Isnin, 11 Ogos 2008

Faraid
1.
Apakah itu faraid dan adakah ia hanya kena-mengena dengan yang sudah tiada?
Hukum Faraid adalah khusus untuk harta yang telah ditinggalkan oleh pemiliknya yang sudah meninggal dunia.
Apabila seseorang itu membahagikan kesemua hartanya kepada orang lain, warisnya atau tidak, semasa dia hidup, itu namanya "Hibah" (hadiah). Dan itu halal dalam Islam. Namun, jika seseorang itu melakukan demikian sehingga menzalimi ahli waris lain maka dia telah berdosa.
2.
Bolehkah harta peninggalan dibahagikan sama rata kepada waris-waris dengan persetujuan masing-masing?
Pembahagian harta pada hukum asalnya adalah mengikut hukum faraid. Setiap waris perlu mengetahui bahagian saham masing-masing mengikut hukum Islam. Tetapi sekiranya waris-waris bersetuju untuk membahagi sama rata harta tersebut, maka hukum pembahagian tersebut adalah dibolehkan.
3.
Apa hukumnya orang yang tidak setuju dengan pembahagian harta mengikut faraid?
Hukum faraid merupakan satu perintah yang ditentukan oleh Allah s.w.t melalui firmannya dalam ayat-ayat yang jelas dalam Al-Qur'an. Ia bertujuan untuk menjamin keadilan dan hak setiap ahli waris serta menjaga silaturahim antara keluarga. Sebagai umat Islam, kita wajib mematuhi hukum ini.
Walau bagaimanapun, sekiranya semua ahli waris bersetuju dan redha untuk membahagikan harta ini dengan cara lain, ia boleh dilakukan kerana ia bersangkut dengan hubungan sesama manusia.
4.
Perlukah wang simpanan ibubapa yang meninggal dunia dibahagikankepada anak–anaknya mengikut hukum Islam?
Wang simpanan arwah ibu atau bapa perlu dibahagikan mengikut hukum faraidh. Akan tetapi para ahli waris boleh menghalalkan bahagian yang diterima untuk diserahkan kepada ahli waris yang lain, contohnya kepada ibu.
5.
Bilakah hak waris bermula?
Hak waris bermula apabila kematian seseorang itu telah dipastikan dan setelah dilaksanakan semua hal-hal yang bersangkutan dengan harta itu. Iaitu:
1. Perbelanjaan mengurus jenazah secara berpatutan.
2. Membayar hutang-hutang si mati, samada hutang dengan manusia atau hutang dengan Allah termasuk zakat dan fidyah.
3. Wasiat yang tidak melebihi 1/3 dan bukan untul waris.
4. Baki jumlah daripada harta tersebut menjadi pusaka yang boleh
6.
Adakah wajib membuat wasiat ke atas harta peninggalan?
Mengikut ajaran Islam, orang Islam sangat–sangat digalakkan membuat wasiat supaya tidak meninggalkan masalah kepada warisnya yang hidup dan kepada dirinya.
7.
Bolehkah seseorang itu membuat wasiat untuk seorang waris agar mendapat bahagian lebih daripada yang telah ditetapkan?
Wasiat untuk ahli waris tidak sah kerana ahli waris mempunyai bahagian yang telah ditetapkan dalam hukum faraid.
8.
Bolehkah seorang Islam itu membuat wasiat agar harta pusakanya dibahagikan menurut wasiat yang ditulis?
Di dalam Islam, pembahagian harta pusaka orang yang telah meninggal dunia adalah menurut faraid seperti yang telah ditetapkan di dalam Al-Qur’an. Tujuan berwasiat adalah untuk memberi harta pusaka kepada yang tidak mewarisi dan ia tidak boleh melebihi 1/3 harta tersebut. Hukum faraid yang ditetapkan di dalam Al-Qur’an penuh dengan hikmahnya, seperti mana perintah-perintah Allah s.w.t yang lain berhikmah juga dan adalah baik kita sebagai orang Islam menghormati perintah tersebut kerana Allah Maha Mengetahui.
9.
Apakah hukumnya wasiat yang melebihi 1/3 dari harta pusaka?
Wasiat yang melebihi 1/3 bahagian dari harta pusaka hukumnya bergantung kepada keredhaan para waris yang berhak. Jika tidak ada keredhaan mereka, maka wajib dikurangkan kepada had maksimum wasiat iaitu 1/3 dari harta pusaka dan selebihnya hendaklah dibahagikan kepada waris. Izin itu hanya diakur sah jika diberikan waris setelah pembuat wasiat tersebut meninggal dunia.
10.
Bolehkah seorang isteri itu membuat wasiat kepada orang lain dan tidak pada suaminya sendiri?
Wasiat termasuk di dalam perkara-perkara yang harus. Wasiat dianggap sah jika diberikan kepada sesiapa sahaja yang bukan daripada kalangan pewaris dan tidak melebihi 1/3 daripada harta pusaka.
11.
Apakah boleh seseorang Islam membuat wasiat yang mana pewarisnya adalah orang bukan Islam?
Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa adalah dibolehkan seseorang Islam membuat wasiat kepada seseorang bukan Islam selagi ianya tidak melebihi 1/3 dari harta pusaka tersebut.
12.
Dimanakah kedudukkan anak luar nikah dari segi mewarisi harta arwah ayahnya?
Garis pandu bagi seorang anak luar nikah kepada bapanya adalah seperti berikut:
1) Jika bapa tersebut mengahwini ibunya, maka bapa tersebut menjadi bapa tiri, bukan bapa kandung.
2) Dia tidak boleh dibin atau bte kan kepada bapa tiri itu.
3) Dia tidak boleh mewarisi harta bapa tiri itu, dan juga sebaliknya, bapa tiri itu tidak boleh mewarisi hartanya kelak.
4) Dia boleh menerima wasiat dari bapa tirinya, kerana dia bukan ahli waris bapa tirinya.
5) Bapa tirinya tidak boleh menjadi wali nikah baginya.
Jika seorang bapa tiri ingin memberikan sebahagian dari hartanya kepada anak tirinya sewaktu dia hidup, maka itu dianggap sebagai hadiah dan tidak tertakluk pada faraidh.
13.
Bolehkah mewasiatkan harta kepada anak angkat?
Boleh mewasiatkan harta kepada anak angkat, tetapi tidak boleh lebih dari sepertiga harta pusaka.
14.
Bolehkah anak tiri mewarisi harta pusaka bapa atau ibu tirinya yang sudah meninggal? Bagaimana pula dengan anak angkat?
Dalam hukum faraid, anak tiri, anak angkat dan isteri yang telah diceraikan semasa hidup tidak dianggap sebagai ahli waris yang berhak. Oleh itu, anak tiri tidak boleh mendesak balu bapa tirinya untuk menjual rumah untuk mereka mendapat bahagian dari rumah tersebut. Kerana mereka tidak berhak mendapat apa-apa dari harta pusaka bapa tirinya. Mereka hanya berhak mendapat harta pusaka dari bapa kandungnya sendiri.
15.
Jika si mati tidak mempunyai sebarang waris, bolehkah anak angkatnya menuntut seluruh harta peninggalannya?
Anak angkat tidak boleh mewarisi seluruh harta si mati. Ini memandangkan anak angkat itu bukanlah waris yang sah dari sudut hukum agama Islam. Namun demikian sekiranya si mati ada meninggalkan wasiat yang disaksikan oleh 2 orang saksi lelaki dewasa, maka hanya 1/3 bahagian sahaja yang boleh dituntutnya. Yang selainnya mestilah diserahkan kepada Baitul Mal yakni Muis sebagai amal jariah si mati dan digunakan untuk maslahat umum masyarakat Islam di Singapura.
16.
Yang mana harus diselesaikan dulu? Peninggalan harta atau hutang amalan si arwah?
Mengikut hukum faraid, harta pusaka perlu dibahagikan mengikut urutan berikut:
1) Menyelesaikan segala perkara yang bersangkut-paut dengan harta, seperti hutang si mati
2) Menyelesaikan urusan pengebumiannya secara sederhana
3) Menyelesaikan segala perkara yang bersangkut-paut dengan si mati, seperti Kaffarah puasanya, hajinya, zakatnya.
4) Wasiat si mati
5) Pembahagian kepada ahli waris yang berhak.
17.
Adakah wang CPF (Central Provident Fund) yang telah di letakkan nama “nominee” oleh si mati kepada seseorang itu menjadi pemilik hartanya secara mutlak?
Wang CPF merupakan harta pusaka si mati. Dalam Islam nama "nominee" yang diletakkan oleh si mati adalah sebagai pengamanah (trustee) dan bukan milik mutlak “nominee” tersebut. Sebagai pengamanah, seseorang itu wajib membahagikan wang tersebut kepada ahli-ahli waris mengikut hukum faraid.
18.
Adakah wang pampasan dari Skim Insurans CPF Dependents perlu diagihkan mengikut faraid?
Skim Insurans CPF tersebut adalah sebuah skim ko-operatif. Skim ini sama seperti skim Khairat Kematian. Wangnya dianggap halal dan wang pampasannya harus diagihkan menurut hukum faraid.
19.
Apa hukumnya menerima wang pampasan daripada syarikat insurans?
Wang pampasan insurans dibahagikan kepada dua:
1. Wang yang dibayar oleh pemegang polisi (si mati).
2. Wang lebihan yang diberikan oleh syarikat insurans.
Wang yang dibayar oleh pemegang polisi (si mati) adalah termasuk dalam harta peninggalan yang harus diagihkan menurut hukum faraid.
Wang lebihan yang diterima oleh syarikat insurans dianggap sebagai wang syubhah yang mana status halal dan haramnya adalah kurang jelas. Wang ini harus diberikan kepada BaitulMal agar ia digunakan untuk kebaikan masyarakat
20.
Adakah flat peninggalan yang telah dibeli oleh seseorang dengan bekas isterinya secara "joint-tenancy" menjadi milik mutlak kepada bekas isteri ketika bekas suami meninggal dunia?
Setelah mengkaji kedudukan "joint-tenancy", Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa flat tersebut bukanlah harta mutlak milik bekas isteri almarhum. Bekas isteri kepada yang meninggal dunia itu hanya mendapat separuh bahagian (50%) daripada nilai harga rumah tersebut. Bahagian ini diperolehi atas sebab hak beliau sebagai pembeli bersama (joint-tenants)
Adapun separuh bahagian yang baki, maka bahagian tersebut adalah milik waris si mati. Bahagian baki ini tidak boleh diberikan kepada bekas isteri si mati kerana mereka telah bercerai sebelum si suami meninggal dunia. Maka bekas isteri tidak mendapat apa-apa bahagian kerana beliau bukan lagi merupakan isteri dan waris kepada si mati.
21.
Apakah harus difaraidkan jika pembayaran hutang kepada si mati itu dilunaskan?
Jika seseorang itu sudah meninggal dunia, dan kemudian datang seseorang melunaskan hutangnya kepada si mati tersebut, maka duit yang dibayar itu adalah dianggap sebagai harta pusaka yang wajib dibahagikan mengikut hukum faraid. Jika seseorang itu sudah meninggal dunia, dan kemudian datang seseorang melunaskan hutangnya kepada si mati tersebut, maka duit yang dibayar itu adalah dianggap sebagai harta pusaka yang wajib dibahagikan mengikut hukum faraid.
22.
Berhakkah pewaris meminta segala hutang dibayar kepada si mati sebelum harta warisan diagihkan?
Segala hutang-piutang menjadi tanggungjawab si peminjam membayarnya tidak kira siapa yang meminjamkan. Bagi yang diamanahkan untuk uruskan harta selepas kematiannya berhak untuk mengagihkan hutang tersebut kerana harta itu merupakan harta warisan yang perlu diagihkan mengikut faraid.
23.
Bolehkah harta pusaka si mati dilaburka dan hasil keuntungannya digunakan untuk membiayai pendidikan anak, cucu dan cicit si mati?
Perkara tersebut boleh dilakukan dengan syarat syarat semua ahli waris yang berhak telah melepaskan bahagian mereka dengan redha.
24.
Bolehkah seorang wanita yang kematian suaminya menggunakan wang sedekah yang diterima dari kematian itu untuk kegunaan harian?
Wang yang disedekahkan ketika kematian adalah milik keluarga yang hidup maka tidak termasuk di dalam kategori harta pusaka yang perlu dibahagikan mengikut faraid. Maka ia boleh digunakan untuk keperluan harian keluarga si mati.

Label:

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

Pautan pada catatan ini:

Buat Pautan

<< Laman utama