleh mendermakan bahagian jasad untuk menyelamatkan nyawa orang lain?
Manusia telah diamanahkan untuk memelihara tubuh-badannya dengan baik. Ini bermakna seseorang manusia haruslah memanfaatkan anggota badannya dengan sebaiknya, dan jangan mendedahkan badannya kepada kerosakan. Organ manusia juga bukanlah suatu komoditi yang boleh dijual beli. Namun, ia boleh digunakan untuk menyelamatkan nyawa orang lain, apabila ia tidak lagi diperlukan, seperti setelah mati. Bahkan, dengan mendermakan organ itu kepada orang lain, organ tersebut terus memainkan peranannya, walaupun dalam tubuh badan pesakit yang menerima. Ini tidak menafikan prinsip bahawa manusia milik Allah S.W.T., bahkan ia terkandung di dalam suruhan menggunakan pemberian Allah S.W.T. dengan sebaik-baiknya.
10.
Penyelenggaraan jenazah akan menjadi lewat kerana proses pemindahan organ. Adakah ini dibenarkan?
Di dalam Islam, pengurusan jenazah tidak boleh dilengahkan tanpa sebab yang munasabah. Walaubagaimanapun, proses pemindahan organ bukanlah termasuk dalam kategori melengah-lengahkan jenazah, kerana ia mempunyai sebab yang dizinkan Syara’, iaitu menyelamatkan nyawa orang lain. Perkara ini telah diterangkan oleh Jawatankuasa Fatwa MUIS yang mana ia mengatakan bahawa proses pemindahan organ adalah antara sebab yang boleh diterima sekiranya ia melambatkan urusan penyelenggaraan jenazah penderma organ Islam. Namun demikian, pihak hospital akan memastikan bahawa kelambatan itu dikurangkan seberapa yang boleh.
11.
Adakah seseorang yang otaknya telah berhenti berfungsi (mati otak) itu benar-benar sudah meninggal dunia?
Mati otak adalah keadaan di mana segala fungsi otak telah berhenti dan tidak boleh dikembalikan semula. Seseorang yang mati otak tidak akan dapat bernafas seperti biasa dan memerlukan bantuan pernafasan. Sebaik sahaja alat ini dimatikan, jantung si pesakit akan berhenti berdegup, oleh kerana otaknya telahpun berhenti berfungsi. Seseorang yang mati otak tidak akan bangun atau sedar semula lagi.
Seorang yang mati otak adalah seorang yang telah benar-benar meninggal dunia. Ini adalah pendirian saintifik masyarakat perubatan antarabangsa. Takrif kematian ini juga telah diterima oleh jumhur ulama dan juga Jawatankuasa Fatwa MUIS.
12.
Adakah si penderma dianggap bersubahat jika didapati bahawa si penerima melakukan perkara yang bercanggah dengan Islam selepas menerima organ baru?
Tanggapan bahawa seseorang yang telah menderma organnya akan dianggap sebagai bersubahat dan menanggung dosa apabila didapati bahawa penerima organnya melibatkan diri dalam perkara yang dilarang Islam adalah tidak benar. Jika penerima organ membawa kemudaratan kepada diri sendiri hingga menyebabkan kerosakan organ yang diterima, atau secara umunya melakukan perkara-perkara yang dilarang Islam, dosanya akan ditanggung sendiri tanpa melibatkan mereka yang telah mendermakan organ kepadanya. Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud: “Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). (Surah Al-An’am, ayat 164)

Label:

Selasa, 15 Julai 2008

Insuran Menurut Pandangan Ulama Muktabar
Majma' Buhuts Islamiyyah (Akademi Penyelidikan Islam) Universiti Al-Azhar, Mesir sedang dalam usaha mengumumkan secara rasmi fatwa mengenai keharusan faedah bank selepas Majma' tersebut bersepakat dalam mesyuarat terakhirnya pada 31 Oktober 2002 diketuai oleh Syeikh AL-Azhar Dr. Mohamed Sayyed Tantawi. Fatwa yang mengganggap faedah bank sebagai halal itu dipersetujui oleh majoriti ahli kecuali Dr. Abdel Fattah As-Syeikh dan Dr. Mohamed Ra'fat Uthman yang membangkang fatwa tersebut dan kedua-duanya berpegang bahawa ianya bertentangan dengan syariat Islam. Dalam konteks menerangkan jaminan pengharusan itu, ahli-ahli Majma' menegaskan bahawa mereka mengharuskan pelaburan harta di bank-bank dengan menentukan terlebih dahulu kadar pulangan dengan menganggap ianya termasuk dalam bab Al-Wakalah (Wakil-mewakil), dan harta-harta yang disimpan dalam bank itu dimasukkan dalam pembangunan dan perindustrian negara dan ia mewakili satu bahagian penting dalam ekonomi negara lagipun tidak ada keraguan riba padanya atau eksploitasi satu pihak ke atas pihak yang lain. Dr. Abdel Mu'thi Bayyoumi, (anggota Majma') berkata, : "Sesungguhnya apa yang diharuskan dan diputuskan oleh Majma' Buhuts Islamiyyah hingga hari ini ialah : pelaburan harta dalam bank yang ditentukan kadar pulangannya terlebih dahulu adalah halal, lagipun pengharusan bermuamalat (berurusan) dengan bank-bank yang menetapkan lebih awal kadar pulangan atau keuntungan itu, difokuskan kepada pelaburannya dan juga difokuskan kepada penetapan pulangannya, bukannya di atas makna faedah (interest). Dan ini tidak ada apa-apa dari segi syara'." Abdul Mu'thi menambah bahawa "Pelaburan yang dilakukan oleh bank terhadap harta-harta individu dalam pelaburan yang halal menyerupai penetapan lebih awal kadar pulangan itu termasuk dalam bab al-Wakalah, sebagaimana ianya menjaga harta daripada kerosakan hak yang kadang-kadang boleh membawa kepada kehilangan keuntungan harta pelabur". Beliau juga berkata bahawa "Penetapan kadar faedah menjamin tidak merosakkan pulangan atau keuntungan kepada pemilik harta dan al-Azhar as-Syareef akan mengeluarkan fatwa khas mengenai perbankan dengan draf terakhirnya selepas selesai pengkajiannya secara terperinci". Dr. Mohamed Ibrahim al-Fayyoumi (anggota Majma' Buhuts Islamiyyah) berkata bahawa pengharusan penetapan kadar keuntungan terlebih awal bagi harta-harta dalam bank, mempunyai beberapa pandangan (view), antaranya ialah tidak ada riba antara kerajaan dan rakyatnya, muamalat (urusan) dengan bank-bank yang menetapkan kadar faedah adalah harus memandangkan penjamin pertama bagi bank-bank itu adalah kerajaan. Tambahan lagi, harta yang diletakkan dalam bank itu dimasukkan dalam pembangunan dan perindustrian negara, pelaburan harta dalam bank itu boleh menyumbang kepada pembangunan menyeluruh kepada negara". Al-Fayyoumi menambah bahawa "resolusi (keputusan) Majma' Buhuts Islamiyyah adalah sah daripada segi syara' kerana dalam muamalah dengan bank (yang menetapkan dengan lebih awal kadar pulangan) tidak berlaku padanya muamalat seorang individu dengan individu yang lain, atau seorang penghutang dengan pemiutang. Makna eksploitasi pemiutang terhadap penghutang tidak terdapat dalam urusan (muamalat) ini". Beliau menjelaskan bahawa operasi bank dengan keuntungan bersama individu pemilik harta bermakna menjadikan bank sebagai wakil dalam melaburkan harta-harta ini. Al-Wakalah ini adalah disyariatkan dalam Islam. Pembangkang Di pihak lain, Dr. Mohamed Ra'fat Uthman (anggota Majma' Buhuts Islamiyyah) menolak persetujuan mengenai fatwa mengharuskan faedah bank. Beliau menjelaskan ianya haram secara mutlak, kerana, kalau diandaikan ia bukan riba sekalipun, ia termasuk dalam mudharabah faasidah (perkongsian perniagaan yang salah). Beliau menjelaskan bahawa mudharabah Islamiyyah maknanya ialah di sana mesti ada persetujuan di antara tuan punya harta dan individu atau pihak tertentu untuk melaburkan harta ini atas dasar pihak tadi akan mendapat nisbah daripada keuntungan. Adapun menetapkan jumlah tertentu daripada harta (sebagaimana yang berlaku dikebanyakan bank) untuk salah satu daripada dua pihak, ianya membawa kepada kerosakan mudharabah sebagai salah satu jalan pelaburan harta. Beliau menambah, seandainya dikatakan bahawa meletakkan harta di bank tujuannya untuk melabur, sesungguhnya menetapkan kadar keuntungan terlebih dahulu boleh membawa kepada gharar (penipuan) yang ditegah oleh syara' kerana padanya berlaku kehilangan habuan salah satu antara dua pihak. Beliau menjelaskan bangkangannya terhadap fatwa itu berasaskan kepada kaedah bahawa faedah bank yang telah ditetapkan terlebih dahulu tidak harus dari segi syara' dan tidak berlandaskan kepada ajaran Islam bahkan kita tidak boleh menganggapnya sebagai mudharabah Islam. Sementara itu, Dr. Abdul Fattah As-Sheikh (bekas Rektor Universiti Al-Azhar) bersetuju dengan pendapat Dr. Mohamed Ra'fat Uthman. Beliau menegaskan bahawa tidak harus meletakkan hukum pengharusan faedah bank. Ini disebabkan oleh muamalat bank yang pelbagai. Beliau menjelaskan, ia mesti dilihat kepada setiap muamalat di bank itu sendiri daripada segi objektifnya. Dari situ kita boleh melihat muamalat bank yang menyalahi ajaran agama Islam, maka ia diharamkan dan muamalat bank yang menepati ajaran Islam, maka ia diharuskan. Syeikh itu menambah, sekiranya diharuskan pelaburan di bank dengan mengganggapnya sebagai wakil daripada pemilik harta, maka disyaratkan pelaburan itu bertepatan dengan syariat Islam dan tidak bertembung dengan ajaran agama. Contohnya (tidak dibolehkan) pelaburannya dalam membina kilang-kilang arak atau pembinaan kawasan ternakan khinzir atau membina kelab malam dan lain-lain- tidak harus secara mutlak mengeluarkan fatwa mengenai keharusan faedah bank. Perhimpunan majma' yang mengharuskan faedah bank ini dihadiri oleh Dr. Mohamed Sayyed Tantawi (Syeikh Al-Azhar), Dr. Mahmud Hamdi Zaqzuq (Menteri Waqaf Mesir), Dr. Ahmed Omar Hasyim (Rektor Universiti Al-Azhar), Dr. Ahmad At-Tayyib (Mufti Mesir), Syeikh Mohammed Ar-Rawi, Dr. Abdel Fattah As-Sheikh, Dr. Badr Al-Minyawi, Dr. Abdel Mu'thi Bayyoumi, Dr. Abder-Rahman Al-'Adawi, Dr. Mohammed Ra'fat Uthman, Dr. Soufi Abou Talib, Dr. Taha Abu Kareeshah, Dr. Mohammed Ibrahim Al-Fayyoumi, Dr. Mohammed Rajab Al-Bayyoumi dan Dr. Hasan 'Abbas Zaki. Suka disebut bahawa fatwa "Faedah Bank" yang dijadualkan akan diumumkan tidak lama lagi, belum lagi dibentangkan atau didiskusikan dalam Lajnah Buhuth Fiqhiyyah (Lembaga Penyelidikan Fiqh) meskipun ianya adalah lajnah khusus bagi membincangkan kes yang seumpama ini bagi menentukan hukum syar'ie baginya, kemudian barulah dibentangkan kepada Majma' Buhuth Islamiyyah. Syeikh Yusof Al-Qardhawi (ulama Islam yang mendapat pengiktirafan luas di dunia Islam) pernah menegaskan dalam fatwanya yang lalu bahawa faedah (interest) tetap yang diambil oleh penyimpan di bank adalah riba yang diharamkan khususnya sekiranya penambahan modal penyimpan itu terhasil tanpa daripada jalan musyarakah (persyarikatan), tanpa mudharabah dan tanpa dari mana-mana jenis perniagaan, ini adalah riba yang diharamkan, tidak boleh mengambilnya. Majlis Majma' Fiqhi Islami dalam sidangnya yang kesembilan yang diadakan di bangunan Raabitah al-'Alam Al-Islami di Makkah al-Mukarramah pada hari Sabtu, 12 Rejab 1406 H hingga hari Sabtu, 19 Rejab 1406 H bersamaan 23 Mac 1986 hingga 30 Mac 1986M telah melihat dalam tajuk "Penularan Urus-Niaga Ribawi, Muamalah Orang Ramai Dengannya dan Ketiadaan Alternatif Lain Menggantikanya" mengambil keputusan bahawa orang-orang Islam seluruhnya wajib meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah daripada muamalah ribawiyyah (urusan yang berunsurkan riba) samada mengambil atau memberi dan juga menolong atas muamalah ribawiyyah dengan apa cara sekalipun supaya tidak jatuh ke atas mereka azab Allah. Ia menjelaskan bahawa setiap harta yang datang daripada jalan faedah ribawiyyah ianya adalah harta haram dari segi syara', tidak harus bagi seorang Muslim (penyimpan harta) memanfaatkannya untuk dirinya sendiri atau untuk mana-mana individu di bawah tanggungannya pada mana-mana keadaan sekalipun. Faedah bank itu hendaklah dibelanjakan untuk kemaslahatan umum umat Islam seperti untuk membina sekolah, hospital dan lain-lain. Membelanjakan wang faedah bank ini bukan termasuk dalam bab sedekah tetapi termasuk dalam bab membersihkan daripada yang haram. Sebagaimana juga mu'tamar kedua Majma' Buhuth Islamiyyah yang berlangsung di kota Kaherah pada bulan Muharram tahun 1385H bersamaan Mei 1965M dan ianya dihadiri oleh wakil-wakil daripada 35 negara Islam, mu'tamar itu membuat ijma' bahawa faedah yang dikenakan ke atas semua jenis hutang semuanya adalah riba yang diharamkan, tidak ada beza yang demikian itu antara apa yang dinamakan sebagai hutang penggunaan dan apa yang dinamakan sebagai hutang pengeluaran. Ini kerana nas-nas kitab dan Sunnah semuanya secara qat'ie mengharamkan kedua-dua jenis hutang tersebut. Akaun bertempoh, pembukaan kredit dengan faedah dan semua jenis hutang yang menyerupai faedah, semuanya adalah muamalat ribawiyyah dan ia adalah diharamkan. Majlis Majma' Al-Fiqh Al-Islam daripada Pertubuhan Mu'tamar Islam telah memutuskan dalam satu sidang mu'tamarnya yang kedua di Jeddah (10 hingga 16 Rabiul-akhir 1406H bersamaan 22 hingga 28 Disember 1985) bahawa setiap pertambahan (atau faedah) ke atas hutang yang telah sampai tempohnya dan penghutang tidak mampu menjelaskannya, begitu juga pertambahan (atau faedah) ke atas hutang sejak permulaan akad - kedua-dua bentuk ini adalah riba yang diharamkan oleh syara'. FAEDAH BANK TETAP HARAM WALAUPUN TELAH DIHALALKAN OLEH AL-AZHARDr. Yusof Al-Qardhawi telah menyampaikan ucapan dalam satu majlis yang diatur oleh Bank Islam Antarabangsa, di Doha (Qatar) yang dihadiri oleh sebilangan ulama dan ahli-ahli lembaga pengarah, staff-staff dan individu-individu lain. Qardhawi memulakan ucapannya dengan menegaskan bahawa faedah bank adalah HARAM. Beliau berkata, apa yang anda dengar tentang ucapan faedah bank itu, kami telah menjawabnya sebelum daripada ini dan pendapat Dr. Sayed Tantawi (yang mengatakan bahawa faedah bank adalah halal) adalah ganjil sekali, fatwanya disokong oleh Majma' Buhuts Islamiyyah (Al-Azhar, Mesir) dengan menyedari bahwa majma' ini jugalah yang pertama sekali mengeluarkan ketetapan secara terang-terangan bahawa faedah bank adalah haram iaitu ketetapan yang dikeluarkan pada tahun 1965 M yang diketuai oleh Syeikh Hasan Ma'mun (Syeikhul-Azhar ketika itu) dan disokong oleh syeikh-syeikh besar yang lain seumpama Ali Al-Khafif, Farg As-Sanhuri, Mohamed Abu Zahrah dan ulama-ulama besar yang lain. Hal ini tidak berhenti di situ sahaja, Majami' Fiqhiyyah Islamiyyah (Akademi-akademi Fiqh Islam) yang lahir selepas itu seperti Majma Fiqhi bagi Rabitah 'Alam Islami, Majma' Fiqhi Dauli (yang lahir daripada Mu'tamar Islami) dan lain-lain mu'tamar yang mewakili umat Islam semuanya bersepakat dengan tegas mengatakan bahawa faedah bank adalah AR-RIBA AL-MUHARRAM (Riba yang diharamkan). Qardhawi menegaskan bahawa beliau akan terus menangkis/menjawab terhadap kempen ini dan terhadap ulama-ulama Al-Azhar berhubung hal ini, dengan menjelaskan bahawa Majma' Buhuts Islamiyyah (Akademi Penyelidikan Islam - Al-Azhar, Mesir) kini sudah ketandusan ulama-ulama besar dan majma' ini sudah didominasi oleh professor-professor sejarah dan pendidikan, ahli-ahli fiqh sudah tiada, sekalipun ahli-ahli fiqh ini masih menjadi anggota dalam majma' itu, mereka tidak menghadirkan diri pada persidangan terakhir baru-baru ini. Qardhawi menyeru bank-bank Islam supaya memperbaiki perjalanannya dan keluar daripada lokap keuntungan serta melebarkan peranannya bagi memperjelaskan lagi pandangan Islam dalam pengurusan wang/harta. Beliau menegaskan lagi bahawa faedah yang ditentukan terlebih dahulu kadar pulangannya adalah riba yang diharamkan kerana riba adalah pertambahan bukan syar'ie ke atas modal. Sumber: AkhbarAl-Watan, Qatar. Dipetik & diterjemah dari Laman Qaradawi. Net

Label:

Ahad, 13 Julai 2008

FATWA

[ Solat Di Gereja ]
Soalan Pertama : (1) Apakah hukum menunaikan solat di gereja?

Jawapan:

Dalam permasalahan ini, Dr Yusof Al-Qardawi dalam Kitab Fatawa Muasarah jilid 1 telah menyatakan bahawa harus bagi seseorang Muslim untuk menunaikan solat di dalam gereja berdasarkan pada hadis Nabi (SAW) yang bermaksud: “Telah dianugerahkan padaku lima perkara yang tidak diberikan kepada seorang pun sebelumku- Nabi (SAW) menyebut salah satu dari lima perkara tersebut ialah: dan dijadikan bumi ini bagiku tempat sujud; suci lagi menyucikan. Maka mana-mana lelaki dari kalangan umatku apabila solat menjadi wajib keatasnya, hendaklah dia solat”.

Dari hadis ini diiktibarkan seluruh bumi atau tanah (yang suci dari najis) sebagai tempat sujud bagi seseorang Muslim dan merupakan tempat untuk sujud dan solat padanya. Tempat ini termasuklah gereja dan seumpamanya tetapi adalah lebih aula(baik/ afdal) dijauhi daripada solat di tempat-tempat seumpama ini kerana takutkan syubhah. Jika sekiranya tidak didapati tempat selain gereja atau seumpamanya maka dibolehkan solat padanya,

maka ketahuilah bumi ini adalah milik Tuhan dan seluruh bumi ini tempat sujud bagi orang Islam. Dan sesungguhnya Umar Al-Khattab itu hampir-hampir menunaikan solat di gereja yang bernama Al-Qiyamah ketika dikatakan padanya: “sembahyanglah olehmu” . Maka dia menjawab: “Tidak , aku tidak akan tunaikan solat di sini sehinggalah tidak datang orang-orang Islam selepasku lalu mereka berkata: “ di sini (Al-Qiyamah) Umar telah tunaikan solat”. Lalu mereka mengambilnya sebagai tempat sujud bagi orang Islam.

[ Isteri Memendekkan Rambut ]
Soalan Kedua: (1) Apakah hukum seseorang perempuan yang telah berkahwin menggunting atau memendekkan rambutnya?

Jawapan :

Telah dihuraikan oleh Dr. Yusof Al-Qardawi dalam Kitab Fatawa Al-Muasarah jilid 3 bahawa di sana ada jenis pemotongan atau pemendekan rambut yang tidak memberi kesan pada lelaki (suami).
Sekiranya pemotongan itu dikira pemotongan yang sedikit yang menjadi adat seorang perempuan dari semasa ke semasa sehinggalah rambutnya tidak menjadi terlalu panjang dan menyusahkan perempuan itu menjaganya. Dan pemotongan atau pemendekan itu menjadi satu kebiasaan dari kebanyakkan wanita. Maka pemotongan jenis ini tidak perlu kepada keizinan suaminya.
Jika sekiranya jenis pemotongan yang merubah rupa seorang wanita dan kadang-kadang menjadi seolah-olah perempuan lain di hadapan suaminya . Dalam masa yang sama suaminya telah biasa dengan wajah isterinya yang sebelumnya itu. Maka pemotongan atau pemendekan jenis ini memerlukan keizinan dari suaminya sebelum merubahnya agar dapat dikekalkan kasih sayang antara suami dan isteri tersebut.
Haram bagi perempuan untuk menzahirkan rambutnya di jalanan (luar rumah) dan di hadapan lelaki ajnabi. Dan perempuan yang berakal ialah perempuan yang mengambil berat terhadap perkara-perkara yang boleh mengekalkan kasih sayang antara dia dan suaminya. Dengan itu akan lahirlah rumahtangga yang bahagia yang menjadi asas masyarakat Islam.
Rujukan : Kitab Fatawa Al-Muasarah oleh Dr. Yusof Al-Qardhawi jilid 3 muka surat 572. Terjemahan : Ustaz Ahmad Munif Bin Mat Amin (Exco Dakwah KPT)
[ Percepat Dan Perlambatkan Haid ]

Soalan Ketiga : Apakah hukumnya mempercepatkan atau memperlambatkan perjalanan haid ?

Jawapan :
Bagi permasaalahan ini, ulama berpendapat bahawa haram seseorang perempuan mempercepatkan dan melambatkan Haid.
Mereka berdalilkan:
1. Firman Allah SWT yang bermaksud: “ Mereka bertanya kepada kamu tentang Haid, katakan kepada mereka bahawa Haid itu adalah kotoran / penyakit”
Surah Al Baqorah ayat: 222
Di mana sebahagian ulama tafsir menafsirkan ayat tersebut dengan maksud: mereka bertanya tentang menyekat Haid.
2. Haid merupakan darah tabie ataupun semulajadi yang diciptakan oleh Allah bagi perempuan. Kemungkinan dengan menyekat perjalanan Haid akan membawa kemudharatan terhadap seseorang perempuan kerana ia merupakan lebihan dari tubuh badan seumpama najis dan air kencing.
Jadi, melakukan perkara yang membawa kemudharatan diri adalah haram berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “ Dan janganlah kamu menjatuhkan diri kamu ke dalam kebinasaan”
Begitu juga, sabda nabi SAW yang bermaksud : Tiada mudharat dan perkara yang memudharatkan di dalam Islam”
3. Apabila seseorang perempuan mempercepatkan Haid dengan apa-apa cara, ia akan menyebabkan haram ke atasnya jimak, sembahyang, puasa, tawaf dan selainnya.
Ini merupakan perkara yang dilarang kerana ianya adalah perbuatan/ kehendak manusia itu sendiri berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “ Wahai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah menghalalkannya bagi kamu”
4. Jika sekiranya mempercepatkan dan melambatkan Haid bertujuan untuk maslahat seumpama untuk melakukan tawaf, menyempurnakan puasa sebulan dibulan Ramadhan ataupun ibadat selain dari itu.
Jadi perbuatan ini akan menutup pintu kemudahan yang dikurniakan oleh syariat Islam. Perbuatan ini juga akan menafikan prinsip mengangkat kesempitan ( A’damul Haraj ) di dalam syariat Islam. Berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “ Allah mengkehendaki kemudahan bagi kamu dan tidak mengkehendaki kesusahan bagi kamu”
Kesimpulannya, berdasarkan dari dalil- dalil yang dikemukan tersebut, jelas kepada kita bahawa haram ke atas seseorang perempuan mempercepatkan dan melambatkan Haid.
Rujukan : Kitab Qadhaya Muashorah - Doktor Bilal Hamid Ibrahim Bilal

Label: