Isnin, 11 Ogos 2008

Aqidah

1. Apakah rukun-rukun Islam?

Rukun Islam ada lima dan ia adalah berikut:
1. Syahadah
2. Solat
3. Zakat
4. Berpuasa di bulan Ramadhan
5. Haji

2. Berapa banyakkah hukum-hukum Islam dan apakah maksudnya?

Terdapat 5 hukum dalam syariat Islam:
1. Wajib bererti perkara dituntut untuk dibuat, sekiranya dibuat dapat pahala dan sekiranya ditinggal mendapat dosa.
2. Sunat bererti perkara yang jika dibuat mendapat pahala, jika ditinggalkan tidak berdosa.
3. Harus bererti perkara yang boleh buat dan boleh tinggal tanpa memberi kesan apa-apa.
4. Haram bererti perkara jika ditinggalkan mendapat pahala dan sekiranya dilakukan mendapat dosa.
5. Makruh bererti perkara yang jika ditinggalkan mendapat pahala, tetapi sekiranya dibuat tidak berdosa.

3. Adakah ajaran Sunnah Nabi itu benar dan boleh diikuti?

Sunnah Nabi adalah sebagai pedoman bagi kita umat Islam. Barangsiapa yang menafikannya akan menyebabkannya terkeluar dari Islam, kerana Allah s.w.t telah berfirman dalam Al-Quran dalam surah Ali Imran, yang bermaksud: Taatlah Allah dan taatlah Rasul.
Ketaatan pada Rasulullah s.a.w adalah dengan patuh serta mengikuti sunnah Rasulullah

4. Jika seseorang itu menghadapi "penyakit" was-was apa yang patut dilakukan?

Penyakit was-was ini timbul dari dua sumber: syaitan dan kurangnya keyakinan diri. Sumber pertama boleh diatasi dengan banyak membawa ta'awwudh (a'uzu billah minnas syaitanir rajim), dan membaca surah An-Nas. Mulakan setiap perbuatan juga dengan membaca Bismillah.
Sumber kedua boleh diatasi dengan menanamkan keyakinan bahawa perbuatan yang dilakukan dengan Bismillah dan mempunyai tujuan baik, akan mendatangkan hasil yang baik. Tiada yang boleh memberikan mudarat melainkan Allah s.w.t.

5. Dimanakah kisah Iskandar Zulqarnain boleh didapati dan adakah beliau yang dikenali sebagai “Alexander the Great"?

Kisah Iskandar Zulqarnain boleh didapati di akhir Surah Al-Kahfi. Beliau bukanlah “Alexander the Great” memandangkan kisahnya tidak sama. Tidak diketahui zaman bilakah Iskandar Zulqarnain ini hidup. Walaubagaimanpun, adalah lebih penting bagi kita untuk mengambil tauladan dari kisahnya.

6. Apakah pandangan Islam (dalil-dalil) tentang roh?

Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Isra', ayat 85: "Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: "Roh itu termasuk urusan Tuhan-ku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit."

Oleh itu, kita tidak perlu bertanya lanjut atau meneka-neka tentang hakikat roh. Allah s.w.t hanya memberi sedikit keterangan tentang roh kepada hamba-hambaNya yang Dia pilih. Maka ada kalanya seseorang itu diberi ilmu untuk mengetahui serba sedikit tentang roh, dan ada yang tidak. Rasulullah s.a.w sendiri hanya mengetahui apa yang telah Allah beritahunya.
Apa yang perlu umat Islam lakukan pada masa ini ialah mengembeling tenaga untuk mengatasi pelbagai masalah sosial dan cuba memperbaiki diri dan keadaan masyarakat agar sampai ke tahap umat yang cemerlang.

7. Betulkah seseorang itu boleh dimasuki roh orang yang meninggal dunia?

Apabila seseorang itu sudah meninggal dunia, rohnya akan kembali ke alam barzakh dan tidak akan kembali ke dunia ini buat selama-lamanya. Maka, tidak ada istilah roh kembali masuk ke badan manusia.
Apa yang berlaku ada dua kemungkinan :
Pertama: ia satu penipuan.
Atau kedua: yang masuk dalam badan adalah jin.

Umat Islam dilarang dari menyeru jin untuk masuk ke dalam badan manusia kerana ia akan membawa mudarat pada diri manusia itu sendiri.

8. Adakah amalan menghalau makhluk ghaib dari badan manusia sesuatu amalan yang diterima Islam?

Orang Islam percaya kepada Syaitan dan Jin. Dan orang Islam juga percaya bahawa makhluk-makhluk ini memiliki kuasa yang ghaib yang membolehkannya memasuki badan manusia. Oleh kerana inilah Nabi Muhammad s.a.w telah mengajar umatnya agar berdo’a selalu dan sentiasa cuba mendekati Allah s.w.t agar tidak dipengaruhi oleh makhluk-makhluk halus.
Samada seseorang itu dimasuki Jin atau tidak, ia sesuatu yang hanya boleh dipastikan oleh seorang pakar. Pakar tersebut haruslah bertaqwa kepada Allah s.w.t, berpengetahuan mendalam tentang Islam dan memiliki kemahiran untuk memastikan kewujudan Jin di dalam badan seseorang manusia. Sayugia diingatkan bahawa bukan semua orang Islam yang berilmu dan bertaqwa memiliki kemahiran yang disebutkan tadi.
Oleh itu, amalan ini tidak harus dilakukan oleh mana-mana individu yang tidak berkemahiran. Kita haruslah memastikan kemahiran dan kelayakan seseorang itu sebelum menggunakan

9. Apakah hukumnya bagi orang yang meminta sesuatu daripada yang ghaib seperti di kubur, keramat, makam atau kuil?

Islam menggalakkan umatnya menziarahi kubur untuk memberi salam kepada ahli kubur, dan mengambil 'itibar. Akan tetapi, Islam melarang keras meminta-minta di kubur, kerana ia adalah perbuatan syirik. Apatah lagi meminta nombor ekor dari kubur atau kuil, ia boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar dari landasan Islam dan menjadi murtad.

10. Bolehkah seseorang itu berdoa di makam?

Berdoa di makam orang soleh/ wali Allah dan bertawasul dengannya merupakan seperkara yang mana para ulama' mempunyai pendapat yang berbeza. Akan tetapi, selama mana perbuatan itu tidak menimbulkan perasaan syirik dan orang yang berdoa itu hanya berdoa dan meminta kepada Allah s.w.t., dan bukan orang yang mati itu, maka ia dibolehkan.

11. Apakah itu tarikat dan apakah implikasinya jika seseorang itu menjadi ahlinya?

Tarikat bermaksud sesuatu jalan. Ia biasanya bermakna sesuatu jalan rohani yang diambil orang Islam untuk mensucikan diri mereka dan untuk menjadi orang Islam yang lebih baik. Tarikat bukanlah sesuatu yang ganjil dalam Islam. Amalan-amalannya termasuk mengikut seorang imam yang membantu untuk memberi bimbingan agama. Antara bahagian terpenting dalam amalan tarikat adalah zikir, solat dan ibadah-ibadah lain yang banyak.

Terdapat banyak tarikat dalam dunia ini, termasuk Naqsyabandiyah, Syaziliah dan Qadariah. Memandangkan amalan tarikat semakin berleluasa, ada yang mengambil kesempatan untuk menubuhkan tarikat yang tersendiri untuk mendatangkan keuntungan bagi diri mereka sendiri.

Oleh itu, seseorang itu haruslah berhati-hati jika ingin memasuki mana-mana kumpulan tarikat. Ciri-ciri yang biasanya boleh digunakan untuk membezakan antara tarikat yang tulen dan yang menyesatkan adalah jika terdapat percanggahan dalam prinsip-prinsip Syari’ah seperti meninggalkan solat, puasa, haji, zakat atau menghalalkan perkara-perkara yang haram, seperti pergaulan antara lelaki dan perempuan dan tidak mengizinkan pengikut-pengikutnya menghadiri kelas-kelas agama yang lain. Inilah ciri-ciri yang biasanya terdapat pada kumpulan tarikat yang menyesatkan.

12. Bolehkah seseorang itu berubat dengan menggunakan ayat Al-Qur'an dan menulisnya dimana-mana bahan?

Islam menggalakkan umatnya agar berubat. Tetapi ia mesti berlandaskan Islam. Yang paling utama adalah ia perlu percaya bahawa usaha berubat hanyalah satu usaha. Yang menyembuhkan adalah Allah s.w.t, bukan doktor atau dukun. Kedua, ia tidak boleh melibatkan perkara-perkara yang tiada asasnya dalam Islam, seperti menulis ayat Al-Quran pada benda-benda. Adapun berubat dengan membaca ayat-ayat Al-Quran, maka ia dibenarkan.
Ubat yang paling ampuh dan mujarab adalah berdo'a kepada Allah s.w.t, bertaubat dan mendekatkan diri lagi kepada Allah dengan amalan-amalan soleh. Semoga dengan demikian, Allah s.w.t akan menyembuhkanpenyakit itu.

13. Apakah hukum memakai tangkal?

Memakai tangkal adalah haram kerana ia boleh menyebabkan seseorang terpesong sehingga percaya bahawa tangkal itu mempunyai kuasa ajaib. Sebagai orang Islam, kita wajib percaya bahawa hanya Allah yang berkuasa dan mempunyai kekuatan yang mutlak. Sebarang perbuatan yang boleh menyebabkan syirik adalah dilarang.

14. Apakah hukum perbuatan membaca ayat untuk perlindungan diri melalui cincin atau bermandi bunga?

Perbuatan yang dinyatakan boleh membawa syirik kerana ia meletakkan kepercayan kekuatan dan kekuasaan kepada makhluk selain dari Allah. Oleh itu tidak wajar orang Islam mempunyai kepercayaan sedemikian. Sebaliknya, kita hanya dituntut untuk banyak melakukan ibadat, mendekatkan diri kepada Allah, dan tidak memohon perlindungan melainkan dengan Allah.

15. Adakah amalan mengeluarkan darah dari bahagian belakang kepala seseorang itu untuk membersihkan badan dari kejahatan sesuatu amalan Islam?

Amalan ini bukan berasal dari Islam dan kepercayaan bahawa mengeluarkan darah akan mengeluarkan kejahatan juga tidak berasaskan Islam. Mengeluarkan kejahatan bukanlah dilakukan secara fizikal tapi dari segi rohani iaitu dengan mentaati perintah Allah s.w.t.

16. Adakah kepercayaan seperti meletakkan penyapu lidi dibelakang pintu supaya dapat menghalau jin atau makhluk halus itu haram?

Ada di antara adat orang-orang Melayu yang ada kaitan dengan makhluk halus yang tidak bersandarkan nas dalam Islam dan juga kajian ilmu yang mantap. Antaranya adalah meletakkan penyapu lidi di belakang pintu. Adalah wajar bagi orang Islam untuk tidak mengikut sesuatu kepercayaan dan adat yang tiada dasarnya dalam Islam, dan tiada juga bersandarkan kajian ilmu yang mantap. Kepercayaan seperti ini dianggap sebagai khurafat dan jika terlalu mempercayainya, boleh membawa kepada syirik, iaitu mempercayai ada benda yang berkuasa selain dari Allah s.w.t.
Sewajarnya, untuk menghalau jin dan makhluk halus yang jahat, cukuplah diterangi rumah tersebut dengan solat dan bacaan Al-Quran, serta dijauhi dari perbuatan maksiat.

17. Apakah yang harus dibuat apabila tercetusnya perasaan takut kepada Jin dan Syaitan semasa tidur?

Anda boleh membaca Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas ataupun mana-mana doa untuk memohon perlindungan Allah s.w.t dari perasaan takut itu. Kemudian, tutuplah mata dan bacalah zikir La Ila Ha Illallah dengan tasbih jika mahu dan teruskanlah berzikir sehingga anda terlelap.

18. Apakah hukumnya mengamalkan Feng Shui?

Amalan Feng Shui berasal dari kepercayaan Tao, dan kepercayaan itu terbahagi kepada dua: Yang pertama adalah kepercayaan yang berdasarkan kepercayaan agama mereka yang kuat, dan satu lagi adalah berdasarkan falsafah sahaja tanpa elemen agama mereka.
Pada kebiasaannya, orang yang mengamalkan Feng Shui percaya bahawa ia akan memberi kesan kepada cara kehidupan mereka, sama ada yang baik ataupun tidak. Maka bentuk alat perabot, warna dinding di rumah dan sebagainya adalah antara perkara-perkara yang dipertikaikan ketika hendak menghiasi rumah.Adalah tidak menjadi satu kesalahan jika orang Islam mengikut cara Feng Shui atas dasar falsafah dan elemen saintifik, tanpa mempercayai yang lebih dari itu.

19. Apakah hukum menyebarkan surat-surat berantai atau "chain letter"?

Mempercayai kandungan surat berantai (chain mail) adalah salah dan mempercayai ia mempunyai kuasa adalah syirik, kerana ia meletakkan kuasa kepada surat tersebut. Umat Islam wajib mempercayai bahawa yang mendatangkan manfaat dan menolak mudarat hanyalah Allah s.w.t semata-mata.
Oleh itu, wajib bagi orang Islam yang menerima surat berantai, agar membuangnya, dan jika dia tahu siapa yang menghantar surat tersebut, dia menasihati orang itu agar tidak melakukannya lagi.

20. Adakah nombor bertuah sesuatu yang diiktiraf oleh Islam?

Islam adalah cara hidup yang berdasarkan pemikiran rasional dan penyerahan diri kepada Allah s.w.t. Menurut kerasionalan Islam, kita tidak harus percaya akan perkara yang bukan berdasarkan pemikiran logik dan rasional kecuali perkara yang telah disampaikan oleh Rasulullah s.a.w sendiri yang kita belum lihat atau alami, seperti kewujudan Syurga dan Neraka.
Mempercayai bahawa terdapat nombor-nombor yang ada tuah adalah karut kerana ia bukan berdasarkan logik dan tidak disokong oleh bukti-bukti yang nyata. Oleh itu, orang Islam tidak harus mempercayai perkara-perkara ini tidak kira samada dakwaan itu datang dari ramalan, kad tarot atau kaedah lain.

21.
Bolehkah air zamzam dicampur dengan air lain dari agama lain dan digunakan untuk kegiatan-kegiatan agama?

Air zamzam adalah air yang dihormati di dalam Islam. Ia tidak boleh digunakan untuk membersihkan najis atau dalam kegiatan bukan Islam. Mencampurkannya dengan air lain adalah dibenarkan, akan tetapi, ia sesuatu yang tidak perlu. Sayugia diingatkan juga bahawa mempercayai dan menganggap air lain mempunyai kepentingan yang setaraf dengan air zamzam adalah haram.

22. Adakah adat-adat seperti membasuh kaki selepas menggunakan tandas, menyambut kelahiran bayi selepas 40 hari dan menyambut bulan kesembilan kehamilan dibenarkan Islam?

Allah telah berfirman di Al-Qur’an, Surah Al-Baqarah ayat 208 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.”
Oleh yang demikian, adalah baik adat-adat yang tidak berasal dari Islam atau yang bercanggah dengan Islam dielakkan.
Adat-adat yang disebut tadi, menurut pengetahuan kami, tiada asas di dalam Islam. Oleh itu, adalah baik ia dan juga adat-adat lain yang tiada asasnya di dalam Islam, tidak diamalkan oleh orang Islam.

23.
Jika seseorang melakukan dosa besar tetapi tidak tahu atas pengharaman perbuatan itu dan tidak tahu hukum serta balasannya, adakah beliau dimaafkan tanpa dihukum hudud?

Seseorang yang tidak tahu hukum sesuatu perbuatan maksiat, dan ia melakukannya kerana kejahilannya, maka ia tidak berdosa. Tetapi dia perlu juga banyak beristighfar dan memohon ampun dari Allah kerana tidak mahu mengetahui tentang apa yang halal dan haram dalam Islam.
Dalam menjatuhkan hukuman hudud, hakim akan menilai samada orang tersebut layak dijatuhkan hukuman atau tidak.

24. Bagaimanakah caranya seseorang itu bertaubat?

Seseorang yang ingin bertaubat harus melakukannya dengan cepat. Untuk bertaubat, haruslah lakukan berikut:
1. Memohon ampun dari Allah s.w.t.
2. Berniat agar tidak melakukan perkara yang berdosa itu lagi dan tidak lagi bergaul dengan mereka yang boleh menyebabkan orang itu melakukan perkara itu.
3. Memperbanyakkan doa dan ibadah.
4. Meningkatkan ilmu tentang agama Islam.

25.
Adakah berzina antara dosa yang terbesar di sisi Islam?

Zina dianggap sebagai antara dosa yang terbesar disisi Islam. Allah s.w.t telah berfirman di Surah Al-Isra’, ayat 32 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji (Fahisyah) dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”
Zina boleh menyebabkan kehamilan dan anak luar nikah. Ia juga adalah sesuatu penghinaan ke atas kaum wanita kerana mempergunakan tubuhnya tanpa persetujuan atau kontrak yang rasmi dan sah untuk bertanggungjawab bagi perkara-perkara yang akan timbul di masa hadapan.
Zina juga salah satu penyebab terbesar penyakit yang dijangkiti menerusi hubungan seks kerana zina adalah hubungan seks yang tidak terbatas di dalam pernikahan yang sah.

26.
Bagaimanakah seseorang itu boleh menghadapi masalah kesedihan yang kerap sekali?

Perasaan sedih adalah sesuatu yang lumrah bagi manusia di dunia ini. Ia adalah takdir Allah untuk kita merasakan kesedihan kebahagiaan. Kesedihan boleh timbul apabila seseorang itu kurang memahami realiti hidup bahawa tiada perkara di dunia ini yang kekal, dan juga setiap perkara buruk akan tamat, termasuklah kesedihan yang dijangkakan akan kekal lama, dan jika kita sabar menempuhinya, kita akan diberi ganjarannya in sya Allah di dunia ini dan di Akhirat nanti.
Oleh yang demikian, untuk mengatasi masalah kesedihan, seseorang itu haruslah kembali kepada Allah s.w.t dan memohon perlindungan darinya dan haruslah sentiasa ingat bahawa Allah Maha Mengetahui segala yang berlaku dan bahawa setiap perkara yang terjadi adalah takdirNya. Oleh itu, hadapilah ia dengan penuh kesabaran dan

27. Bolehkah ayat-ayat nasihat yang ditulis di dalam Bahasa Arab dipamerkan atau diberikan kepada orang yang bukan Islam?

Nasihat yang ditulis di dalam Bahasa Arab boleh diberi kepada orang bukan Islam selagi mana ia bukanlah ayat Al-Qur’an. Ini adalah untuk mengelakkan sikap kurang beradab terhadapnya yang mungkin tidak dimaksudkan oleh orang yang bukan Islam itu kepada ayat Al-Qur’an.
Menggantung atau mempamerkan ayat atau nasihat dalam bahasa Arab adalah dibolehkan selagi mana isi kandungnya adalah baik dan jika ia adalah ayat Al-Quran, haruslah diberi kehormatan yang sewajarnya.

28.
Bolehkah ayat-ayat suci Al-Quran digantung di dinding?

Menggantung ayat-ayat suci Al-Quran di dinding adalah dibolehkan. Para ulama telah bersepakat dalam perkara ini. Walaubagaimanapun, ia haruslah dijaga dan dihormati dengan baik. Ini termasuk tidak memberikannya kepada orang bukan Islam atau menggantungnya di tempat yang rendah. Ayat-ayat tersebut dan juga maksudnya boleh membawa faedah kepada orang Islam dari pelbagai cara.

29. Mengapakah didapati ada sesetengah asatizah yang berpendapat berlainan dari asatizah yang lain?

Pertama sekali, anda perlu mengetahui bahawa perbezaan pendapat antara para ulama adalah satu hakikat. Ia tidak dapat dielakkan kerana manusia dicipta dengan akal yang berbeza, dan kekuatan pemahaman dan analisis yang berbeza. Maka perbezaan pendapat adalah sesuatu yang kita tidak dapat elakkan. Dan ini sebenarnya adalah kehendak Allah s.w.t, agar agama Islam ini sesuai untuk semua tempat dan masa.
Perkara kedua yang anda perlu tahu adalah tentang perbezaan itu sendiri. Perbezaan di antara para ulama hanyalah pada masalah ranting atau cabang. Ulama tidak pernah berbeza pendapat tentang masalah pokok dalam Islam, seperti kewajipan solat 5 kali sehari, puasa pada bulan Ramadan, mengeluarkan zakat dengan kadar yang telah ditetapkan oleh Rasulullah s.a.w, kadar pembahagian harta mengikut faraidh, dan berbagai lagi. Dalam sebuah hadith, Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak akan bersatu umatku dalam kesesatan/kesalahan. Maka, apa yang diperselisihkan oleh para ulama bukanlah satu kesesatan atau kesalahan. Dan dalam masa yang sama, kesepaduan para ulama dalam masalah pokok menunjukkan bahawa barangsiapa yang menambah-nambah atau menukar masalah pokok dalam Islam, mereka itulah yang telah melakukan bid'ah, atau suatu yang ditambah dalam Syariat Islam yang menjadikan perbuatan tersebut sebagai satu kesesatan.
Dengan memahami dua perkara ini, maka tidak hairanlah kita dapat melihat para asatizah memberikan pendapat yang berbeza dalam satu masalah, kerana mereka mengikut pemahaman yang berbeza antara ulama, dan juga mereka berbeza dalam kemampuan memahami satu-satu isu.
Sekiranya kita mendengar satu penjelasan yang agak ganjil bagi kita, atau bercanggah dengan apa yang kita faham, tiada salahnya kita bertanya lanjut kepada guru agama itu. Kita juga perlu menuntut dengan ramai guru, dan membaca seberapa banyak yang boleh, agar kita dapat menilai sendiri mana satukah pandangan yang telah diberikan lebih sesuai dengan konteks keadaan kehidupan kita sekarang ini, dan yang juga bersesuaian dengan keadaan kita dan hati kita.

Label:

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama