Isnin, 11 Ogos 2008

Kemusykilan wanita
1.
Mengapakah seorang Muslimah diwajibkan memakai Hijab?
Islam telah menyatakan bahawa apabila seorang Muslimah telah baligh, dia diwajibkan menutup aurat. Butir-butir prinsip ini adalah seperti berikut:
Seluruh badan harus berpakaian, termasuk kepala dan leher kecuali bahagian muka dan tapak tangan. Pakaian tersebut haruslah cukup tebal agar ia tidak mendedahkan yang di dalamnya. Ia juga haruslah longgar agar ia tidak menampakkan bentuk badan secara nyata.
Hukum ini boleh didapati di kedua-dua sumber Hukum Syari’ah Islam, iaitu di Qur’an dan juga Hadith (Sunnah Rasulullah). Walau bagaimanapun, Islam tidak menetapkan gaya atau cara pemakaian dari segi warna dan corak. Ia boleh disesuaikan dengan mana-mana budaya yang lazim selagi mana ia tidak melanggar prinsip yang diterangkan diatas.
Cara orang Islam berpakaian hanyalah satu aspek dari sifat rendah dirinya. Orang Islam harus menunjukkan sifat tersebut dari semua aspek seperti perwatakan, tingkah laku dan pertuturan.
2.
Adakah menutup muka untuk para wanita Islam sesuatu yang wajib?
Ulama berselisih pendapat tentang hukum menutup muka bagi wanita. Sebahagian dari mereka menyatakan bahawa wajib menutup muka bagi kaum wanita kerana itu adalah sebahagian dari auratnya. Mereka berlandaskan kepada ayat Al-Quran dalam surah Al-Ahzab, ayat 59, yang memerintahkan wanita Islam agar melabuhkan jilbab mereka. Penafsiran mereka adalah melabuhkan sehingga menutup keseluruhan anggota badan wanita, termasuk muka. Malah, ada yang berpendapat bahawa mata wanita juga tidak boleh dilihat oleh lelaki yang bukan mahram kerana mata wanita juga boleh menjadi daya tarikan.
Pendapat golongan yang lain pula adalah menutup muka tidak wajib. Ini adalah kerana ada nas-nas hadith yang menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w dan para sahabat kenal wanita yang datang berjumpa dengan mereka dari wajah mereka, menunjukkan bahawa memakai niqab (pakaian menutup muka) tidaklah wajib pada zaman Rasulullah s.a.w. Malah, mengikut pendapat sebahagian dari ulama Mazhab Hanbali, lengan tangan dan tapak kaki bukanlah aurat kerana ia diperlukan untuk bekerja.
Walau apapun pendapat yang dipegang oleh para ulama, yang mereka sepakati adalah memakai niqab bukanlah satu yang haram, kecuali jika ia membawa bahaya dan mudarat kepada pemakainya.
3.
Benarkah wanita digalakkan memakai pakaian yang berwarna gelap dan pucat sahaja?
Islam telah menetapkan bahawa pakaian Muslimah perlulah menutup auratnya. Dan jumhur ulama bersepakat bahawa aurat wanita adalah keseluruhan tubuhnya kecuali muka dan apa yang dibawah pergelangan tangan. Maka, selagi mana pakaian yang dipakai tersebut menutup aurat, tidak ketat dan tidak jarang, maka ia adalah harus dipakai oleh orang Islam.
Namun, Islam juga melarang wanita dari menarik pandangan lelaki yang ajnabi kepadanya. Jika dengan pakaian yang berwarna terang, atau berfesyen ganjil yang menarik pandangan lelaki kepadanya, maka tidak harus baginya memakainya. Jika tidak, maka harus baginya memakainya.
4.
Apa yang harus dilakukan wanita yang dilarang memakai hijab di tempat kerjanya?
Hijab adalah wajib bagi kaum wanita Muslim. Dalam bertugas, ada ketikanya wanita tidak dapat berhijab atau dilarang dari memakai hijab. Usaha perlu diteruskan untuk meyakinkan pihak atasan syarikat tersebut bahawa hijab tidak mengganggu tugas yang telah diamanahkan. Sekiranya ada tugas yang lebih baik lagi, yang membenarkan seseorang wanita itu berhijab, maka wajib bagi wanita itu mengambil pekerjaan yang baru tersebut.
5.
Adakah berkhatan sesuatu yang wajib bagi wanita?
Menurut para ulama, berkhatan adalah wajib bagi kedua-dua lelaki dan wanita. Ia digalakkan agar dilakukan pada umur yang muda, sebaik-baiknya apabila masih bayi lagi, untuk mengelakkan dari kerumitan, sakit yang berpanjangan dan perasaan malu jika dilakukan pada usia yang matang. Mana-mana doktor wanita Islam boleh melakukannya bagi seorang wanita Islam. Ia hanya potongan membran tipis yang berada di bahagian paling atas kelentit seorang wanita.
6.
Bolehkah seorang wanita menunaikan solat jika terdapat tanda-tanda berwarna coklat?
Wanita tidak perlu menunaikan solat semasa dalam keadaan haid atau nifas. Tanda-tanda berwarna coklat semasa hamil bukanlah haid atau nifas. Maka, wanita tersebut mestilah melakukan solat.
7.
Bagaimana cara mengira masa haid?
Biasanya haid berlaku setelah dua minggu wanita itu bersih. Namun, ini bukanlah satu yang pasti. Oleh itu, jika seseorang wanita itu berdarah setelah bersih, walau sehari, maka ia dianggap sebagai haid yang baru. Jika darah itu keluar kembali kurang dari sehari bersih, maka ia dianggap sebagai darah haid yang lama.
Sekurang-kurang masa haid adalah sehari semalam. Jika darah tersebut keluar kurang dari sehari semalam, maka ia bukan darah haid.
8.
Bolehkah wanita haid masuk ke masjid?
Wanita yang haid tidak dibenarkan masuk dalam masjid kecuali untuk lalu sahaja atau untuk ambil barang sahaja, tanpa berada lama dalam masjid.
9.
Bolehkah wanita yang dalam haid membaca Al-Quran dengan niat belajar?
Kebanyakan ulama berpendapat bahawa adalah haram bagi wanita yang dalam keadaan haid membaca Al-Quran walaupun untuk belajar membaca. Sebahagian dari ulama ini kemudian berselisih samada boleh atau tidak sekiranya seseorang wanita yang haid membaca ayat Al-Quran jika ia seorang guru Al-Quran yang mana ia perlu mengajar Al-Quran, atau seorang penuntut tahfiz Al-Quran yang perlu membaca dan mengulangkaji Al-Quran setiap hari.
Namun, bagi pelajar biasa, majoriti ulama tidak membenarkan membaca Al-Quran ketika haid, melainkan dengan niat zikir, kerana zikir adalah potongan-potongan ayat Al-Quran, bukan dua atau tiga ayat penuh Al-Quran yang dibaca berterusan.
10.
Bolehkah seorang wanita yang dalam haid membaca Al-Quran dalam hati tanpa mengeluarkan suara, dari kitab tafsir atau terjemahan?
Wanita yang dalam haid boleh membaca Al-Quran dalam hati tanpa melafazkannya, samada yang dihafal atau dari kitab tafsir atau terjemahan.
11.
Bolehkah wanita menggunting rambut dan mengetip kuku pada malam hari atau dalam keadaan haid?
Tidak ada nas Al-Quran atau hadith yang mengatakan bahawa salah bagi wanita yang dalam haid untuk memotong rambut dan kukunya. Orang Islam dibenarkan untuk memotong kuku dan rambutnya pada bila-bila masa, siang dan malam.
12.
Adakah rambut dan kuku yang dipotong semasa haid perlu dibasuh sekali semasa mandi hadas (ghusl) atau adakah ia harus ditanam?
Memotong rambut dan kuku dibenarkan bagi wanita yang dalam keadaan haid. Tiada hukum yang bertentangan dengan perkara ini. Juga tiada hukum yang mengatakan bahawa apabila dia mandi hadas, harus membasuh sekali rambut dan kuku yang dipotong itu. Selain dari itu, adalah sunnah untuk menanam anggota-anggota badan yang terpisah dari badan seperti rambut, kuku dan uri. Akan tetapi, jika menanam itu sesuatu ynag menyusahkan, maka tidak mengapa jika ia dibuang dengan cara lain.
13.
Jika seorang wanita mengambil pil perancang keluarga yang menyebabkan haidnya lebih lama dari biasa, wajibkah solat pada hari-hari yang terlebih itu?
Waktu haid yang paling lama ialah 15 hari. Darah yang keluar selepas 15 hari dikategorikan sebagai darah penyakit, atau darah istihadah. Ia juga luar daripada kebiasaan. Side effectatau kesan sampingan merupakan keadaan mendatang yangjuga luar dari kebiasaan. Jadi,selepas 15 hari, andaperlu melakukan mandi hadas dan kemudian solat seperti biasa.
14.
Bolehkah seorang wanita memakan pil melambatkan kedatangan haid semasa hendak menunaikan haji atau umrah?
Ulama berselisih pendapat mengenai wanita mengambil pil melambatkan haid untuk mengerjakan haji atau umrah. Ada yang mengatakan boleh, dan ada yang tidak. Sebagai jalan keluar, sekiranya wanita tersebut yakin bahawa dengan tidak memakan pil tersebut, dia tidak dapat mengerjakan haji, atau tidak dapat menyelesaikan hajinya dalam tempoh yang dibenarkan, maka dia boleh mengambil pil tersebut. Tetapi jika dia yakin bahawa dia masih sempat untuk menyelesaikan ibadat hajinya dalam tempoh yang dibenarkan, maka adalah lebih baik dia tidak mengambil pil tersebut.
Begitu juga, adalah lebih baik dia tidak mengambil pil tersebut bagi ibadat umrah yang sunat sekiranya dia yakin dapat mengerjakan umrah walau hanya sekali sahaja. Niat yang sudah diterapkan dalam hati akan mendapat ganjaran dari Allah s.w.t, walaupun belum diamalkannya. Dan Allah s.w.t lebih mengetahui tentang diri manusia dari manusia itu sendiri.
15.
Bolehkah bagi seseorang wanita memakan ubat untuk melewatkan haid pada bulan Ramadhan?
Ulama telah bersepakat mengatakan bahawa wanita-wanita yang dalam keadaan haid tidak wajib berpuasa pada bulan Ramadan, tetapi wajib mengqadha’kannya pada hari yang lain. Tidak berdosa wanita yang datang haid membuka puasanya dan hendaklah menggantikannya pada hari-hari yang lain sebanyak mana puasa yang ditinggalkan itu.
Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Sayyidatina Aisyah R.A. bermaksud: "Kami diperintahkan menggantikan puasa, dan kami tidak diperintahkan menggantikan sembahyang." (Riwayat Imam Al-Bukhari). Oleh yang demikian, adalah lebih baik untuk mengikut keadaan semula jadi yang dicipta Allah S.W.T. bagi wanita.
Namun, sekiranya wanita itu hendak memakan ubat untuk melewatkan haid agar ia tidak datang di dalam bulan Ramadan, hukumnya tidak mengapa dengan syarat ubat itu tidak memudharatkan dirinya. Mereka boleh meminta nasihat pakar, atau nasihat doktor mengenai kegunaan ubat tersebut.
16.
Jika haid saya berhenti sebelum fajar, dan saya belum sempat mandi hadas, adakah saya dibolehkan berpuasa?
Anda boleh berpuasa jika anda suci dari haid atau nifas sebelum fajar dan belum sempat mandi kecuali setelah terbitnya fajar. Ini adalah kerana pada saat haid atau nifas anda terhenti, anda telah termasuk pada golongan orang yang wajib berpuasa, dan ini sama halnya dengan orang yang masih di dalam keadaan junub apabila telah masuk waktu fajar, yang mana puasanya sah berdasarkan firman Allah S.W.T. Ertinya : “Maka sekarang campurilah mereka (isteri kamu) dan carilah apa yang telah ditetapkan Allah untukmu, dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu fajar" [Al-Baqarah : 187]
Jika Allah mengizinkan suami isteri bersatu hingga tiba waktu fajar, maka tentu sekali dibolehkan mandi junub setelah terbitnya fajar. Ini juga berdasarkan hadith Sayidatina Aisyah R.A.: "Bahawa Nabi S.A.W. di waktu Subuh masih dalam keadaan junub kerana mencampuri isterinya, dan beliau tetap berpuasa." Maksudnya bahawa Rasulullah S.A.W. tidak mandi junub kecuali setelah masuk waktu Subuh.
17.
Apakah hukum puasa bagi perempuan yang mengandung?
Wanita yang hamil boleh berpuasa jika ia mampu berbuat demikian. Sekiranya ia tidak mampu, ia boleh berbuka. Jika beliau tidak berpuasa kerana khuatir akan keadaan dirinya sahaja, maka beliau wajib qadha’ puasa sahaja. Jika beliau bimbang tentang keadaan anak di dalam kandungannya sahaja, maka beliau wajib qadha’ dan juga membayar fidyah bagi hari tersebut.
18.
Bolehkah seorang ibu menyusukan (susu badan) anaknya semasa berpuasa?
Menyusukan anak tidak membatalkan puasa. Ini adalah kerana ia bukan dianggap sebagai sesuatu yang dimasukkan dalam lima rongga terbuka: mulut, telinga, hidung, dan kedua-dua kemaluan.
19.
Bolehkah para wanita menziarahi kubur?
Menziarahi kubur boleh mengingatkan kita akan kematian dan hari akhirat. Malahan, anjuran tersebut telah disebutkan oleh Rasulullah S.A.W di dalam sebuah hadisnya. Anjuran tersebut umum bagi lelaki dan wanita.
Oleh itu, tiada salah bagi wanita untuk menziarahi kubur jika ia dapat mencapai objektif tersebut selagimana wanita itu dapat menjaga adab dan etika sewaktu di tanah perkuburan.
20.
Bolehkah seorang wanita yang kedatangan haid menziarahi tanah perkuburan?
Umat Islam digalakkan menziarahi kubur kerana ia mengingatkan kita kepada kematian dan mendoakan kepada umat Islam yang telah meninggalkan kita. Ini termasuk lelaki dan wanita. Tiada ada nas Al-Quran atau Hadith yang melarang wanita yang kedatangan haid dari menziarahi kubur. Namun, wanita yang menziarahi kubur sebaiknya tidak datang berseorangan kerana ia adalah tempat yang sunyi. Juga wanita yang menziarahi kubur harus mengawal emosinya agar menjaga tertib dan adab.
21.
Adakah seorang muslimah dibolehkan membuat "rebonding/straightening" kepada rambutnya?
Harus bagi wanita untuk memotong atau meluruskan rambutnya, dengan syarat dia telah meminta izin dari suaminya terdahulu. Yang dilarang adalah memotong rambut sehingga menyerupai lelaki, membotakkan kepala bukan atas sebab kesihatan, dan menyambung rambutnya sehingga menjadi panjang.
22.
Apakah hukum mengkrintingkan rambut bagi wanita?
Adalah harus untuk wanita mengkrintingkan rambut. Tetapi ia tidak boleh dilakukan oleh lelaki yang bukan mahram kerana rambut adalah aurat wanita.
23.
Apakah hukumnya seorang wanita melakukan threading (removal of facial hairs)?
Threading hanya boleh dilakukan jika bulu yang ingin dihilangkan bukanlah kening. Kerana telah jelas dalam hadith Rasulullah s.a.w bahawa dilarang dari mencabut atau mencukur bulu kening.
24.
Bolehkah seorang wanita melakukan waxing untuk menghilangkan bulu di tubuhnya, khususnya seorang isteri untuk suami?
Menghilangkan bulu di mana-mana bahagian tubuh adalah dibenarkan dalam Islam. Tetapi, anda harus menjaga batas-batas aurat anda dengan wanita lain, terutama wanita asing apabila anda melakukan waxing di salon kecantikan. Apa yang tidak dibenarkan dalam Islam ialah mencukur bulu kening untuk kecantikan melainkan jika ia benar-benar mengaibkan.
25.
Apakah hukum menanggalkan bulu kening wanita?
Menanggalkan atau mencabut atau mencukur bulu kening wanita adalah HARAM di sisi Islam. Hukum ini diambil dari Hadith yang telah diriwaytakan Bukhari dan Muslim yang bermaksud: Allah s.w.t telah melaknat mereka yang bertatu, mereka yang membuat tatu untuk orang lain, mereka yang mencabut bulu keningnya dan mereka yang mengasah gigi untuk tujuan kecantikan. Ini adalah mereka yang mengubah ciptaan Allah s.w.t.

Wanita Islam harus biarkan bulu keningnya dalam rupanya yang semulajadi melainkan jika ia terlalu hodoh sehinggakan mengaibkan. Dalam hal ini, dibenarkan mencabut bulu kening agar ia tidak mengaibkan.
26.
Adakah menanggalkan bulu di kaki bagi wanita sesuatu yang dibenarkan Islam?
Menanggalkan atau mencukur bulu di tubuh badan adalah dibenarkan bagi wanita melainkan bulu kening dan rambut. Wanita tidak dibenarkan mencukur atau mencabut bulu keningnya kecuali jika ia kelihatan tidak normal sehinggakan ia boleh mengaibkan. Mencuku rambut juga tidak dibenarkan bagi wanita kerana ia menyerupai lelaki.

27.
Mengapakah menindik telinga bagi wanita dibolehkan tetapi menindik anggota lain, misalnya hidung, tidak dibenarkan?
Menindik telinga bagi wanita adalah sesuatu yang lumrah. Bagi menindik hidung pula, ia adalah sesuatu yang lumrah bagi wanita yang berbangsa India. Jika ia merupakan suatu adat, maka ia dibolehkan. Jika bukan, maka ia tidak dibenarkan kerana ia mencacatkan diri.

Rasulullah s.a.w telah melarang perbuatan Muslah (mencacatkan). Menindik telinga adalah mencacatkan keadaannya yang semula jadi, maka ia tidak dibenarkan.

Menurut Ar-Rum ayat 30: “Tidak ada perubahan pada fitrah Allah.”

Dan Al-Baqarah ayat 195: “Dan janganlah kamu menjatuhkandirimu kedalam kebinasaan.”

Walaubagaimanapun, wanita yang menindik telinga dikecualikan dari larangan ini.

Mengapa?

Ini adalah kerana keperluan wanita yang khusus untuk memakai barang kemas. Lelaki pula, menurut pandangan Islam, tiada keperluan sebegini. Memandangkan agama Islam tidak menggalakkan perbuatan yang tidak membawa faedah, maka menindik lebih dari satu pasang tindikan tidak digalakkan kerana ia tidak membawa apa-apa faedah.
28.
Benarkah bahawa wanita tidak boleh menindik telinga lebih dari satu?
Secara adat, wanita hanya menindik satu sahaja pada setiap telinga. Akan tetapi, sejak kebelakangan ini telah timbul tren menindik lebih dari satu di telinga. Bahkan menindik di anggota-anggota lain di badan mereka. Tren ini dimulakan oleh mereka yang bukan Islam, dan ia membawa mudarat dan kesakitan kepada penggunanya. Oleh kerana itu, kita dilarang meniru perbuatan mereka. Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa yang meniru perbuatan sesebuah kaum (yang tidak beriman pada Allah) pada sesungguhnya dia telah termasuk dalam kaum tersebut.
29.
Bolehkah seorang wanita Islam menindik hidung?
Menindik hidung dibolehkan di dalam Islam jika ia adalah sesuatu yang lumrah di dalam masyarakat wnaita tersebut, dalam erti kata yang lain, ia adalah sesuatu adat yang dipraktikkan wanita-wanita masyarakat tersebut dan tidak dianggap sebagai sesuatu yang aneh. Oleh itu, wanita berbangsa India dibolehkan menindik hidung mereka kerana ia sesuatu kebiasaan dan lumrah bagi bangsa mereka. Maka wanita berbangsa Melayu tidak boleh menindik hidung mereka kerana ia bukan dari adat-istiadat bangsa mereka.
30.
Benarkah seorang wanita dilarang memakai gelang kaki?
Wanita Islam dibenarkan memakai gelang kaki. Walau bagaimanapun, jika ia mempunyai loceng, maka ia tidak dibenarkan kerana ia akan membawa bunyian yang akan menyebabkan orang lain mengalih perhatian kepadanya.
31.
Adakah wanita Islam dibenarkan bersolek?
Para ulama kebanyakannya berpendapat bahawa memakai solekan yang boleh menimbulkan fitnah, nafsu atau mengalihkan perhatian seorang lelaki selain dari suaminya sendiri adalah haram.
Jika solekan tersebut adalah dengan tujuan ia dilihat oleh suami sahaja, maka ia dibolehkan.
32.
Adakah dibenarkan bagi wanita untuk memakai wangian di luar rumah?
Wanita tidak dibenarkan memakai wangi-wangian di luar rumah mereka jika wangian tersebut boleh dihidu oleh lelaki yang bukan mahram. Menurut Hadith yang sahih, Rasulullah s.a.w. pernah menerangkan bahawa wanita yang memakai wangi-wangian lalu keluar sehingga ia dihidu oleh lelaki yang bukan mahramnya dianggap sebagai melakukan perkara yang menyerupai zina.
33.
Bolehkah menggunakan uri bayi sebagai salah satu bahan dalam alat solekan wanita?
Kami tidak dapat memastikan samada benar atau tidak uri bayi digunakan dalam bahan solekan. Namun, jika benar, maka alak solekan tersebut mengandungi bahan najis yang tidak boleh digunakan oleh orang Islam.
34.
Bolehkah seorang wanita Islam belayar sendirian tanpa mahramnya?
Wanita tidak dibolehkan belayar sendirian tanpa mahramnya atau tanpa kumpulan yang besar ke tempat yang membahayakan atau tempat asing yang mungkin kurang selamat, tidak kira samada tempat ini dekat atau jauh. Walau bagaimanapun, jika tempat tersebut selamat dan pelayaran tersebut bukan atas sebab yang tidak berfaedah, maka sebahagian ulama telah membenarkan wanita belayar tanpa mahramnya.
35.
Bolehkah seorang wanita menyentuh atau mengucup selebriti lelaki yang bukan mahramnya seperti mengucup seorang anak?
Kucupan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram, yang mana tidak halal bagi mereka untuk bersentuhan, hukumnya adalah haram. Walaupun perbezaan umur yang sangat jauh, seperti seorang nenek dan seorang remaja lelaki.
Batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita perlu dijaga walau bagaimana jauh perbezaannya, selagi mana yang muda itu telah mencapai umur baligh.
36.
Bolehkah seorang wanita menggunakan khidmat tukang urut wanita bukan Islam?
Ulama berselisih pendapat tentang aurat wanita Islam dengan wanita bukan Islam. Sebahagian dari mereka berpendapat bahawa aurat wanita Islam dengan wanita bukan Islam adalah sama seperti dengan lelaki. Iaitu seluruh tubuh badannya kecuali muka dan tapak tangan. Sebahagian yang lain berpendapat bahawa auratnya adalah antara pusat dan lutut, seperti aurat lelaki dan lelaki.
37.
Bolehkah seorang wanita menukar nama melalui "Deed Poll" kerana ingin meletakkan nama suami?
Orang Islam dilarang dari menukar nama Islamnya kepada bukan Islam, walau dengan cara Deed Poll sekalipun. Ini adalah kerana:
1) Ia memberi gambaran bahawa dia telah menukar agamanya.
atau
2) Ia mengagungkan cara nama orang bukan Islam atas nama Islamnya yang telah diberi oleh ibu bapanya.
3) Ia menggugurkan nama keturunannya dari bapanya.
4) Ia menggunakan nama keturunan suaminya yang memberi gambaran bahawa ia sekarang adalah milik keluarga suaminya dan ia tidak mempunyai identitinya sendiri.
Islam melarang wanita dari mengambil nama suami atau menggugurkan nama keturunan atau bapa apabila berkahwin. Ini adalah kerana Islam mengangkat darjat wanita sebagai seorang individu yang tidak hanya menumpang nama keluarga suami.
38.
Bolehkah seorang wanita menceburi bidang seni silat atau seni pertahanan diri yang seumpamanya?
Silat merupakan satu seni pertahanan diri dan juga sukan yang boleh menyihatkan badan. Sama seperti seni dan sukan yang lain, ia boleh diamalkan oleh lelaki dan wanita selama mana nilai-nilai Islam terjaga, seperti menutup aurat, tiada pergaulan bebas antara lelaki dan wanita yang bukan mahram, tidak mendaruratkan kesihatan atau menyebabkan kecederaan yang parah dan sebagainya.

Label:

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama