Isnin, 11 Ogos 2008

Hubungan antara kaum
1.
Apakah pandangan Islam tentang konsep bebas berugama?
Semua manusia berhak dan bebas berugama. Bagi orang Islam, agama kita berpandukan Al-Qur’an yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w oleh Allah s.w.t yang dijadikan sebagai asas kepercayaan kita bersama dengan Hadith Nabi Muhammad s.a.w. Oleh itu, dengan kedua-dua sumber ini, kita percaya bahawa Islam adalah agama yang benar. Walaubagaimanapun, ia tidak bermakna bahawa kita harus memaksa orang lain untuk memasuki agama kita. Allah s.w.t telah berfirman di Surah Al-Baqarah ayat 256 yang bermaksud: “Tidak ada paksaan dalam ugama.” Oleh yang demikian, kita tidak boleh memaksa orang untuk memasuki agama kita. Akan tetapi, menerangkan kepada orang bukan Islam tentang Islam dibolehkan, dan di dalam beberapa keadaan, sesuatu yang sangat perlu untuk menjelaskan salah faham atau tanggapan yang salah tentang Islam.

Sebagai masyarakat Islam di Singapura, kita boleh mengamalkan Islam dan mengekalkan identiti Islam di sebuah negara bukan Islam. Ia boleh dilakukan dengan memahami dan mengamalkan konsep pluralisme. Konsep ini bukanlah konsep yang asing di dalam sejarah Islam kerana Islam pada waktu konsepsinya adalah agama minoriti dan telah wujud bersama agama lain di dalam masyarakat majmuk. Prinsip menghormati dan mengiktirafi kepelbagaian manusia juga bukanlah prinsip asing di sisi Islam. Malah, Al-Qur’an telah menekankan prinsip-prinsip ini apabila berbincang tentang tradisi dan kepercayaan kaum atau agama lain. Dalam hal ini, Islam bersifat inklusif dalam menangani hal-hal seperti hubungan antara kaum.

Masyarakat Islam seharusnya menyambut dan menghargai kepelbagaian dan pendapat-pendapat yang berlainan selagi mana ia dibincang secara rasional, objektif dan saintifik. Oleh itu, masyarakat Islam seharusnya menerima konsep pluralisme sebagai sesuatu realiti hidup.
2.
Apakah hukum seorang yang asalnya Islam lalu bertukar-tukar agama?
Setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza pada agama. Bagi orang Islam, agama merupakan lebih dari kepercayaan atau amalan tertentu. Ia merupakan satu cara hidup yang didasarkan pada nilai-nilai pokok (principles) yang tidak boleh bertukar ganti. Menukar-nukar nilai hidup merupakan tindakan orang yang tidak berprinsip dan ini harus dijauhi.
3.
Jika seseorang itu telah murtad, apakah caranya untuk menyerunya kembali ke agama Islam dan apakah yang harus di lakukan oleh keluarganya?
Kami amat bersimpati dengan keadaan yang sedang anda lalui. Kami doakan agar anda dan keluarga anda diberi kekuatan oleh Allah s.w.t untuk menghadapi keadaan tersebut dengan tabah dan penuh keimanan pada Allah s.w.t. Semua yang berlaku adalah ujian dari Allah. Anak anda yang sudah dewasa tersebut telah memilih jalannya sendiri, dengan meninggalkan ugama Islam. Sebagai orang Islam, sudah tentu kita tidak mahu ini berlaku.
Oleh itu, kami anjurkan agar anda banyak berdoa kepada Allah s.w.t dia diberi hidayat oleh Allah, agar ia dapat kembali ke Islam sebelum akhir hayatnya. Janganlah putus berdoa, walaupun sehingga akhir hayat anda, kerana kita tidak tahu mungkin Allah s.w.t membuka hatinya kembali setelah kita tiada di atas muka bumi ini.
Begitu juga, jangan putuskan hubungan dengannya. Teruskan bertanya tentang keadaannya, dan dalam masa yang sama, cuba selidik apakah punca dia meninggalkan ugama Islam. Ajukan kepada para asatizah dan mereka yang pakar tentang apakah jawapan yang boleh diberikan kepada anak anda atas sebab-sebab dia meninggalkan agama Islam.
4.
Bolehkah seseorang itu mendo'akan orang bukan Islam untuk mendapat petunjuk agar hatinya terbuka untuk masuk Islam?
Tiada salah bagi anda untuk mendoakan yang baik-baik kepada orang bukan Islam. Malah, ia amat digalakkan agar mereka juga dapat bersama-sama mendapat hidayah dan menjadi orang Islam.
Tetapi doa sahaja tidak mencukupi. Dakwah juga perlu dijalankan, tetapi lakukanlah dengan bijaksana dan dengan menunjukkan segala kebaikan Islam dalam diri anda. Sesungguhnya Islam melihat golongan non-Muslim sabagai "Ummah al-Da'wah" (umat yang perlu mendapat seruan). Maka menjadi tanggungjawab kita menyampaikan risalah suci Islam kepada golongan tersebut melalui nilai, akhlak dan sumbangan murni yang berterusan.
Semoga dengan demikian, hatinya akan tertarik dengan
5.
Apakah hukum mengucap selamat pada penganut agama lain pada hari kebesaran agama mereka?
Isu menyambut hari kebesaran agama lain merupakan satu masalah yang terdapat perbezaan pendapat antara ulama’. Ini termasuklah memberi ucap selamat, bertukar hadiah dan menghadiri jemputan mereka.
Antara Ulama yang membolehkan perbuatan sedemikian ialah Dr Yusuf Qaradawi (2), Sheikh Faisal Mawlawi (3) dan Sheikh Mustafa Al-Zarqa'. Memberikan ucap selamat tidak bermakna masyarakat Islam mengiktiraf kebatilan iktikad mereka. Ucapan sedemikian tidak lari daripada dua keadaan berikut:
1. Sama ada sebagai merealisasikan konsep ihsan dan memaparkan kecantikan Islam atau
2. Membalas ucapan tahniah mereka dengan sebaik-baiknya. Lebih-lebih lagi jika orang bukan Islam sering mengucapkan tahniah kepada orang Islam bersempena hari kebesaran Islam.
Dalam kedua-dua hal di atas, mengikut pandangan mereka, ianya termasuk di dalam firman Allah surah Al-Mumtahanah ayat 8 yang menganjurkan orang yang beriman berlaku ihsan dan berlaku adil kepada orang bukan Islam , firman Allah : “Allah tiada melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangi kamu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.”
Dan termasuk di dalam firman Allah surah An-Nisa ayat 86 yang menganjurkan kepada membalas ucapan dengan cara yang lebih baik, firman Allah : “Apabila kamu dihormati dengan suatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik atau balaslah dengan yang serupa. Sesungguhnya Allah memperhitungkan segala sesuatu.”
Kedua-dua ayat tersebut menyatakan perintah umum yang mencakup pelbagai aspek interaksi antara Muslim dan bukan Muslim. Para mufassir seperti Imam Ibnu Kathir (5), Imam At-Tabari (6), Imam Ibnu Al-Arabi (7), Imam Nasafi (8) dan Imam Al-Qurtubi (9) memberikan pelbagai pandangan dalam hal ini di antaranya ialah:
i. ayat 8 surah Al-Mumtahanah merupakan ayat yang relevan masih kekal tidak dimansukhkan dengan ayat (qital) peperangan;
ii. Allah tidak melarang perbuatan ihsan kepada orang kafir daripada kalangan wanita dan mereka yang tidak berpengaruh, selama mana mereka tidak memerangi dan tidak berkerjasama dalam mengusir orang yang beriman dari negeri mereka;
iii. Menyahut ucapan salam dengan cara yang terbaik dari orang bukan Islam dibolehkan. Sebahagian mufassir seperti Imam Ibnu kathir ada menukil satu peristiwa berlaku ke atas Ibnu Abbas di mana seorang lelaki Majusi memberi ucapan salam ke atasnya dan beliau menjawap : Wa’alaikumus salam warahmatullah. Teman Ibnu Abbas menyangkal perbuatan beliau seraya berkata : Anda menjawap salamnya dengan warahmatullah? Ibnu Abbas menjawab : Bukankah dengan rahmat Allah juga dia masih hidup bernyawa!
Sehubungan dengan ini, adalah sesuai bagi masyarakat Islam seperti di Singapura untuk memilih pendapat Ulama yang membolehkan perbuatan tersebut, kerana di samping ianya menepati roh Syariat Islam dalam bergaul dengan masyarakat bukan Islam secara baik dan harmoni. Ianya juga merealisasikan maslahat agama dan dunia yang menjadi salah satu penekanan Syariat Islam.
Bahkan perbuatan memberikan ucap selamat bersempena hari perayaan bukan Islam dapat memberikan imej yang baik bagi orang Islam, jika ianya dapat memupuk hubungan yang baik di antara masyarakat Islam dan bukan Islam, tidak kira sama ada ikatan tersebut terjalin menerusi kekeluargaan, persahabatan, jiran tetangga atau lebih luas lagi iaitu ikatan masyarakat majmuk yang hidup di bawah satu negara secara aman dan damai. Keadaan ini lebih bermanfaat dari segi dakwah dalam situasi hubungan antara mereka yang baru memeluk agama Islam dengan keluarga mereka yang masih berpegang dengan agama asal mereka.
Manakala menyambut hari kebesaran tersebut secara ritual bersama mereka, Ulama telah bersepakat secara Ijmak tidak membolehkan perbuatan tersebut dan hendaklah dielakkan. Illahnya (alasannya) adalah perbezaan agama yang memang wujud di samping sebarang penyerapan ajaran antara agama-agama adalah bertentangan dari segi prinsip Islam. Oleh yang demikian, menyambut hari kebesaran agama lain secara ritual adalah dilarang kerana ia membawa kepada syubhah aqidah. Adalah tidak tepat jika kita membuat kesimpulan bahawa memberikan ucap selamat dan menyambutnya adalah isu yang sama.
6.
Adakah menziarahi atau memasuki tempat ibadah agama lain dengan niat belajar dibenarkan Islam?
Islam tidak melarang seorang Islam untuk memasuki tempat ibadah agama lain lebih-lebih lagi jika ia dengan niat belajar selagi mana ia tidak melibatkan diri di dalam upacara agama lain.

Sifat ingin tahu tentang agama lain adalah suatu ciri yang dipuji Islam kerana menghargai budaya kaum lain akan memberi peluang kepada masyarakat Islam untuk saling memahami dan bertolak-ansur sesama kaum lain dan juga sifat hormat-menghormati dan bertoleransi. Yang terpenting sekali adalah hubungan baik yang terbina antara masyarakat Islam dan kaum-kaum lain akan membantu membangunkan dan memajukan negara.

Oleh yang demikian, jelas bahawa Islam adalah agama yang menganggap kepelbagaian antara manusia sebagai sesuatu yang positif; ia adalah suatu cara bagi manusia untuk saling mempelajari tentang diri masing-masing. Allah s.w.t telah berfirman di Surah Al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).”
7.
Bolehkah seseorang itu menghadiri majlis perkahwinan bukan Islam?
Majlis perkahwinan biasanya adalah majlis keagamaan yang dipimpin oleh tokoh atau ketua sesebuah agama. Orang Islam dilarang dari mengikut serta atau menghadiri majlis keagamaan penganut agama lain. Oleh itu, umat Islam tidak wajar menghadiri majlis perkahwinan tersebut. Namun, jika rakan anda telah mengundang dan anda dapat pastikan bahawa anda tidak akan ikut serta dalam upacara keagamaan mereka, maka anda boleh menghadirinya
Akan tetapi, umat Islam dibenarkan untuk menghadiri majlis makan minum selepas upacara perkahwinan tersebut kerana ia tidak ada unsur keagamaan.
Sehubungan dengan itu, sifat menghargai lain-lain tamadun, bangsa atau agama memberi ruang kepada masyarakat Islam memperkukuhkan persefahaman dengan masyarakat bukan Islam dan meluaskan lagi ruang tolak ansur dan saling menghormati sesama mereka.
8.
Bolehkah seseorang Islam menghadiri majlis keramaian yang disambut ahli keluarganya yang bukan Islam?
Menghadiri majlis keramaian yang bukan Islam dibenarkan di dalam Islam selagi mana hanya makanan Halal yang disediakan dan tiada upacara bukan Islam yang dilakukan oleh orang Islam yang menghadiri majlis tersebut. Malah, ini adalah sesuatu yang digakkan kerana ia akan mengeratkan lagi hubungan antara seorang Islam dengan keluarganya yang bukan Islam dan ia juga akan menunjukkan bahawa Islam bukanlah agama yang eksklusif.

Jika terdapat keraguan bahawa perkakas makanan yang digunakan mungkin terkena atau bekas kegunaan babi, Islam telah mengajar umatnya agar tidak bertanya lanjut tentang perkara yang akhirnya akan menyebabkan kesusahan keatas diri sendiri. (Al-Qur’an, 5:101) Oleh itu, suruhlah ahli keluarga anda membersihkan perkakas yang akan digunakan untuk menyediakan makanan Halal. Jika keraguan masih ada, ambillah tanggungjawab sendiri untuk membersihkan perkakas tersebut.

Dalam hal hubungan seorang Islam dan ahli keluarganya yang bukan Islam, kita haruslah menghargai dan menghormati agama dan kaum lain agar kita sama-sama saling memahami, bekerjasama dan bertolak-ansur dan juga meluaskan peluang untuk saling hormat-menghormati dan bertoleransi.
9.
Bolehkah seorang Islam menghadiri majlis perayaan agama lain seperti Krismas, Tahun Baru Cina dan DeepavalI?
Menghadiri keramaian untuk sambutan hari-hari kebesaran agama lain adalah dibolehkan selama mana tidak ada unsur-unsur pengibadatan dalam keramaian tersebut. Sebagai seorang Muslim, anda juga harus pastikan bahawa tatasusila Islam terjaga buat diri anda.
Adapun menghadiri majlis-majlis tersebut dengan niat mahu menghargai lain-lain agama atau adat memberi ruang kepada masyarakat Islam memperkukuhkan persefahaman dengan masyarakat bukan Islam dan meluaskan lagi ruang tolak ansur dan saling menghormati sesama mereka. Yang penting sekali mewujudkan kerjasama ke arah pembangunan masyarakat dan negara berdasarkan prinsip keadilan dan nilai moral yang tinggi.
10.
Bolehkah seseorang itu membabitkan dirinya dalam acara bertukar-tukar hadiah, lebih-lebih lagi pada waktu Krismas?
Acara bertukar-tukar hadiah tidak ada dasarnya dalam agama Kristian dan bukan berupa upacara keagamaan dalam perayaan Krismas. Jadi, tidak salah untuk anda turut serta dalam acara tersebut.
11.
Adakah perayaan berkongsi bersama kaum lain dibenarkan Islam?
Allah s.w.t telah berfirman di Surah Al-Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”
Oleh itu, adalah wajib bagi orang Islam untuk berbaik dan berlaku adil dengan semua manusia yang tidak memerangi orang Islam. Ini termasuk mengucapkan selamat kepada mereka pada hari perayaan mereka. Walaubagaimanapun, kata-kata ucapan seperti Happy Good Friday ata Easter Sunday adalah dilarang kerana ia adalah perayaan berugama bagi orang Kristian.
Mujurlah ucapan bagi perayaan-perayaan besar di Singapura tidak membawa maksud pengiktirafan kewujudan tuhan lain. Ucapan seperti Happy Chinese New Year adalah setakat ucapan tradisi orang Tionghua tanpa membawa maksud atau konotasi agama. Ia sama seperti ucapan Selamat Tahun Baru pada setiap permulaan kalendar sivil. Ia hanyalah ucapan yang tidak bermakna apa-apa.
Ucapan Happy Vesak Day juga tidak berkonotasi agama kerana ia datang dari perkataan Vaisakah, bulan yang pertama di tahun Hindu, sama seperti mengucapkan Happy January Day. Happy Deepavali juga tidak membawa maksud agama memandangkan ia bermaksud perkataan Deepavali atau Diwali adalah perkataan Sanskrit yang bermakna “barisan cahaya”. Oleh itu ucapan ini sebenarnya bermakna “Selamat Hari Barisan Cahaya”.
Hari Natal atau Krismas pula, bertentangan dengan apa yang biasanya dikenali, bukan berasal dari agama Kristian. Ia sebenarnya berasal dari pesta yang menyambut Tuhan Matahari semasa solstis musim sejuk di zaman pertengahan (medieval times). Tiada satu ayat pun yang terdapat di Bible ynag mengatakan bahawa Krismas atau Hari Natal itu hari lahir Nabi Isa. Oleh itu, ucapan Krismas atau Selamat Hari Natal membawa maksud yang sama seperti ucapan Selamat Tahun Baru Cina.
Maka dibenarkan bagi orang-orang Islam unutk menyambut bersama perayaan Islam dan perayaan kaum lain selagi mana mereka tidak menyertai sama mana-mana upacara bukan Islam dan tidak melakukan perkara yang bercanggah dengan Islam seperti brgaul bebas antara lelaki dan perempuan dan tiada minuman keras yang disediakan kepada orang Islam.
12.
Bolehkah orang Islam makan mooncake dan membawa tanlong secara suka-suka di Mid-Autumn Festival?
Dalam kalendar orang-orang Cina, perayaan ketiga yang paling besar adalah perayaan Mid-Autumn Festival, yang disambut pada bulan kelapan dalam kalendar orang-orang Cina (pertengahan September hingga Oktober). Perayaan ini berdasarkan kepada kepercayaan mereka bahawa seorang wanita bernama Chang-O pergi ke bulan, atau ada orang tua di bulan yang menulis perihal perkahwinan orang-orang Cina. Ia juga mempunyai latar-belakang sejarah apabila orang-orang Cina bersepakat memerangi penjajahan Mongol melalui kuih yang akhirnya dinamakan sebagai Moon Cake. Dalam perayaan ini juga, kanak-kanak dan orang tua akan membawa tanlong pada waktu malam, khususnya untuk melihat bulan penuh pada pertengahan perayaan ini. Namun, tanlong ini juga adalah sebagai menunjukkan rasa gembira kanak-kanak menyambut Mid-Autumn Festival.

Dengan ini, orang Islam dilarang dari menyambut perayaan Mid-Autumn Festival kerana ia mempunyai unsur kepercayaan yang bertentangan dengan Islam. Akan tetapi untuk kanak-kanak membawa tanlong sebagai suka-suka dan tidak mempunyai apa-apa aktiviti pengibadatan orang-orang Cina, maka ia adalah harus. Begitu juga memakan Mooncake yang halal tanpa ada apa-apa niat melainkan untuk memakannya sahaja, maka ia adalah harus dalam Islam. Yang dilarang adalah menyertai aktiviti pengibadatan atau perayaan yang mengandungi elemen syirik atau haram.
13.
Apakah hukum seseorang yang telah menyentuh atau meminum air "holy water"?
Air holy water tidak ada keistimewannya dalam agama Islam. Seorang Muslim tidak boleh mempercayai bahawa ia berbeza dengan air lain kerana itu merupakan perkara khurafat.
14.
Bolehkah seorang bukan Islam memasuki masjid?
Memasuki tempat ibadah agama lain dibenarkan jika ia dengan sebab menimba ilmu dan bukan kerana ingin memasuki upacara agama lain atau untuk menghadiri majlis yang akan menimbulkan fitnah atau salah faham. Saiyidina Umar r.a. telah memasuki gereja di Baitul Maqdis apabila orang Islam merasmikannya. Beliau telah bertemu dengan paderi disana dan juga telah menunaikan solat di dalam gereja tersebut kerana solat boleh dilakukan dimana-mana sahaja melainkan di tandas dan tenpat yang ada najis.

Orang yang bukan Islam dibenarkan memasuki masjid. Ini adalah sesuatu yang diketahui semua orang Islam kerana Rasulullah s.a.w telah menerima orang bukan Islam datang berjumpa dengannya di masjidnya di Madinah. Walaubagaimanapun, pakaian mereka haruslah dijaga agar nampak kemas dan sesuai dengan keadaan.
15.
Bolehkah keluarga Islam yang ditimpa kematian menerima surat takziah, lingkaran bunga dan wang dari orang bukan Islam?
Tiada larangan bagi seorang keluarga Islam untuk menerima takziah dalam bentuk bunga, surat dan sumbangan wang termasuk sumbangan dari orang bukan Islam. Sumbangan tersebut haruslah dianggap sebagai menunjukkan perasaan simpati terhadap keluarga si mati.
16.
Bilakah Tahun Baru Islam? 1 Januari atau 1 Muharram?
1 Januari adalah hari pertama bagi sistem kalendar sivil, yang pada asalnya adalah kalendar yang diasaskan oleh Julius Ceaser pada tahun 45 BC. Kalendar tersebut kemudian diperkemaskinikan oleh Pope Gregrory pada tahun 1582.
Kalendar Hijrah pula bermula pada 1 Muharram. Bulan-bulan Islam mengikut uruatan ini: Muharram, Safar, Rabiul Awal, Rabiul Akhir, Jumadil Awal, Jumadil Akhir, Rejab, Syaaban, Ramadan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah.
Kalendar Hijrah diasaskan oleh Khalifah Kedua Saidina Umar bin Al-Khattab r.a. Beliau yang mencadangkan agar awal tahun bermula dengan 1 Muharram, berdasarkan apa yang telah sekian lama diamalkan oleh orang-orang
17.
Apakah asal-usul ucapan “Assalamu’alaikum” dan bolehkah orang yang bukan Islam mengucapnya?
Ucapan “Assalamu’alaikum” dan jawapannya “Wa’alaikum Salam” telah diperkenalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Oleh itu, ia telah menjadi ucapan yang biasa digunakan orang Islam.

Tiada hukum yang melarang orang bukan Islam dari menggunakan ucapan ini dan juga menerimanya kerana mempunyai maksud yang berkecuali. Walaubagaimanapun, terdapat orang Islam yang mungkin kurang selesa atau kurang senang untuk menerima ucapan ini dari seseorang yang bukan Islam. Oleh itu, jika seorang bukan Islam kurang yakin adakah seorang Islam itu selesa atau tidak untuk menerima ucapan tersebut, maka adalah baik dan lebih selamat untuk memberi ucapan tersebut dalam terjemahannya ataupun memberi ucapan yang biasa seperti “Selamat Pagi” dan lain-lainnya.
18.
Bagaimanakah menasihati seorang bukan Islam yang ingin menggunakan Al-Quran untuk karya seni?
Tahap ketamadunan manusia adalah apabila ada sikap hormat menghormati antara satu sama lain. Terutama sekali dalam perkara-perkara yang amat intim dan rapat pada manusia lain. Orang yang tersayang dan ugama merupakan dua perkara yang amat intim dan rapat pada setiap manusia. Sudah tentu kita tidak akan mempersendakan atau mempermainkan ibu bapa seseorang. Begitu juga ugama. Sebagai manusia yang bertamadun, kita akan sentiasa menjauhkan diri dari segala perkara yang boleh membangkitkan kemarahan dalam diri orang lain.
Al-Quran merupakan sesuatu yang amat dihormati oleh orang Islam. Maka mempermainkannya atau mengubah-suainya sebagai satu karya, adalah satu perkara yang akan menimbulkan kemarahan umat Islam. Dalam hal ini, manusia perlu diingatkan bahawa setiap sesuatu ada hadnya. Begitu juga dalam seni, ada hadnya. Seni tidak boleh sampai menjatuhkan maruah orang lain, membunuh orang lain, dan mempermainkan sesuatu yang dihormati dan disanjung oleh satu-satu kaum.
Oleh itu orang itu perlu diperingatkan agar menjadi manusia yang bertamadun dengan berhenti dari menggunakan kitab-kitab suci agama-agama dalam seninya. Kitab-kitab tersebut adalah untuk dibaca dan dijadikan panduan, bukan untuk karya seni seseorang.
19.
Apakah pandangan Islam tentang memberikan persembahan tarian budaya?
Islam mengiktiraf bahawa manusia secara semulajadinya terdorong dengan budaya di dalam diri masing-masing. Oleh itu, Islam tidak melarang pameran kebudayaan. Walaubagaimanapun, Islam juga telah memberi panduan untuk kita tidak melampaui batasan Islam, sepertimana sebuah negara telah menetapkan panduan tentang yang boleh dan yang dilarang.
Antara panduan yang ditetapkan Islam dalam hal persembahan tarian adalah seperti berikut,
1. Tidak memakai pakaian dan solekan yang berasal dari agama lain. Ini termasuk memakai PUTU atau NANDE di bahagian dahi kerana ia berasal dari agama Hindu.
2. Elakkan diri dari perkara-perkara yang haram seperti pergaulan bebas antara lelaki dan wanita yang bukan mahram dan menghadiri majlis yang menyediakan alkohol.Harus tiada kepercayaan bukan Islam terdapat di dalam tarian tersebut. Oleh itu, tarian Bali harus dielakkan kerana ia berdasarkan kepercayaan Hindu dan juga tarian kuda-kepang jika ada mantera atau bacaan yang bukan berdasarkan Islam.

Label:

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama