Isnin, 11 Ogos 2008

Zakat
1.
Apakah hikmahnya mengeluarkan zakat?
Hikmah mengeluarkan zakat adalah seperti berikut:

1. Untuk kesucian rohani.

Orang yang mengeluarkan zakat, jiwa mereka akan terdidik dengan baik, sifat rahmah dan penyayang akan terpupuk di sanubari.

2. Untuk diri sendiri.

Sebagai satu pensucian dan mengembangkan harta, lahirkan rasa kesyukuran dengan pemberian Allah s.w.t dan membawa suatu rasa keamanan dan kesejahteraan.

2. Untuk masyarakat.

Dengan berzakat, ia mengurangkan perasaan irihati di antara mereka yang tidak berkemampuan, memberi satu panduan Islam dalam menguruskan ekonomi dan kewangan dan membolehkan pembahagian sebahagian kekayaan orang-orang yang kaya kepada orang-orang miskin.
2.
Apakah bezanya antara zakat dan sedekah?
Zakat adalah:
a) Wajib
b) Salah satu dari rukun Islam.
c) Mempunyai kadar yang tertentu.
d) Mempunyai tempoh yang tertentu.
e) Diberi kepada penerima-penerima yang tertentu.
Sedekah adalah:
a) Sunat
b) Bukan dari rukun Islam.
c) Tidak mempunyai kadar yang tertentu.
d) Tidak mempunyai tempoh yang tertentu.
e) Boleh diberikan kepada sesiapa.
3.
Apakah bezanya seorang yang fakir dan seorang yang miskin?
Seorang yang miskin adalah orang yang tidak ada kemampuan yang secukupnya. Sebagai contoh, setiap hari, seorang yang miskin memerlukan $10 untuk menyara hidupnya, tetapi hanya mempunyai $7 atau $8 sahaja.
Seorang yang fakir pula adalah seorang yang memerlukan $10, tetapi mempunyai kurang dari separuh daripada bilangan itu, contohnya, dia cuma mempunyai $3 atau $4 sahaja.
4.
Siapakah wajib membayar zakat?
Yang wajib membayar zakat adalah mereka yang dianggap sebagai mempunyai harta dan wajib mengeluarkan zakat selagi mana ia mempunyai simpanan wang yang melebihi nisab zakat, tidak kira samada wang tersebut dalam bentuk cair, atau dibekukan di fixed deposit, investment atau hutang kepada orang lain sekalipun.
5.
Bagaimanakah cara pengiraan zakat harta?
Zakat harta boleh dikira dengan menggunakan salah satu cara-cara berikut:-
a) 2.5% dari baki terendah sesuatu tahun semua jenis simpanan bila cukup nisabnya.
b) 2.5% atas baki terendah setiap bulan atau setiap urusniaga
c) 2.5% dari baki terakhir bila cukup haul dan nisabnya (mengikut pendapat mazhab Hanafi)
6.
Adakah zakat yang dikumpul diagihkan sepenuhnya pada tahun yang sama dalam konteks
Dari segi hukum itulah yang sebaik-baiknya. Tetapi selalunya ada diantara asnaf-asnaf yang kurang memerlukan dan mereka yang tergolong dalam asnaf yang berkenaan terlalu sedikit. Contohnya asnaf Ibnissabil, Gharimin, Amil dan muallaf. Sebagai jalan keluar Muis akan melebihkan asnaf-asnaf yang lebih memerlukan seperti asnaf Fakir & Miskin, fisabilillah atau rekab. Sekiranya ada juga lebihan maka ia akan dibawa ketahun yang berikutnya untuk diagihkan.
7.
Bolehkah bayaran zakat ditangguhkan setelah cukup haul dan nisab?
Pembayaran zakat boleh ditangguhkan selepas cukup haul dan nisab. Namun ia tidak digalakkan kerana ia menahan hak mereka yang layak menerima zakat tersebut, juga kita tidak tahu bilakah ajal maut kita. Maka adalah baik zakat dibayar pada waktunya.
8.
Mengapakah pembayaran zakat zaman sekarang dijalankan secara elektronik walaupun ia tidak disebutkan didalam Al-Qur'an?
Orang Islam perlu tahu membezakan antara cara perlaksanaan dan prinsip. Prinsip tidak boleh berubah. Cara perlaksanaan boleh berubah mengikut keadaan dengan syarat ia menepati prinsip dan dipersetujui oleh para ulamak. Sekiranya orang Islam tidak tahu membezakan antara kedua-dua perkara ini, maka kekallah orang Islam seperti cara kehidupan orang Arab zaman dahulu, termasuk pergi haji dengan unta dan berjalan kaki.
Dalam pembayaran zakat fitrah, prinsipnya jelas. Zakat tersebut perlu menepati kadar yang telah ditetapkan, diterima oleh para fakir miskin, dan dibayar sebelum imam mengerjakan solat Hari Raya. Apapun cara yang digunakan, jika ia menepati prinsip, maka ia sah digunakan. Ini termasuk membayar dengan talifon, internet, debit card, cashcard dan sebagainya.
Hikmah disebalik mengeluarkan zakat banyak samada faedahnya untuk diri sendiri baik masyarakat. Perkara yang terpenting yang harus diterangkan disini adalah penghayatan roh dan intipati disebalik pemberian zakat itu sendiri dan bukanlah soal cara pembayaran zakat yang berubah dengan keadaan masa.
9.
Bolehkah saya membayar zakat harta jika belum cukup haulnya untuk mendapatkan fadilatnya di bulan Ramadhan?
Pembayaran zakat boleh didahulukan sebelum sampai haul (tahun). Tetapi jika pada haulnya, didapati bahawa harta itu banyak, maka zakat lebih tinggi, maka wajib dia menambah zakatnya yang kurang.
10.
Apa bahayanya bagi orang yang enggan mengeluarkan zakat?
Orang yang enggan mengeluarkan zakat bererti telah merobohkan satu daripada rukun-rukun Islam. Sebagaimana mengeluarkan zakat oleh yang berkemampuan kepada yang tidak berkemampuan boleh menimbulkan kasih sayang dan saling hormat-menghormati antara dua lapisan masyarakat, maka kengganan mengeluarkan zakat akan menimbulkan perselisihan dan kebencian antara sesama mereka.
Yang miskin tetap berharap akan dapat hak mereka yang telah ditentukan oleh Allah dari harta si kaya setiap tahun. Si kaya harus bersyukur kepada Allah atas kesenangan hidup yang didapatinya dengan mengeluarkan zakatnya. Enggan mengeluarkan zakat adalah merampas hak si miskin, dam merampas hak orang tentu sekali akan membawa kebencian orang yang terzalim dan kemurkaan daripada Allah.
11.
Jika seseorang itu terlupa untuk membayar zakat fitrah buat keluarganya, bolehkah ia dibayar selepas Hari Raya?
Tempoh pembayaran zakat fitrah adalah dari permulaan bulan Ramadhan sehinggalah sebelum solat Eid-ul-Fitri. Waktu yang ia wajib dibayar adalah pada malam Hari Raya dan sunnah sebelum solat Eid-ul-Fitri. Jika pembayarannya dilakukan selepasnya, maka ia tidak dianggap sebagai zakat tetapi sebagai sedekah.
12.
Apakah yang harus dilakukan oleh seseorang yang tidak mampu untuk membayar zakat fitrah?
Rasulullah s.a.w telah menetapkan kadar zakat fitrah yang rendah nilainya agar ia mampu dikeluarkan oleh setiap Muslim, miskin dan kaya, hamba dan merdeka. Oleh itu, jika seseorang itu terlalu miskin sehingga tidak mampu untuk membayar zakat fitrah, dia perlu meminjam dari orang lain. Sehingga apabila dia mendapat zakat fitrah yang diberikan oleh orang lain kepadanya, dia melunaskan hutangnya itu. Jumlah kecil ini tidak menjadi keberatan untuk orang lain meminjamkannya kepada seseorang untuk bantu melunaskan zakat fitrah.
13.
Bolehkah zakat harta dibayar dengan menggunakan wang interest dari bank?
Wang bunga atau faedah (interest) dari bank adalah wang syubhah yang mengandungi unsur halal dan haram. Adalah lebih baik tidak menggunakan wang tersebut untuk kegunaan peribadi, apatah lagi untuk membayar zakat yang wajib.
Wang interest tersebut boleh didermakan kepada pertubuhan amal atau Islam, atau Baitul Mal.
14.
Adakah wang CPF wajib dizakatkan?
Hukum pokok zakat adalah mana-mana harta yang dimiliki. Maka hukum zakat wang CPF adalah wajib sekiranya sudah cukup nisab dan haul kerana ia merupakan hak milik pencarum. Akan tetapi masa untuk melaksanakannya adalah terpulang kepada pencarum samada hendak membayarnya setiap tahun ataupun setelah ia dikeluarkan apabila mencapai usia 55 tahun.
Zakat yang perlu dikeluarkan ialah 2.5% atas wang caruman setiap tahun atau tunggakan zakat apabila
15.
Bagaimana saya boleh mengira zakat bagi saham yang saya telah beli setahun lalu?
Kiraannya adalah 2.5% atas harga pasaran saham (market value) bila cukup haul (tahun) dan nisabnya (kadar).
16.
Adakah wang yang disimpan didalam “structured deposit” di bank perlu dizakatkan?
Hukum pokok zakat adalah mana-mana harta yang dimiliki, tidak kira jenisnya, jika sudah cukup haul dan nisab, perlu dizakatkan. Ini termasuk wang simpanan di dalam bank.
Jikalau wang yang didalam simpanan "structured deposit" tersebut milik anda, ia perlu dizakatkan, walaupun ia tidak boleh dikeluarkan pada sesuatu tempoh.

17.
Adakah wang hasil keuntungan yang diperolehi dari penjualan rumah wajib dizakatkan?
Wang CPF yang dikembalikan dan hasil keuntungan yang diperolehi dari penjualan rumah, sekiranya jumlah tersebut cukup nisab dan haul, maka ia wajib dizakatkan.
18.
Apakah saya mesti membayar zakat perniagaan jika saya mempunyai sebuah kenderaan dan saya menyewakannya kepada seseorang ?
Sekiranya pekerjaan sepenuh masa anda adalah menyewa kenderaan, maka anda perlulah keluarkan zakat perniagaan tetapi sekiranya anda menyewakan kenderaan tersebut secara sambilan maka anda tidak perlulah mengeluarkan zakat.
19.
Perlukah seorang yang sedang mengumpul wang untuk menunaikan Haji membayar zakat kerana ia akan menyebabkan wang simpanan itu habis?
Zakat merupakan rukun Islam ke tiga dan Haji rukun Islam ke lima. Zakat wajib ditunaikan apabila harta atau simpanan kita cukup nisab dan haul tidak kira samaada duit itu untuk perbelanjaan harian kita, masa tua kita atau ibadah kita yang lain termasuk haji.
Zakat menyucikan harta dan diri pembayar Zakat. Allah berjanji akan mengembangkan harta mereka dan tidak mengurangkan walau sedikit sekali pun. Dan Allah menenangkan jiwa mereka. Oleh itu anda wajib yakin dengan janji-janji Allah itu dan anda tidak seharusnya takut menjadi miskin atau harta anda berkurangan kerana berzakat atau bersadakah. Sesungguhnya haji yang mabrur itu dari sumber (harta) yang suci
Ibadah Haji wajib dilakukan apabila kita berkemampuan untuk melakukannya. Kemampuan yang dimaksudkan ialah kewangan untuk perbelanjaan urusan haji serta mereka yang ditinggalkan dan sihat tubuh badan.
20.
Haruskah kita mengeluarkan zakat sedangkan wang simpanan tidak ada kerana telah dipinjamkan kepada orang lain?
Wajib mengeluarkan zakat dari wang kita yang dipinjamkan kepada orang lain. Ini adalah kerana wang tersebut tetap milik kita, walaupun ia belum lagi ada pada tangan kita. Zakat hutang ini boleh ditangguhkan sehingga hutang tersebut telah dilunas, namun perlu dikira sebagai tunggakan.
21.
Bolehkan zakat fitrah di bayar dari wang gaji isteri dan bukan dari wang si suami?
Adalah menjadi tanggung jawab suami untuk membayar zakat fitrah bagi isteri dan anak-anaknya. Jika dia tidak laksanakan, atau dia menggunakan wang isterinya, maka zakat fitrah tersebut tidak sah dan dia berdosa.
Pahala puasa dan ibadat lain dalam bulan Ramadan akan tergantung antara langit dan bumi, tidak sampai pada Allah, kecuali selepas dibayar zakat fitrah. Jika zakat fitrah tidak dilaksanakan oleh suami atau bapa atau tidak sah kerana menggunakan duit isteri, maka suami atau bapa tersebut bertanggung jawab menyebabkan semua pahalanya dan pahala ahli keluarganya dalam bulan Ramadan tergantung dan tidak sampai pada Allah.
22.
Bolehkah seorang isteri membayar zakat kepada suaminya yang sudah muflis?
1) Seorang itu wajib membayar zakat jika dia ada wang yang cukup haul dan nisab. Seorang yang muflis tidak perlu bayar zakat. Seorang isteri yang kaya boleh beri zakat kepada suaminya yang miskin kerana bukan menjadi tanggung-jawab isteri menanggung suami. Tetapi suami yang kaya tidak boleh beri zakat kepada isterinya yang miskin, kerana memang tanggungjawabnya membayar nafkah isteri.
2) Zakat fitrah adalah wajib atas semua orang Islam. Jika suami tiada duit untuk bayar zakat fitrah keluarganya, maka isteri boleh bantu dengan berinya wang, dan wang tersebut kemudian digunakan suami untuk bayar zakat fitrah isteri dan anak-anaknya. Jika kedua-duanya tidak ada wang langsung untuk bayar zakat fitrah, maka tidak wajib mereka bayar zakat fitrah.
23.
Bolehkah kita berzakat kepada orang yang ditimpa musibah/kemalangan walaupun orang itu bukan dari golongan miskin?
Allah s.w.t telah menerangkan siapakah yang berhak menerima wang zakat. Iaitu 8 asnaf. Orang yang ditimpa musibah atau kemalangan tidak termasuk dalam 8 asnaf tersebut. Namun, jika ia adalah seorang yang miskin, maka ia termasuk dalam golongan asnaf fakir miskin yang berhak menerima zakat. Sebaliknya, orang Islam digalakkan membantu mereka yang ditimpa kesusahan, bukan dari wang zakat yang memang sudah pasti akan dikeluarkan, tetapi dari wang sedekah sendiri agar ia benar-benar keluar dari hati yang tulus ikhlas.
24.
Bolehkah seseorang itu menyalurkan zakatnya langsung kepada anak-anak yatim?
Anak yatim, jika mereka tergolong di antara 8 asnaf penerima zakat, maka tiada salah untuk beri mereka zakat untuk asnaf fakir dan miskin. Tetapi jika mereka tidak termasuk dalam salah satu kategori asnaf, maka mereka hanya berhak menerima sedekah, dan bukan zakat.
25.
Bolehkah seseorang itu memberi zakat kepada ahli keluarganya yang miskin?
Zakat tidak boleh diberikan kepada mereka yang berada dibawah tanggungan seseorang. Maka, tidak boleh seorang bapa memberi zakat kepada anak perempuannya yang masih belum berkahwin, atau kepada isterinya. Kerana mereka adalah dibawah tanggungannya.Tetapi isteri boleh beri zakat kepada suami yang miskin kerana suami bukan tanggungannya.
Ibu bapa yang sudah tidak mampu menampung kehidupan mereka sendiri, maka menjadi kewajipan anak-anak mereka untuk menanggung mereka. Oleh itu, tidak boleh beri zakat kepada mereka, walaupun mereka tergolong dari 8 asnaf.
Seorang kakak atau adik wanita yang tidak mampu menampung diri atau keluarganya sendiri, maka menjadi kewajipan bapanya atau adik-beradik lelakinya untuk membantunya. Oleh itu, adik lelaki atau abang tidak boleh beri zakat kepada adik-beradik perempuannya yang susah. Namun, jika adik beradik perempuan itu sudah berumah-tangga, maka menjadi kewajipan suaminya menanggung mereka. Tetapi jika suami mereka miskin, maka adik beradik lelaki boleh beri zakat kepada suami adik-beradik perempuan mereka, kerana suami itu bukan tanggungan mereka.
26.
Bolehkah seseorang itu memberi zakat kepada adiknya yang janda?
Jika dia tidak mempunyai anak lelaki yang sudah bekerja, menjadi tanggungjawab adik-beradiknya lelaki, untuk membantunya. Tanggungjawab ini tidak boleh dilaksanakan dengan memberikannya zakat kerana zakat adalah untuk mereka yang bukan menjadi tanggungjawab anda untuk menyara hidup mereka.
27.
Bolehkah seseorang itu membayar zakat kepada orang yang berhutang dengannya agar jumlah hutang tersebut boleh dikurangkan?
Zakat tidak boleh diberikan pada seseorang untuk 'offset' hutangnya kepada kita. Itu dianggap sebagai keluar kocek kanan masuk kocek kiri. Hakikatnya duit itu tidak keluar dari kocek kita sendiri.
Maka anda tidak boleh beri zakat kepada adik anda untuk 'offset' hutangnya kepada anda. Tetapi anda boleh maafkan hutang tersebut dan menghalalkannya memandangkan dia sudah tidak mampu membayarnya kembali. Jika hutang itu berterusan, anda perlu jelaskan zakatnya yang tertunggak dari tahun pertama dia pinjam sehingga dia jelaskan hutangnya itu kembali.
28.
Bolehkah wang zakat harta diberikan kepada fakir miskin yang bukan Islam?
Zakat adalah untuk 8 asnaf yang beragama Islam. Maka jika ada orang bukan Islam yang tergolong dalam salah satu asnaf tersebut, ia tidak boleh diberikan zakat. Tetapi boleh dibantu dengan sedekah.
29.
Bolehkah zakat harta diberikan hanya kepada satu daripada lapan asnaf?
Di dalam mazhab Shafi'ie, wajib dibahagikan kepada 8 asnaf, dengan syarat ada kesemua 8 asnaf. Jika tidak ada kesemua 8 asnaf, contohnya cuma ada 4 asnaf sahaja, maka harus dibahagikan kepada asnaf-asnaf yang ada itu.
Juga, bagi setiap asnaf, mestilah dibahagikan sekurang-kurangnya pada 3 orang. Sebagai contoh, bagi asnaf orang fakir, kita harus berikan kepada 3 orang fakir.
30.
Adakah zakat fitrah anak perempuan yang sudah baligh wajib dibayar oleh bapanya kerana dia belum berakad nikah?
Bapa bertanggungjawab terhadap hal ehwal anak perempuannya sehinggalah dia menyerahkan anak tersebut kepada suami anak itu, iaitu apabila si anak perempuan itu berumah-tangga. Selepas akad nikah, maka berakhirlah tanggungjawah si bapa terhadap anak perempuannya, dan bermulalah tangguang-jawab suami anak perempuan itu. Tanggungjawab ini termasuk memberikan pakaian, makanan dan tempat tinggal kepada anak perempuannya, walaupun anak perempuan itu sudah bekerja dan mempunyai gaji yang lumayan. Seperti mana dia bertanggungjawab menjadi wali anak perempuan itu ketika dia berkahwin kelak.
Oleh kerana tanggungjawab ini kekal sehingga anak perempuannya berkahwin, maka menjadi tanggungjawab si bapa untuk mengeluarkan zakat fitrah anak perempuannya. Dia tidak boleh tuntut anak perempuannya bayar zakat fitrahnya sendiri, kerana seperti mana dia bertanggung jawab membayar zakat fitrah isterinya, begitu juga wajib dia membayar zakat fitrah anak perempuannya.
Zakat fitrah berbeza dengan zakat harta yang menjadi salah satu rukun Islam. Zakat harta tidak bergantung kepada akil baligh atau akad nikah. Selagi mana harta yang terkumpul melebihi nisah dan haul, wajib dikeluarkan zakat. Adapun zakat fitrah, tidak kira tua dan muda, kaya dan miskin, lelaki dan wanita, semuanya diwajibkan mengeluarkan zakat fitrah yang sudah ditetapkan nilainya oleh Rasulullah s.a.w.
31.
Bagaimanakah cara membayar zakat fitrah untuk orang yang menetap di kawasan yang tiada kemudahan pembayaran zakat fitrah?
Bagi mereka yang berada di kawasan yang tiada kesempatan dan kemudahan untuk membayar zakat fitrah, mereka boleh mewakilkan orang Islam yang berada di kawasan dan negara yang mempunyai kemudahan pembayaran zakat fitrah, untuk membayar zakat fitrah mereka.
Oleh itu, seorang Islam boleh mewakilkan kepada anda untuk membayar zakat fitrahnya di Singapura. Anda perlu niat ketika membayar zakat fitrah untuk mereka, bahawa zakat fitrah itu adalah untuk mereka. Apabila pulang kelak, orang tersebut perlu membayar kembali wang anda yang telah anda gunakan untuk membayar zakat fitrahnya dan isterinya.
32.
Bagaimanakah seseorang itu mengeluarkan zakat jika beliau sudah menunaikan kewajipannya terhadap keluarganya?
Alhamdulillah, kami amat senang hati apabila mendengar bahawa ada yang ingin membantu rakan-rakan seIslamnya yang menghadapi kesusahan. MUIS adalah badan yang mengendalikan agihan zakat mengikut lapan asnaf yang sudah ditetapkan oleh Islam. Ini termasuk yang fakir dan miskin. Oleh itu, adalah baik anda menunaikan ibadah zakat anda, kerana ia akan diagihkan kepada yang berhak keatasnya.
Membantu keluarga adalah suatu keutamaan, terutama lagi jika mereka sangat memerlukan bantuan tersebut, samada dari segi kewangan, emosi atau fizikal. Walaubagaimanapun, jika mereka telah mengizinkan anda membantu orang lain walaupun mereka dalam keadaan tersebut, dan anda masih berkhidmat kepada mereka, maka bolehlah anda membantu
33.
Bagaimanakah seseorang yang baru memasuki Islam memohon untuk menerima zakat bagi Muallaf?
Muallaf, atau mereka yang baru memasuki Islam, adalah salah satu penerima (asnaf) zakat. Ia diharapkan dengan pemberian wang ini dalam bentuk zakat, ia akan sedikit sebanyak membantu mereka membuka lembaran baru dalam hidup mereka.
Di Singapura, bahagian zakat ini dikendalikan oleh Darul Arqam.
34.
Bolehkah mereka yang datang dari keturunan Nabi Muhammad s.a.w. menerima zakat?
Mereka yang datang dari keturunan Nabi Muhammad s.a.w tidak dibenarkan menerima zakat atau sedekah. Walaubagaimanapun, para ulama zaman ini telah bersetuju bahawa mereka sekarang boleh menerima zakat. Antara sebabnya adalah jumlah mereka sudah bertambah dan mereka kini sangat ramai dan ada pula yang tidak berkemampuan dari segi kewangan. Ia juga tidak wajar untuk membiarkan mereka dalam keadaan sebegitu. Oleh kerana sebab-sebab tersebut, para ulama telah mendatangkan kesimpulan yang disebut diatas.
35.
Adakah zakat yang dikumpul diagihkan sepenuhnya pada tahun yang sama dalam kontes Singapura?
Dari segi hukum itulah yang sebaik-baiknya. Tetapi selalunya ada diantara asnaf-asnaf yang kurang memerlukan dan mereka yang tergolong dalam asnaf yang berkenaan terlalu sedikit. Contohnya asnaf Ibnissabil, Gharimin, Amil dan muallaf. Sebagai jalan keluar Muis akan melebihkan asnaf-asnaf yang lebih memerlukan seperti asnaf Fakir & Miskin, fisabilillah atau rekab. Sekiranya ada juga lebihan maka ia akan dibawa ketahun yang berikutnya untuk diagihkan.

Label: ,

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama