Isnin, 11 Ogos 2008

Toharah
1.
Apakah perkara-perkara yang membatalkan wudhu'?
Menurut mazhab Syafi’i, perkara-perkara berikut membatalkan wudhu’:
· Apa sahaja yang keluar dari anggota kemaluan.
· Hilangnya daya fikir seperti tidur dan sebagainya (melainkan tidur dalam keadaan duduk)
· Menyentuh anggota kemaluan.
· Menyentuh seseorang yang bukan mahramnya.
2.
Apa hukumnya orang yang tiada wudhu' memegang Al-Quran?
Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Waqi'ah, ayat 79: Dan tidak boleh memegangnya kecuali orang yang suci.
Para ulama berselisih samada yang dimaksudkan di sini adalah Al-Quran yang dicetak, atau Al-Quran asli yang berada di sisi Allah s.w.t
Pendapat yang kuat dalam Mazhab Syafii, adalah tidak harus orang yang berada dalam hadas kecil dan besar untuk menyentuh Al-Quran, kecuali dalam keadaan untuk menyelamatkannya.
3.
Adakah wajib bagi seseorang itu mengambil wudhu’ jika memegang naskhah terjemahan Al-Qur’an?
Wudhu’ hanyalah wajib jika seseorang itu memegang naskhah Al-Qur’an dalam bahasa asalnya iaitu Bahasa Arab. Oleh itu, tidak perlu untuk mengambil wudhu’ apabila memegang naskhah terjemahan Al-Qur’an.
4.
Bagaimanakah seseorang yang sebahagian badannya berbalut dan tidak boleh terkena air melakukukan mandi hadas dan wudhu'?
Sekiranya sebahagian tubuh berbalut dan tidak boleh terkena air walau sedikit pun, maka boleh melakukan tayammum untuk menggantikan mandi hadas. Perlu juga melakukan tayammum sebagai menggantikan wudhu' (ablution) ketika ingin solat.
5.
Haruskah pengantin mengambil wudhu sebelum bernikah?
Tidak ada mana-mana suruhan agama yang menganjurkan kita untuk mengambil wudhu ketika hendak akad nikah. Akad nikah tetap sah walaupun tanpa wudhu. Upacara yang dikenali sebagai Membatal Wudhu apabila selesai akad, adalah adat bukan agama. Maka, pengantin perempuan dan lelaki tidak perlu berwudhu untuk mengesahkan akad nikah.
6.
Jika seseorang itu mempunyai masalah buang angin, haruskah mengambil wudhu' tiap kali terbuang angin?
Tidak perlu mengangkat wuduk setiap kali buang angin kecuali jika untuk solat atau mengangkat Al-Quran.
7.
Bolehkah mengambil wudhu' dengan menyapu atas stokin kaki apabila tempat mengambil wudhu' sangat terhad?
Dalam keadaan darurat, dibenarkan untuk mengambil pendapat yang kurang kuat bahawa boleh menyapu wudhu' atas stokin kaki.
8.
Mengapakah ada yang mengatakan suami isteri tidak batal wuduknya jika bersentuhan?
Ulama keempat-empat mazhab berbeza pendapat mengenai hukum bersentuhan kulit antara lelaki dan wanita yang ajnabi, samada membatalkan wudu' atau tidak. Mengikut mazhab Hanafi, Hambali dan Maliki, tidak batal wuduk. Manakala mengikut mazhab syafii, batal wuduk.
Yang mengatakan tersebut, mungkin mengikut mazhab selain dari mazhab Syafii. Sebagai orang awam, kita wajib mengikut salah satu dari empat mazhab agar terselamat ibadah kita dari berbagai pendapat yang bertentangan. Oleh itu, jika anda seorang yang bermazhab Syafii, carilah guru dan kelas yang mengajar Fiqh Mazhab Syafii. Agar ia tidak terkeliru dengan pendapat-pendapat mazhab lain.
Begitu juga, jika kita ragu-ragu terhadap apa jua yang disampaikan, wajib kita bertanya guru tersebut atau ahli agama lain tentang pendapat tersebut mengikut mazhab mana.
9.
Adakah batal wudhu seseorang itu jika lelaki bersentuhan kulit dengan adik perempuan/ kakak kepada datuk/ nenek (nenek saudara)?
Adik perempuan bagi datuk adalah nenek saudara seseorang. Nenek saudara tiada ikatan darah yang langsung kepada seseorang. Oleh itu, batal wuduk jika bersentuhan dengan nenek saudara, tidak kira samada sebelah ibu atau bapa.
10.
Adakah sentuhan antara sepupu membatalkan wudhu'?
Islam membenarkan perkahwinan antara sepupu kerana mereka bukan mahram. Maka, bersentuhan antara mereka tanpa berlapik adalah membatalkan wuduk.
11.
Batalkah wudhu' jika tersentuh antara adik beradik tiri?
Adik beradik tiri, samada sebelah bapa atau ibu, adalah seperti adik beradik sendiri. Tidak batal wudh'u antara mereka, dan tidak batal wudhu' dengan anak-anak mereka.
12.
Batalkah wudhu seorang wanita jika tersentuh dengan wanita bukan Islam? Bagaimana pula lelaki yang tersentuh lelaki bukan Islam?
Tidak batal wudhu' wanita jika ia bersentuhan dengan wanita, tidak kira Islam atau bukan Islam. Begitu juga dengan lelaki. Wudhu wanita hanya batal jika ia bersentuhan dengan lelaki yang bukan mahramnya, termasuk suaminya. Dan sebaliknya untuk lelaki dan wanita yang bukan mahramnya, termasuk isterinya.
13.
Perlukah seseorang itu mengambil wudhu' semula selepas mandi hadas?
Seseorang yang telah mandi hadas, ia dianggap sudah bersih dari hadas besar dan kecil. Maka ia boleh terus lakukan solat tanpa mengambil wuduk. Tetapi ia mesti memenuhi syarat-syarat berikut:
1) Tidak menyentuh kemaluannya sewaktu mandi
2) Tidak mengeluarkan angin (kentut) sewaktu mandi.


Sebaik-baiknya seseorang itu mengambil wuduk selepas mandi hadas, sebagai berhati-hati.
14.
Bagaimanakah melafazkan niat mandi hadas?
Niat merupakan perkara hati di mana ia menyatakan bahawa kita membuat sesuatu itu dengan kesedaran kerana Allah. Jadi, niat untuk mandi hadas boleh dilakukan dalam apa jua bahasa selama mana anda faham dan sedar akan apa yang anda niatkan.
15.
Apakah cara yang betul untuk mandi hadas untuk lelaki dan wanita?
Cara mandi hadas yang sempurna bagi lelaki dan wanita adalah dengan membersihkan kemaluannya dahulu, depan dan belakang. Kemudian dimulakan dengan cara mengangkat air sembahyang dengan niat: Sahaja aku mandi hadas kerana Allah Ta'ala. Setelah itu, mandi seperti biasa dengan memastikan bahawa semua anggota badan dan kulit terkena air, termasuk jari jemari kaki. Tiada salahnya untuk menggunakan sabun.
16.
Haruskah menggunakan sabun ketika mandi hadas?
Mandi hadas tidak perlu sabun kecuali jika untuk menghilangkan kotoran yang akan menyebabkan terhalangnya air dari terkena kulit. Jika hendak sabun, ia boleh dilakukan ketika mandi hadas, iaitu jatuh niat pada kali pertama air terkena badan, sabun dan bilas dan kemudian selesai. Sebaiknya sahaja seseorang itu lap badannya dari air, maka ketika itulah selesai mandi hadasnya.
17.
Perlukah mandi hadas jika air mani keluar sekali bersama dengan air kencing?
Dari sudut biologi, air yang keluar tersebut adalah lebihan mani yang berada di pelir (testicle). Air mani sentiasa terhasil secara berterusan di pelir. Jika ia tidak keluar, maka lebihannya akan keluar secara sendiri, apabila membuang air kecil atau ketika meneran.



Air ini, walaupun ia merupakan air mani, tetapi dari sudut syarak ia bukan dianggap air mani yang asli yang mewajibkan mandi hadas. Ini adalah kerana ia keluar tanpa perasaan syahwat, dan ia sudah bercampur dengan air kencing. Maka, orang yang keluar air mani seperti itu, hanya perlu membersihkannya sahaja.
18.
Apakah bezanya antara mandi hadas, mandi junub, mandi jimak dan mandi wajib?
Tidak ada apa-apa beza antara mandi hadas, mandi junub, mandi jimak dan mandi wajib. Kesemuanya adalah perkara yang sama dan niatnya juga sama.
19.
Haruskah lelaki memakai kain atau wanita berkemban ketika mandi?
Menutup aurat ketika mandi adalah dianggap suatu amalan yang digalakkan kerana seseorang itu harus mempunyai sifat malu walaupun di dalam bilik air. Kita harus ingat bahawa apabila berada di dalam bilik air , kita tidak berseorangan. Dengan itu kita harus memelihara aurat kita daripada terdedah.


Walaubagaimanapun, terpulang kepada individu samada untuk mengamalkannya ataupun tidak.
20.
Bagaimanakah sertu dilakukan dan apakah syarat-syaratnya?
Sertu ialah cara pembersihan untuk najis berat. Caranya adalah dengan mengalirkan satu bahagian air yang dicampur dengan tanah dan lagi enam bahagian air yang bersih dan suci ke tempat yang terjejas. Boleh dimulakan dengan mana-mana bahagian dan tanah yang digunakan haruslah suci dari mana-mana najis.
21.
Adakah sertu mempunyai urutannya yang tertentu, iaitu dimulakan atau diakhiri dengan air bercampur tanah?
Cara sertu adalah dengan menuangkan 6 kali air bersih ke tempat tersebut dan 1 kali air bercampur tanah/pasir. Urutannya tidak penting. Maka boleh dimulakan dengan air bercampur tanah/pasir dan diikuti dengan 6 kali air bersih, atau diakhiri dengan air bercampur tanah tersebut atau ditengah-tengahnya.
22.
Bolehkah barang/ anggota badan/ tempat yang terkena babi dibersihkan dengan air dan sabun atau produk pembersihan yang lain?
Menurut hukum Islam, babi dianggap sebagai najis berat dan ini termasuk kesemua anggota badannya seperti kepalanya dan kulitnya.

Jika ada barang/ anggota badan/ tempat yang terkena dengan babi dan salah satu atau kedua-duanya basah, maka ia perlu dibersihkan dengan cara sertu. Sertu dilakukan dengan membersihkan tempat yang terkena itu sebanyak tujuh kali, salah satu daripadanya dengan air yang dicampur dengan tanah dan 6 bahagian yang lain dengan air yang bersih dan suci.
23.
Bolehkah seseorang itu menggunakan sponge atau kain untuk sapu tempat yang disertu?
Untuk sertu, perlu dituang air yang dicampur dengan tanah pada tempat yang terkena najis. Air tersebut perlu nampak bertakung atau mengalir. Tidak boleh hanya sapu dengan sponge atau kain sahaja. Air tersebut kemudian boleh disapu, disedut dengan sponge atau lain agar dapat menuangkan baki 6 kali air bersih.
24.
Perlukah seseorang itu sertu rumah yang pernah diduduki oleh orang bukan Islam?
Sekiranya anda sangsi dan syak bahawa penghuni lama menyimpan anjing atau memasak makanan yang ada daging khinzir, maka anda wajar sertu rumah tersebut di tempat-tempat yang anda rasa telah terkena najis tersebut.
25.
Bagaimanakah melakukan sertu di kereta terpakai yang menurut pemilik lama, selalu dibawa anjing peliharaan kedalamnya?
Jika anda yakin bahawa pemilik sebelumnya membawa anjing di dalam kereta, maka anda perlu usahakan agar tempat duduk dan pintu bahagian dalam kereta tersebut disertu dengan enam kali air suci, dan sekali dengan air bercampur tanah. Kemudian dikeringkan.
26.
Haruskah disertu bahagian yang disyaki terkena air yang mungkin datang dari daging babi?
Jika yakin bahawa bahan yang terkena adalah dari daging babi, maka anda wajib sertu anggota tersebut.
Jika anda was-was atau tidak yakin bahawa daging tersebut adalah daging khinzir atau daging binatang lain, maka anda tidak wajib sertu. Hanya perlu cuci seperti biasa.
27.
Perlukah sertu anggota badan jika tersentuh sesuatu yang telah disentuh oleh orang bukan Islam yang memakan daging babi?
Sesuatu itu akan menjadi najis jika ia basah, atau yang memegangnya basah. Jika kering, ia bukan najis. Oleh itu, jika tangan anda basah apabila memegang barang yang mana seorang yang memakan daging babi telah memegangnya, maka anda perlu sertu tangan anda. Jika tangan anda kering, maka anda hanya perlu bersihkan tangan anda dengan tisu daripada segala kesan habuk, minyak atau sebagainya dari daging babi tersebut, sebelum anda mencuci tangan anda.
28.
Dalam keadaan apakah seseorang itu perlu melakukan sertu apabila terkena dengan anjing?
Jika kedua-dua anjing dan manusia/ barang/ tempat yang terkena berada di dalam keadaan kering, maka tidak perlu sertu. Sertu hanya perlu dilakukan jika salah satu, anjing atau manusia/ barang/ tempat yang terkena sedang basah, ataupun kedua-duanya basah.
29.
Mengapakah anjing, lebih-lebih lagi air liurnya, dianggap sebagai najis?
Kita tidak harus terlalu memikirkan tentang mengapakah anjing dianggap najis kerana ia boleh menyebabkan kepercayaan bahawa jika bahayanya dihilangkan, hukumnya juga dihilangkan. Konsep sebegini tidak harus digunakan.

Air liur membawa bersamanya bacteria, tidak kira samada yang datang dari manusia atau anjing itu sendiri. Dan bacteria boleh dihapuskan dengan bahan-bahan kimia yang tertentu seperti sabun anti-bakteria, dan tidak semestinya dengan air dan tanah. Oleh itu, jika kita berpegang dengan konsep ini, kaedah pembersihan dengan air dan tanah yang dikenali sebagai sertu tidak lagi dianggap sesuatu yang perlu. Dan konsep sebeginilah yang tidak harus diguna-pakai. Dengan ini, kita harus berpegang kepada kepercayaan bahawa apa-apa sahaja yang diturunkan Allah s.w.t dan Rasulnya s.a.w harus ditaati, tidak kira apakah sebab-sebab disebaliknya.

Bagi memelihara anjing pula, kesemua mazhab bersetuju bahawa memelihara anjing bagi tujuan keselamatan atau memburu adalah dibolehkan. Akan tetapi, memelihara anjing sebagai binatang pemeliharaan atau untuk tujuan keselamatan di kawasan yang memang selamat tidak dibenarkan dalam Islam.
30.
Mengapakah orang Islam dilarang dari menyentuh anjing?
Menurut mazhab Syafii, anjing adalah punca najis berat. Oleh itu, jika seseorang itu tersentuh anjing dan permukaannya basah, maka perlulah dilakukan sertu pada anggota yang terjejas dengan melakukan sertu iaitu mengalirkan 6 bahagian air yang bersih dan suci dan 1 bahagian ari yang dicampur dengan tanah. Menurut mazhab Hanafi pula, tidak menjadi najis jika tersentuh anjing.
Sehubungan dengan itu, boleh dikatakan bahawa menyentuh anjing tidak menjadi masalah bagi orang Islam dan bukanlah sesuatu yang haram. Akan tetapi, setiap kali tersentuh anjing, seseorang itu perlulah melakukan sertu sebelum menunaikan solat dan sebagainya.

31.
Bolehkah seseorang itu menyentuh atau memegang produk-produk babi dengan menggunakan sarung tangan?
Memegang babi dengan sarung tangan dibolehkan. Akan tetapi, sarung tangan yang sudah terkena dengan babi tersebut harus dijaga agar ia tidak terkena pula dengan pakaian atau anggota badan.
32.
Apabila mengemop rumah, dimop sekali tahi cicak di lantai. Kotorkah rumah kerana najis itu?
Najis cicak adalah najis pertengahan, sama statusnya dengan najis manusia. Jika ia kering, maka status najisnya terangkat sementara. Tetapi jika ia basah walaupun sedikit, ia adalah najis. Dan air yang terkena najis tersebut akan menjadi najis juga.
Apa yang boleh dilakukan adalah dengan mengalirkan air kembali kepada tempat-tempat yang sudah terkena air yang najis itu. Kemudian lap kembali air tersebut sehingga kering.
Untuk membersihkan tempat yang terkena najis cicak, pertama sekali hilangkannya dengan kertas ketika ia kering. Kemudian tuang air di atasnya, dan kemudian lap air tersebut sehingga kering.
33.
Adakah bulu kucing yang sudah gugur dianggap sebagai najis?
Mengikut Mazhab Syafii, bulu kucing dianggap sebagai najis. Maka ia tidak boleh berada pada anggota badan atau tempat sujud ketika solat, kerana ia akan menyebabkan solat tersebut tidak sah. Oleh itu, perlu dihilangkan bulu kucing tersebut, samada dengan mengebasnya atau menyedutnya dengan vacuum cleaner.
34.
Bolehkah menggunakan pakaian atau karpet yang diperbuat dari bulu kambing (wool)?
Setiap binatang yang halal yang disembelih mengikut syariat Islam dianggap sebagai halal untuk dimakan, dan kulit serta bulu badannya tidak dianggap sebagai najis. Maka kambing, arnab dan sebagainya, jika disembelih mengikut syariat Islam, bulu dan kuiltnya tidak dianggap sebagai najis. Ia boleh digunakan untuk solat dan lain-lain kegunaan.
Walaubagaimanapun, bulu kambing biasanya dicukur dari kulit kambing apabila ia masih hidup, justeru itu, isu adakah ia disembelihkan dengan cara Islam atau tidak perlu dipertikaikan.
35.
Bolehkah orang Islam menggunakan produk yang diperbuat daripada tulang unta atau gading?
Para ulama telah bersetuju bahawa apa sahaja anggota haiwan termasuk kulit, bulu dan tulang yang datang dari haiwan yang halal dan yang disembelih menurut cara Islam, tidak dianggap sebagai najis. Maka ia boleh digunakan sebagai pakaian, alas kaki dan sebagainya.



Jika anggota tersebut datang dari haiwan halal yang tidak disembelih mengikut cara Islam, maka ia dianggap sebagai najis. Hukumnya adalah sama bagi anggota badan haiwan yang tidak halal seperti tulang harimau.



Unta adalah haiwan yang halal, maka hukum bagi penggunaan anggota badannya mengikut hukum yang tertera diatas.



Bagi gajah pula, kedudukannya tidak disebut didalam Al-Qur’an mahupun Hadith. Oleh itu, sebahagian ulama mazhab Syafi’i berpendapat bahawa gajah adalah haiwan yang tidak halal kerana menyamakan gading gajah dengan gigi taring. Ada juga sebahagian ulama yang tidak setuju dengan hubung kait tadi dan menganggapnya sebagai haiwan yang halal.



Oleh itu, bagi mereka yang mengikut pendapat bahawa gajah adalah haiwan yang tidak halal, gadingnya adalah najis. Bagi mereka yang mengikut pendapat bahawa ia adalah haiwan yang halal, maka gadingnya bukanlah najis.
36.
Adakah menghilangkan bulu di wajah atau di anggota lain dibenarkan?
Menghilangkan bulu di bahagian wajah adalah sesuatu yang dibenarkan Islam melainkan bulu kening dan rambut (memendekkannya dibenarkan selagi mana ia tidak menyerupai lelaki). Bagi lelaki, adalah haram bagi lelaki untuk mencukur janggut menurut mazhab Hanafi dan Hambali.
37.
Adakah menanggalkan bulu di bahagian ketiak secara kekal
Menanggalkan bulu ketiak adalah dibenarkan Islam. Oleh itu, menanggalkannya secara kekal juga dibenarkan.
38.
Adakah menanggalkan bulu di anggota sulit sesuatu yang dibenarkan Islam?
Menanggalkan bulu di bahagian anggota sulit adalah amalan yang digalakkan Islam.
39.
Apa hukumnya memotong kuku pada waktu malam atau semasa berpuasa?
Memotong kuku pada waktu malam tidak berdosa. Malah memotong kuku boleh dilakukan pada bila-bila masa, kecuali ketika dalam keadaan ihram untuk umrah dan haji. Memotong kuku tidak membatalkan puasa.

Label:

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama